Showing posts with label puasa. Show all posts
Showing posts with label puasa. Show all posts

Tuesday, March 12, 2024

Selamat Menyambut Bulan Ramadan al-Mubarak dan Selamat Berpuasa


Bulan suci Ramadan al-Mubarak kembali tiba, membawa keberkahan dan keberkatan kepada kita semua. Selamat menyambut bulan yang penuh keberkahan ini dan semoga amalan ibadah dan puasa kita diterima oleh Allah SWT.

Dalam bulan yang penuh keberkahan ini, mari kita memperkukuhkan ikatan dengan Allah SWT melalui amalan kebajikan, doa dan tadarus al-Quran serta lain-lain kebaikan yang dituntut Islam. Semoga setiap amalan puasa kita menjadi jalan menuju kebaikan dan ketakwaan.

Saya juga ingin memohon maaf jika terdapat kata, penulisan atau perbuatan yang mungkin menyinggung perasaan. Semoga kita dapat menjalani bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan dan mendapatkan keampunan dari-Nya. Selamat berpuasa kepada seluruh saudara Muslim seluruh dunia.

Puasa tau.. Jangan tak puasa. 

Sunday, April 17, 2022

Menikmati Tau Fu Fa di Bulan Ramadan

 


Tau Fu Fa telah menjadi menu wajib bagi aku sepanjang bulan Ramadan ini. Boleh dikatakan hampir setiap malam aku menikmati Tau Fu Fa. Selepas solat tarawih, duduk di dapur seorang-seorang sambil menikmati Tau Fu Fa. Anak-anak yang lain tak berminat, maka biasanya aku akan beli satu bekas saja untuk aku makan sendiri.

Aku beli Tau Fu Fa hanya di gerai-gerai tepi jalan sahaja. Tak pergi mencari di Bazar Ramadan.  Ada tiga hingga empat gerai yang berdekatan dengan rumah ada menjual Tau Fu Fa, semua rasanya enak. Jadi aku boleh saja memilih di gerai mana pun untuk membelinya.

Sekiranya bukan di bulan Ramadan, agak sukar nak cari Tau Fu Fa. Kalau teringin nak makan, perlu cari di pasar malam. Tapi di bulan Ramadan ni, mana-mana tempat mesti ada jual Tau Fu Fa. Senang nak jumpa.

Ada yang suka makan Tau Fu Fa?

Thursday, April 14, 2022

Tadarus Al-Quran di Bulan Ramadan


Alhamdulillah.. Telah menjadi kelaziman jabatan tempat aku bekerja mengadakan program Tadarus Al-Quran apabila menjelang bulan Ramadan. Aku turut tidak melepaskan peluang untuk sama menyertai program ini. Rasanya sudah bertahun-tahun juga aku sertai program ini.

Alhamdulillah juga kerana tahun demi tahun dapat mempelajari dan memperbaiki bacaan walaupun pada hakikatnya aku masih belum pandai sepenuhnya membaca Al-Quran. Apabila kena tegur kerana silap membaca, aku suka ditegur kerana dengan teguran tersebut, insyaallah aku akan mengingati apa yang aku salah dan akan memperbaikinya.

Sebenarnya aku amat berterima kasih kerana jabatan aku mengadakan program sebegini. Secara tidak langsung, aku mula mengenal dan membaca Al-Quran. Sebelum ini membaca agak 'merangkak-rangkak'. Alhamdulillah, sekarang rasanya sudah agak baik. Namun, banyak lagi yang perlu diperbaiki dari aspek makhraj huruf, hukum tajwid, dan lain-lainnya.

Marilah tuan-puan, kita perbanyakkan membaca Al-Quran dan memperbanyakkan amalan di bulan yang mulia ini. Semoga amal ibadat kita diterima oleh Allah SWT.

Monday, April 12, 2021

DALIL PUASA



Selamat menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak buat rakan-rakan yang mengenali diri saya. Turut ingin diucapkan selamat berpuasa, semoga puasa Ramadan kali ini lebih baik dari Ramadan yang sebelumnya.

Andai penulisan saya sebelum ini terdapat apa-apa kesalahan dan mengguris hati, 10 jari saya susun memohon kemaafan. 

πŸ™πŸΌπŸ™πŸΌπŸ™πŸΌ



Wednesday, June 8, 2016

SELAMAT BERPUASA RAMADHAN 1437 HIJRAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dagang Pak Malau dagang berlipat,
dagang hamba mahu berteman,
3 hari dah puasa macam dah lewat,
saja nak ucap Salam Ramadhan.


==================
PUASA YANG SIA-SIA (hanya dapat lapar dan dahaga)
==================

Rasullullah S.A.W. bersabda :

"Berapa banyak orang BERPUASA yang tidak mendapat apa-apa KECUALI LAPAR dan DAHAGA saja." (HR. Ibnu Majah) dan Syaikh Albani berkata :

Bagaimana  yang dikatakan puasa yang SIA-SIA itu?

1. Tidak SOLAT fardhu.

2. Mendedahkan AURAT.

3. Tidak menjaga MATA - elakkan menonton televisyen kerana pasti akan terlihat pelakon atau model iklan yang mendedahkan aurat.

4. Tidak menjaga LIDAH - mengumpat, bercakap bohong, menyebar fitnah.

5. Tidak menjaga TELINGA - mendengar perbualan orang yang sedang mengumpat.

6. Menyakiti hati IBU BAPA.

7. Melakukan MAKSIAT.

Justeru.., sama-samalah kita menjaga puasa masing-masing agar ia tidak menjadi puasa yang sia-sia.

Tuesday, July 7, 2015

TIPS MENGECAT RUMAH DI BULAN PUASA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alkisah, hujung minggu baru-baru ini aku merajinkan diri untuk mengecat rumah emak aku. Tak banyak pun kerja-kerja mengecat, cuba mengecat 'batu botol'. Tapi apa yang mencabarnya ialah mengecat di bulan puasa dengan cuaca yang panas.


Gambar ini mendapat 60 like saja di Facebook

Nak tahu ke tips mengecat di bulan puasa? Kalau nak, aku boleh kongsikan, tapi ni bukanlah tips profesional. Tips ini aku yang buat sendiri. Nak ikut, ikut, kalau taknak ikut pun tak mengapa.

1. Baca kalimah bismillah sebelum memulakan tugasan mengecat.

2. Niat dalam hati melakukan pekerjaan ini kerana Allah SWT.

3. Mulakan kerja dengan hati yang tulus dan ikhlas.

4. Sambil mengecat, berzikir dalam hati. Kalau terasa nak menyanyi pun boleh, nyanyi lagu nasyid.

5. Pastikan muka sentiasa senyum dan jangan tension.

6. Ucaplah Alhamdulillah setelah selesai kerja mengecat.

Sekian saja tips mengecat rumah di bulan puasa. Selamat beramal.

Tuesday, June 30, 2015

RUGINYA BERPUASA KALAU.....

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Berpuasa di bulan Ramadan itu adalah wajib. Sebulan saja puasa itu wajib, yang lainnya boleh dilakukan tetapi sunat. Apa yang wajib dilakukan hari-hari adalah solat.


Solat adalah perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak


Apa yang peliknya, ada orang yang berpuasa tetapi tidak solat. Adakan orang sebegini? Orang yang berpuasa tetapi tidak solat telah melakukan sesuatu yang sia-sia. Hanya mendapat lapar dan dahaga. Dalam erti kata yang lain, bekerja tetapi tiada gaji.

Memang betullah apa yang selalu diungkapkan bahawa :

"Orang yang mengerjakan solat sudah mesti akan berpuasa tetapi orang yang berpuasa, tidak semestinya mengerjakan solat."

Wallahuaklam. Tepuk dada tanya iman. Sama ada kita mahu berpuasa dan mendapat ganjaran pahala ataupun hanya mahu melakukan perbuatan yang sia-sia.

Selamat beramal.

Wednesday, June 24, 2015

BERSESAK-SESAK DI BAZAAR RAMADHAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dekat Melaka ni ada satu bazaar Ramadhan yang agak glamor dan ramai pengunjungnya iaitu di Taman Seri Cempaka, Peringgit. Disebabkan semalam orang rumah mengidam nak makan murtabak style Murtabak Singapura, jadinya aku pun melangkahkan kaki ke situ, walaupun dalam hati memang malas nak pergi pasal sesak dan susah nak parkir kereta.

Sampai je sana, fuh! bukan sedikit umat, ramai sungguh! Sesak, berhimpit-himpit. Harap-harap tiadalah orang yang mengambil kesempatan di dalam kesempitan!


Beginilah rezeki Ramadhan. Bak kata orang, jual apa pun laku. Kutip batu kecil-kecil gulung dalam plastik dan bentukkan seperti gula-gulapun rasanya ada yang membelinya. Pada bulan inilah kebanyakkan peniaga kocek seluarnya banyak koyak sebab penuh duit hendak disumbatnya.

Walaubagaimanapun, peniaga harus bertanggungjawab. Jualan makanan biarlah sedap, biarlah bersih dan biarlah ikhlas. Niat menjual sambil menderma itu perlu ada di bulan Ramadhan ni. Lagi satu, jangan pula jual makanan yang tak habis dijual yang dah nak basi. Naya saja siapa yang membelinya nanti. Dan janganlah juga mengambil kesempatan seperti menjual KARIPAP OKSIGEN yang menjadi viral di laman maya sekarang. 

TAHAP KELAPARAN YANG BERBEZA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Bersyukur sangat kepada Allah SWT kerana tahap kelaparan aku berbeza bila masa hari biasa dan di bulan puasa iaitu bulan Ramadhan.

Kebiasaannya, kalau di hari biasa, tahap kelaparan memang lain macam. Masa bekerja, walau sudah sarapan pagi, tengah hari mesti makan. Kalau tidak memang menggigillah anggota badan. 



Lain pula di bulan Ramadhan, tahap kelaparannya tidaklah teruk sangat walaupun tidak makan sepanjang hari. Masih boleh rileks dan bertahan. Melainkan kalau terlepas bangun sahur, memang menggigil satu badan.

Alhamdulillah.. Secara peribadi, aku tiada masalah dalam mengerjakan ibadah puasa dan aku memang suka berpuasa. 

Sama-samalah kita mengerjakan ibadah puasa ini dengan sempurna dan moga ibadah kita ini diterima Allah SWT. Amin.

Tuesday, June 23, 2015

HANCUR TANGAN KERANA MERCUN!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tiba saja bulan puasa, ada saja kes melibatkan kemalangan akibat bermain mercun. Kejadian baru berlaku di Tanjong Sepat, Selangor, seorang kanak-kanak berumur 4 tahun telah hancur tangan kirinya akibat bermain mercun.


Ya.. Allah! Sampai begini sekali tangan kau hancur dik.. Bukan tangan saja yang hancur, pasti hati ibu bapa pun hancur luluh melihat keadaan anaknya begini.

Nak beri nasihat, aku juga seorang bapa, jadi sama-samalah kita saling ingat mengingati. Hindarilah anak-anak kita dari bermain mercun di musim-musim perayaan ini. Kalau nak juga berasa beraya, berikan saja mercun pop-pop yang tidak merbahaya.

Sebenarnya kerajaan Malaysia sudah lama mengharamkan penjualan dan bermain mercun, tetapi rakyat kita masih degil. Hendak juga bermain mercun di musim perayaan.

Untuk para penyeludup, apa mereka tidak rasa bersalahkah dengan apa yang terjadi pada adik ini? Begitu juga penguatkuasa-penguatkuasa yang 'menutup mata' melepaskan barangan seperti ini masuk dari sempadan negara, sekiranya anda bertugas dengan berintegriti, pasti perkara seperti ini tidak berlaku dalam negara Malaysia.

Tuesday, June 16, 2015

JADUAL WAKTU IMSAK DAN BERBUKA PUASA BAGI NEGERI MELAKA 1436 H / 2015 M


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Masuk saja bulan Ramadhan, kebanyakkan dari kita pastinya mentaati masa. Lebih-lebih lagi waktu berbuka. Pada masa inilah kita tahu dengan tepat waktu imsak dan juga waktu berbuka. 

Biasa kalau orang bertanya, "Marghrib pukul berapa?", kita akan menjawab, "dalam pukul tujuh setengah". Tapi masa bulan Ramadhan inilah kita tahu dengan tepat, siap dengan minitnya sekali.

Untuk memudahkan rujukan waktu imsak dan berbuka puasa. Dikongsikan bersama jadual waktu imsak dan berbuka puasa bagi negeri Melaka dan negeri-negeri yang sama waktu dengannya.

Puasa tau, jangan tak puasa... :)



BENARKAH SYAITAN DIBELENGGU PADA BULAN RAMADHAN?


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Benarkah syaitan dibelenggu di bulan Ramadhan? Pernah suatu ketika dahulu terdengar ceramah Ustaz Kazim Elias dalam You Tube menyatakan bahawa di bulan Ramadhan, syaitan tidak dibelenggu sebaliknya manusia berlumba-lumba membuat kebaikan di bulan Ramadhan seolah-olah tertutup pintu kejahatan (syaitan).



Gambar sekadar hiasan


Merujuk pada tulisan Ustaz Zaharuddin dalam webnya pula menyebut : -

1. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia bermaksud ketidakmampuan syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan Ramadhan.

Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa At-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi

2. Ada juga yang menyebut sebahagian jenis syaitan yang utama sahaja yang dibelenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan Ramadhan. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nasfsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang ke arah kejahatan walau di ketika syaitan utama dibelenggu.

Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar

Monday, June 15, 2015

9 AMALAN MEMAKSIMUMKAN PAHALA PUASA RAMADHAN


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alhamdulillah.. Bulan Ramadhan akan hadir tidak beberapa hari lagi. Beruntunglah kita sekiranya dapat berjumpa dengan bulan Ramadhan pada tahun ini. Ada juga insan yang tidak dapat bersama Ramadhan pada tahun ini. 

Sumber gambar >> KLIK <<


Bersama-samalah kita saling ingat mengingati agar dapat menambah dan melipatgandakan amalan-amalan mulia di bulan Ramadhan. Di sini ingin dikongsikan beberapa amalan yang boleh kita lakukan untuk memaksimumkan pahala di bulan Ramadhan yang akan kita tempuhi tidak berapa hari lagi.

1. Berniat di dalam hati untuk berpuasa (pada waktu malam)

2. Bersahur di akhir malam (berdekatan dengan azan subuh)

3. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa

4. Memperbanyakkan doa semasa berpuasa

5. Memperbanyakkan doa ketika hampir waktu berbuka

6. Mempercepatkan berbuka selepas masuk waktu Maghrib

7. Digalakkan untuk berbuka dengan beberapa biji kurma

8. Bersedekah untuk orang berbuka puasa

9. Menunaikan solat Terawih secara berjemaah 

Maklumat ini diambil dari web Ustaz Zaharuddin. Sama-samalah kita berkongsi kebaikan.

Tuesday, July 1, 2014

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN DAN MENJALANI IBADAH PUASA




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Hai.. Agak terlewat nampaknya entri ini. Apa-apapun, aku ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada semua pembaca-pembaca tegar mahupun pembaca tidak tegar blog ini.




Semoga puasa kita tahun ini lebih hebat amalanya dari tahun-tahun yang sudah. Insya-Allah.

Tuesday, July 16, 2013

KENANGAN PONTENG PUASA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Rehat tengah hari ni ingatkan nak lelapkan mata sekejab, tersengih pula sendirian apabila teringatkan kenangan lama ponteng puasa di zaman kanak-kanak. 

Dulu, aku ni memang rajin menolong mak membuat kuih raya. Balik sekolah je, bila tengok mak buat kuih raya, mesti mahu tolong. Ada satu hari tu, aku tolong mak mengupas kulit kacang tanah. Aku kupas, kupas, sebiji aku masuk mulut. Kupas lagi, terus masuk mulut. Hehe, siap bersembunyi di sebalik tong gas.

Tak habis lagi, bila mak sudah mula memasak kuih dalam ketuhar, mulalah baunya menusuk ke hidung. Bila sudah masak je, aku dalam diam-diam angkat 3,4 biji kuih terus lari masuk dalam bilik. Di dalam bilik apa lagi, dengan pantas aku telah kuih raya tu. 

Gambar sekadar hiasan. Rujukan gambar KLIK

Hai... Macam-macamlah. Tu belum cerita pasal meneguk air paip lagi. Bulan-bulan puasa memang nampak air paip dah macam air sirap. Perghhh.. Dulu mana ingat, air paip masak ke tak, bersih ke tak, asal air je teguk sajalah.

Sekian saja cerita dulu-dulu. Sekarang memang tak buat dah... :)

(Ps : entah kenapa aku tersenyum simpul mengenangkan kisah lama.)

Sunday, July 14, 2013

ANTARA SOLAT DAN PUASA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

SOLAT dan PUASA sama penting dan wajib dilakukan. 2 perkara ini memang terdapat di dalam Rukun Islam. Namun, ada seorang ilmuan ISLAM pernah berkata yang bermaksud :

"Orang yang menjaga solatnya sudah tentu akan berpuasa manakala orang yang tidak menjaga solatnya belum tentu akan berpuasa"

Pada peribadinya, aku amat bersetuju dengan kenyataan di atas. Kalau kita berpuasa namun tidak bersolat, maka yang akan diperoleh bukanlah pahala, tetapi hanya lapar dan dahaga. 

Begitulah pentingnya SOLAT. Kita diajar untuk mendirikan SOLAT sejak dari umur 7 tahun lagi. Namun, ramai 'orang kita' membuat kesilapan dengan mengajar anak kecil berpuasa terlebih dahulu, tetapi SOLAT tidak diajarnya dengan mengharapkan mereka akan belajar sendiri apabila besar kelak. 

Kesian anak-anak kecil melepuk menahan kelaparan atas dasar mahu mengajar anak itu berpuasa. Kalau kita sanggup membiarkan anak kita kelaparan, maka kita juga harus sanggup memukul anak kita yang umurnya mencecah 10 tahun tetapi masih tidak bersolat. 

"Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun, dan pukullah mereka kerana tidak bersolat ketika berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tempat-tempat tidur mereka"

Hadith Riwayat : Ahmad dan Abu Daud

Sekian, untuk perhatian bersama di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Bukan niat untuk mengajar tetapi untuk pengetahuan kita bersama. Semoga kita peroleh manfaat daripadanya.

Wednesday, July 10, 2013

TIPS BERJIMAT CERMAT SEMASA KE PASAR RAMADHAN @ PARAM


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Bila masuk saja bulan Ramadhan, selain daripada ibadah puasa, solat terawih, solat malam, ia juga pasti dikaitkan dengan Pasar Ramadhan @ Bazar Ramadhan @ PARAM.

Apabila ke Pasar Ramadhan, sudah pasti otak ligat berfikir nak beli itu, beli ini, sehinggakan tak cukup satu tangan hendak menjinjing beg-beg plastik yang mengandungi makanan. Pelbagai makanan dibeli dari murtabak, kuih tepung pelita, ayam percik dan sebagainya. 


Gambar sekadar hiasan. Rujukan gambar : KLIK


Apa yang agak dikesalkan ialah berlakunya pembaziran. Kadangkala, makanan yang dibeli itu langsung tidak diusik. Sudah terlalu kenyang berbuka puasa dengan nasi sehingga tidak mampu untuk mengisi makanan-makanan yang lain. Kalau difikirkan, berapa besar sangatlah perut kita boleh mengisi makanan. Nafsu kita sebenarnya yang besar.

Hanya satu tips yang sememangnya sangat berguna bagi mengelakkan pembaziran apabila ke Pasar Ramadhan iaitu dengan membawa wang seminimum yang boleh. Kalau boleh bawalah hanya RM5.00 atau RM10.00 sahaja agar kita sendiri dapat mengawal perbelanjaan ketika membeli belah di PARAM.

Dengan membawa wang yang minimum, sebesar manapun nafsu kita nak beli itu, beli ini akan terbatas kerana duit yang dibawa tidak mampu membeli dengan jumlah yang banyak. Secara tidak langsung, tidak akan berlakunya pembaziran dan membeli makanan berlebih-lebihan. 

Bukankah di bulan Ramadhan ini kita diajar untuk bersederhana? Oleh itu, marilah sama-sama kita bersederhana dalam apa-apa bentuk tindakan.

Selamat beramal dan selamat berpuasa... :)

Friday, July 27, 2012

TERINGAT SAJAK PUASA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sambil-sambil menunggu ketibaan marghrib ni, teringat pula pada sebuah sajak yang telah saya nukilankan pada bulan puasa yang lepas. Rasa-rasanya 2 tahun yang lepas saya karang sajak ini.

Ia bukanlah sebuah sajak yang panjang. Ianya pendek dan ringkas sahaja. Apa kata sama-sama layan setiap bait kata-kata puitis ini. :)

Jom layan ----> SAJAK : AKU SEDANG PUASA

Thursday, July 26, 2012

KATA SPONTAN NO 16 : BAGAIMANA PUASA SAYA???


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Beginilah keadaan saya walau bukan di bulan puasa. Namun apabila bulan puasa saya juga tidak terlepas dari memandang wanita-wanita Mat Saleh yang baju terdedah di dada. Amoi-amoi dari China, Jepun dan Korea yang betis dan peha putih melepak. Bukan sengaja nak pandang, tapi terpandang.

Nak buat macam mana? Sudahnya bekerja di industri pelancongan. Kiri, kanan, atas, bawah atau mana-mana saja saya berlalu pasti akan terserempak dengan mereka-mereka ini.

Timbul persoalan di dalam batu jemala.., bagaimanakah puasa saya?