Showing posts with label pokok pisang. Show all posts
Showing posts with label pokok pisang. Show all posts

Saturday, October 1, 2022

Sabar Itu Separuh Daripada Iman

Sebelum ini aku pernah menulis entri berkaitan pokok pisang yang ditanam tidak membuahkan hasil walaupun telah mengambil masa yang agak lama. Namun, aku tidak berputus asa. Terus menjaga pokok-pokok pisang tersebut dengan mengemburkan tanah dan membajanya. Entri pasal pokok pisang tersebut boleh dibaca di SINI.

Pisang 40 hari


Alhamdulillah.. Setelah beberapa bulan, akhirnya berbuah juga pokok-pokok pisang yang ditanam di belakang rumah yang tanahnya hanyalah sekangkang kera. Pada ketika ini sudah tiga batang pokok telah berbuah. Pisang yang aku tanam itu adalah pisang 40 hari. Comel-comel saja bentuknya. Tak pasti pula sekiranya ada nama lain bagi pisang ini. Kalau sesiapa tahu, silalah komen.

Sebatang lagi pokok yang telah mengeluarkan jantung pisang


Kebetulan anak keempat aku, Muhammad Firman memang suka makan pisang. Dialah yang paling banyak makan berbanding adik beradik yang lain. Kalau duduk di belakang rumah saja, dia akan bertanya, bila buah pisang nak ada lagi. Hihihi.. 

Sekarang ini, di belakang rumah telah aku tanam beberapa batang pokok pisang di tepi-tepi tembok rumah. Anak-anak pokok pisang yang tumbuh, aku alihkan ke tempat sesuai agar ia tidak tumbuh serumpun. Semoga pokok-pokok ini terus mengeluarkan hasil. Insyallah.

Monday, August 16, 2021

DALAM SETANDAN PISANG BUKAN SEMUANYA BUSUK

 
Hanya daun pisang saja yang mampu diambil gambar. Pisang belum berbuah.

Begitulah indahnya peribahasa ciptaan orang dulu-dulu. Mereka melihat dan meneliti kejadian alam semesta untuk dirujuk kepada perkara-perkara yang dilakukan oleh manusia seharian. Biasanya, tepat sekali perumpamaan ini, iaitu perkaitan antara tumbuhan atau haiwan dan manusia. Sungguh bijak orang-orang dahulu meniliti dan menilai alam ciptaan Allah SWT.

Kenapa pisang? Sebenarnya banyak peribahasa, perumpamaan dan pantun yang menggunakan pisang sebagai objek untuk menerangkan sesuatu. Tak perlulah saya jelaskan kerana semua orang sedia mengetahuinya.

Dalam setandan pisang tak semuanya busuk dan bukan juga semuanya baik. Jadi, jika kita sedia ketahui status pisang-pisang yang terdapat pada setandan pisang, kita sendiri pilihlah. Yang mana baik, simpan atau terus makan, manakala yang sudah busuk, untuk apa disimpan lagi, perlu dibuang sahaja.

Janganlah pula kita menjadi gila dengan membuang semua pisang yang setandan itu. Bukan semuanya busuk, buat apa dibuang semua. Hendak menanam pisang bukannya mudah. Nak tunggu lagi pisangnya berbuah pun satu hal lagi. Jika bernasib baik, berbuah semula, jika tumbesaran pokok terbantut, langsung tak mendatangkan hasil. 

Saya membuat entri ini setelah melihat pokok-pokok pisang di belakang rumah saya kelihatan terbantut tumbesarannya. Malu-malu nak membesar. Barangkali tanahnya tak sesuai. Puas sudah dibelai, dibaja. Mungkin belum ada rezeki nak makan pisang yang ditanam sendiri.

Tuesday, November 26, 2013

BERBUDI PADA TANAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.




Buah pisang di atas tu adalah hasil kedua kalinya setelah aku menanam pokoknya di belakang rumah. 

Anak pokoknya aku peroleh dari rumah bapa saudara aku di Kepong, KL. Aku hanya ambil sepokok, selepas beberapa bulan ditanam aku mendapat hasil yang pertama. Setelah aku tebang pisang yang telah berbuah tu, dalam beberapa minggu, tumbuh pula anak-anak pokok pisang lebih kurang 5-6 batang pokok.

Apa yang aku nak jelaskan di sini ialah, kalau kita berbudi pada tanah, In Sha Allah suatu hari nanti pasti mendapat hasilnya. Jom bercucuk tanam.. :)

Ops..! Sebenarnya aku pun tak berapa pasti pisang apakah ni. Ini bukan Pisang Tanduk, tapi ada orang beritahu, yang ni ialah Pisang Lang. Betul ke yang ni Pisang Lang?