Showing posts with label pulau nangka. Show all posts
Showing posts with label pulau nangka. Show all posts

Sunday, January 14, 2024

Ada Apa di Pulau Nangka?


Pulau Nangka bukanlah sebuah pulau yang terkenal di negara kita. Tiada apa pun yang menarik di sana. Umpama sebuah pulau dara yang tidak berpenghuni, tiada infrastruktur seperti bekalan air bersih dan elektrik. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini ia mula dikenali.

Pulau Nangka tidak jauh dari daratan. Untuk sampai di sana boleh menaiki bot melalui Jeti Umbai atau Jeti Anjung Batu. Hanya memakan masa antara 10 hingga 15 minit sahaja.


Dalam 10 tahun kebelakangan ini, Pulau ini menjadi sensasi apabila didakwa mempunyai harta peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Malah telah beberapa kali kerja-kerja pencarian harta tersebut dilakukan, namun menemui kegagalan. 

Sebenarnya, kewujudan harta tersebut diketahui sejak tahun 90-an lagi. Kewujudannya menyebabkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) diarahkan untuk membeli pulau tersebut pada tahun 1995 daripada sebuah syarikat iaitu Long Chan. Sehingga kini, Pulau Nangka dimiliki 100% oleh PERZIM. 

Kisah kewujudan harta peninggalan Kesultanan Melayu Melaka ini merupakan sebuah kisah yang panjang. Ia bermula apabila Allahyarham Ustaz Dr. Haron Din telah diminta untuk "mengalihkan" makhluk halus yang menduduki Pulau Besar. Dalam proses mengalihkan makhluk tersebut Allahyarham telah menjadikan Pulau Nangka sebagai lokasi kediaman sementara di mana terdapat sebuah pondok didirikan di sana. 

Sepanjang menduduki Pulau Nangka, Allahyarham Ustaz Dr. Haron Din, dengan ilmu yang dimiliki mendakwa bahawa di Pulau Nangka terdapat harta zaman Kesultanan Melayu Melaka yang tersimpan di dalam gua. Walau bagaimanapun, secara mata kasar manusia, gua tersebut tidak kelihatan. 

Tidak hanya dakwaan oleh Allahyarham Ustaz Dr. Haron Din, terdapat beberapa tindakan lanjut yang telah dilakukan termasuk menggunakan peralatan berteknologi tinggi turut merekodkan di beberapa lokasi di Pulau Nangka mempunyai sebuah ruang di bawah tanah dan terdapat kesan-kesan logam didakwa sebagai emas dan harta peninggalan Kesultanan Melayu Melaka. 

Beberapa syarikat pencari harta telah mencuba sedaya upaya untuk mencari harta tersebut namun sehingga kini masih gagal. Walaupun menggunakan kaedah berteknologi tinggi dan peralatan yang moden, ia masih belum dijumpai. Malah pencarian ini kelihatan merosakkan pulau itu sendiri dengan banyak tinggalan lubang - lubang yang digali dan batu-batan yang di gerudi. 

Lantaran kegagalan demi kegagalan setelah beberapa syarikat melaksanakan pencarian, akhirnya PERZIM, selepas tahun 2023 tidak lagi mengeluarkan kebenaran untuk mana-mana pihak untuk mencari harta di Pulau Nangka. 



Kisah Pulau Nangka tidak habis di situ. Pulau ini bersama Pulau Dodol dan Pulau Undan telah digazetkan sebagai Taman Laut pada 4 April 2023. Justeru, di ketiga-tiga lokasi pulau ini tidak dibenarkan sebarang aktiviti penangkapan ikan dan hasil laut.




Antara yang boleh dilakukan adalah aktiviti snorkeling, scuba diving dan lain-lain yang tidak merosakkan karang-karang yang terdapat di pulau-pulau tersebut. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa, karang-karang yang terdapat di sini merupakan antara yang menarik di dunia. 


Untuk pergi ke pulau-pulau ini perlu melalui operator yang dilantik. Pengusaha-pengusaha ini menyediakan bot  untuk aktiviti islands hoping dan peralatan-peralatan untuk snorkeling dan scuba diving.

Selain itu, di Pulau Nangka juga boleh diadakan aktiviti jungle trekking. Bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan hutan dara membuatkan ia sangat sesuai ditelusuri. Pelbagai spesis flora yang berusia tua juga boleh didapati di pulau ini. 


Untuk maklumat lanjut untuk tempahan melakukan aktiviti di Taman Laut Melaka boleh kunjungi pautan Taman Laut Melaka

Baca juga :

Thursday, April 17, 2014

ADA HARTA KARUN DI PULAU NANGKA?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Sebelum apa-apa, sila baca petikan akhbar dari editor@mstar.com.my ini:

MELAKA : Harta karun dikatakan bernilai berbilion Ringgit dipercayai ditanam di dalam sebuah gua di Pulau Nangka, sebuah pulau kecil kira-kira 17 kilometer (km) dari luar pantai di sini.

Antara barangan yang dipercayai dalam harta karun itu adalah peti yang mengandungi bar emas, takhta dan pakaian diRaja.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri telah memberikan permit kepada dua syarikat tempatan untuk menjalankan kerja-kerja penggalian di bawah syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

"Buat masa ini, mereka hanya diberi kuasa untuk mengumpul bukti bergambar," katanya.

Idris berkata, harta karun di pulau itu dikhabarkan berusia selama berabad-abad dan terdapat banyak cubaan memburu harta berkenaan, di mana sebahagian mereka menggunakan dinamit untuk meletupkan batu bagi sampai ke gua tersebut.

"Ia tidak saintifik, tetapi penduduk tempatan percaya adanya halangan mistik yang menghalang harta itu daripada dibawa keluar," kata Ketua Menteri.

Menurut penduduk kampung, gua yang ditanam itu sama ada dilindungi oleh sumpahan atau mahkluk halus.

Satu kumpulan kecil dilaporkan dapat memasuki ke dalam gua itu kira-kira 30 tahun lalu, tetapi tidak seorang pun yang keluar dengan membawa harta karun itu walaupun hanya sekeping pun.

Mereka dilaporkan keluar dalam keadaan berkhayal apabila mendakwa melihat harta karun itu, antara lain lebih 80 peti emas.

Difahamkan bahawa wakil kedua-dua syarikat yang akan menjalankan kerja-kerja penggalian untuk kerajaan negeri telah meminta "bantuan kerohanian" sebelum melaksanakan usaha mereka.

Antara perkara-perkara yang mereka "bersetuju" adalah untuk mendapatkan persetujuan pentadbiran di negeri itu dan kekayaan daripadanya digunakan untuk manfaat dan kebaikan rakyat.

Pekerja-pekerja yang terlibat dalam projek itu setakat ini menggali beberapa lubang berdiameter 130 mm untuk ke dalam gua itu dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi.

Difahamkan laporan perkembangan terkini mengenai kerja yang masih berterusan itu diserahkan kepada kerajaan negeri pada minggu lepas.

Pulau Nangka terletak kira-kira 4 km dari pulau utama negeri itu iaitu Pulau Besar, destinasi tarikan pelancong yang popular.

Pulau yang berbatu itu berukuran kira-kira 20 hektar, mempunyai pantai berpasir begitu luas dengan air jernih yang mengelilinginya.

Terumbu karang berdekatan pulau tersebut turut menarik perhatian para nelayan.

*****

Beranilah datang ceroboh... Nanti kena tembak! 

Benarkah ada harta karun di Pulau Nangka? Seperti kenyataan YAB Ketua Menteri Melaka dalam akhbar tersebut, memang ada kerja-kerja mencari harta karun, tetapi sehingga kini masih belum dapat dijumpai. Aku yang sudah beberapa kali ke sana hingga bermalam di sana pun masih terfikir-fikir benarkah ada harta karun...

XPDC di Pulau Nangka. Agaknya apa yang dilihatnya tu?

Dulu beberapa kali aku membuat post bergambar dalam blog ini, tetapi tidak memberitahu apa tujuan aku ke sana kerana ianya masih di tahap rahsia. Tetapi kini tidak lagi menjadi rahsia apabila YAB Ketua Menteri telah memberikan kenyataan dan beberapa hari beritanya terpapar di dalam Awani 7.45.

Entahlah... Aku pun tak berani nak komen banyak-banyak. Kalau betullah ada harta karun dari zaman kesultanan Melaka di Pulau Nangka, memang baguslah. Dapatlah lagi merungkai sejarah kesultanan Melaka pada zaman dahulu kala. Kita tunggu dan lihat sajalah hasilnya nanti.

Pokok dikatakan berbentuk misteri. Mempunyai 2 dahan seakan tangan

Boleh baca dan tengok gambar entri blog berkaitan Pulau Nangka yang aku buat dulu >> KLIK << >> KLIK << >> KLIK << >> KLIK <<