Showing posts with label perbadanan muzium melaka. Show all posts
Showing posts with label perbadanan muzium melaka. Show all posts

Wednesday, January 3, 2024

Rumah Belanda di Jalan Kota, Melaka

Rumah Belanda... Bangunan ini merupakan bangunan yang menempatkan muzium pertama negeri Melaka. Dahulunya lebih dikenali sebagai 'Sekolah Gambar'. Ingin mengetahui lebih lanjut tentang sejarah awal Muzium Melaka, boleh klik di pautan ini Sejarah Awal Muzium Melaka.

Kali terakhir bangunan ini dijadikan sebagai Muzium Setem. Namun kini tidak lagi, ia kembali bertukar fungsi. Sekarang terdapat kafe di dalam bangunan ini. Dalam masa yang sama, kami sedang merancang untuk mengembalikannya seperti zaman dahulu iaitu Sekolah Gambar. 

Ia akan mempamerkan gambar-gambar lama berkaitan negeri Melaka. Sambil menikmati juadah, pelawat boleh melihat gambar-gambar lama yang bersejarah dan penuh nostalgia.











Monday, January 2, 2023

Pertemuan dan Perpisahan Adat Manusia Biasa

Tahun baharu, azam baharu dan tempat bertugas yang baharu. Ya, tempat baharu. Tahun 2023 ini aku akan meninggalkan pejabat di Seksyen Penyelidikan dan akan bertukar ke Seksyen Operasi Muzium.

Sebenarnya, pertukaran di dalam jabatan aku bukanlah suatu yang menghairankan kerana memang kerap juga bertukaran atau penggiliran dilakukan di dalam jabatan. Iyalah, kami ini hanya perbadanan negeri yang tidak boleh berpindah-randah ke jabatan yang lain. Justeru pertukaran kakitangan antara bahagian-bahagian di dalam jabatan ini merupakan perkara yang biasa.

Sudah lebih 15 tahun aku berada di jabatan ini dan pelbagai bahagian/ seksyen/ unit pernah aku bertugas antaranya Unit Pendaftaran, Unit Konservasi dan Unit-unit Muzium. Tahun 2020 merupakan pertama kali jabatan aku menyemak semula perjawatan dan mewujudkan bahagian-bahagian baharu, jadi aku ditempatkan di Seksyen Penyelidikan di bawah Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi. 

Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi merupakan bahagian yang baru ditubuhkan. Aku adalah kakitangan pertama yang mengetuai Seksyen Penyelidikan. Alhamdulillah, aku masih boleh berbangga kerana banyak penerbitan yang berjaya aku laksanakan walaupun usia bahagian tersebut baru 2 tahun ditambah lagi pandemik covid-19 yang melanda pada tahun 2020. 

Tahun 2023 aku akan kembali ke muzium. Pejabat baharu aku nanti adalah di Bangunan Stadthuys di mana ia merupakan pejabat lama aku sebelum aku ke Seksyen Penyelidikan. Ia bukan sesuatu yang asing bagi aku kerana sebelum ini aku pernah bertugas di operasi muzium. Insyaallah, aku akan cuba membuat yang terbaik di mana sahaja aku diarahkan bertugas. 

Hadiah-hadiah tanda perpisahan dari rakan-rakan di Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi




Saturday, December 17, 2022

Empat (4) Fungsi Utama Muzium

Bermesra bersama artifak


APA ITU MUZIUM?

Saban tahun Majlis Muzium Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai International Council of Museum (ICOM) mengkaji dan mengemaskini definisi muzium selari dengan fungsi muzium yang kini dilihat bukan lagi sebuah organisasi yang statik, tetapi ia merupakan organisasi serta bidang yang dinamik. Ini adalah selaras dengan fungsi permuziuman itu sendiri yang memiliki bidang-bidang kepakaran yang tertentu, bukan sahaja sekadar mempamerkan artifak dan bahan-bahan lama yang bersejarah, malah lebih daripada itu.

Menurut definisi yang sering digunakan oleh mana-mana organisasi permuziuman di dunia, muzium didefinisikan sebagai "institusi bersifat tetap, tidak berorientasikan keuntungan, terbuka kepada umum dengan peranannya memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamerkan bukti-bukti peninggalan manusia dan persekitarannya untuk tujuan pendidikan dan hiburan."

APA TUGAS KAKITANGAN MUZIUM?

Kecuali tugasan pentadbiran dan kewangan, tugas-tugas kakitangan muzium adalah berbeza dengan jabatan-jabatan lain. Terdapat tiga (3) jawatan di muzium yang tiada di jabatan lain iaitu Kurator (S41), Penolong Kurator (S29) dan Pembantu Muzium (S19). Sekiranya disamakan dengan jawatan pentadbiran, jawatan-jawatan ini adalah mempunyai tingkatan pangkat seperti Pegawai Tadbir (N41), Penolong Pegawai Tadbir (N29) dan Pembantu Tadbir (N19).

Di sini ingin diperjelaskan perihal empat (4) tugas-tugas kakitangan muzium iaitu bersamaan dengan fungsi muzium itu sendiri iaitu memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamer. Berikut adalah huraiannya :

A. MEMPEROLEH

Bahan utama yang menyebabkan kewujudan sesebuah muzium ialah ARTIFAK dan bahan bersejarah. Apa itu artifak? Menurut definisi yang digunapakai oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM), artifak adalah peralatan atau barang-barang buatan manusia peninggalan pada zaman dahulu. Usia bahan yang ditakrifkan sebagai artifak adalah antara 50 tahun dan ke atas. Selain artifak, fosil dan lain-lain bahan bersejarah turut dipamerkan di dalam muzium.

Di dalam dunia pemuziuman, terdapat beberapa kaedah dalam memperoleh atau mengumpul artifak. Kelazimannya bahagian atau unit yang terlibat di dalam perolehan artifak adalah sama ada Bahagian Pengurusan Koleksi, Bahagian Pengurusan Artifak atau lain-lain istilah yang bersesuaian. Kaedah-kaedah perolehan yang biasa digunapakai oleh institusi muzium ialah :

i. SUMBANGAN

Masyarakat yang mempunyai artifak dan bahan-bahan bersejarah adalah digalakkan untuk menyumbangkannya kepada pihak muzium. Ini adalah bertujuan, artifak tersebut dapat dipamerkan seterusnya memberikan manfaat dalam bentuk pendidikan dan pemahaman kepada masyarakat. 

Masyarakat yang menyumbangkan artifak atau bahan bersejarah kepada muzium merupakan satu langkah yang sewajarnya diberi kepujian. Ini adalah kerana kesanggupan dan kepercayaan yang diberikan kepada pihak muzium untuk menjaga seterusnya mempamerkan bahan tersebut bakal memberikan suatu sudut pandang yang berbeza dari aspek sejarah, kebudayaan atau warisan berdasarkan bahan yang disumbangkan. 

Adalah berkemungkinan bahan tersebut tiada dalam simpanan atau pameran di muzium, justeru ia amat bermakna jika masyarakat dapat menyumbangkan bahan, lebih-lebih lagi ia merupakan bahan yang bersejarah dan unik.

Kelazimannya, apabila seseorang telah menyumbangkan artifak kepada pihak muzium, sebagai galang gantinya mereka akan menerima beberapa manfaat. Manfaat ini bergantung kepada pihak pengurusan muzium masing-masing. Sebagai contoh manfaat yang diberi ialah memberikan pas masuk percuma ke muzium kepada penyumbang, memberi imbuhan secara 'one off', memberi sijil penghargaan, pengecualian cukai dan lain-lain yang difikirkan perlu.

ii. PEMBELIAN

Bagi meningkatkan koleksi artifak dan bahan bersejarah di muzium adalah dengan kaedah pembelian. Kebiasaannya organisasi muzium telah menetapkan belanjawan tahunan bagi pembelian artifak dan bahan bersejarah. Lazimnya harga artifak tidaklah murah, justeru institusi muzium menetapkan belanjawan pembelian artifak menjangkau ratusan ribu ringgit setahun, malah bagi muzium-muzium yang besar, menetapkan perolehan melalui pembelian artifak melepasi jutaan ringgit. 

Pembelian seperti ini harus dilakukan bagi menambah koleksi artifak di muzium agar ia dapat dipamerkan bagi manfaat orang ramai khususnya bagi tujuan pendidikan seterusnya memperkayakan ilmu-ilmu berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

iii. JUMPAAN

Artifak jumpaan adalah berkait rapat dengan disiplin arkeologi. Kerja-kerja pengorekan, cari gali atau istilahnya ekskavasi arkeologi merupakan salah satu sub-bidang dalam dunia permuziuman. Apabila kerja-kerja ekskavasi dijalankan, kebiasaannya akan menemui bahan-bahan bersejarah seperti artifak atau fosil. 

Jumpaan-jumpaan ini adalah penting bagi pembuktian sejarah, budaya dan warisan di sesebuah tapak yang digali. Seterusnya ia disimpan atau pamerkan di muzium bagi tujuan pendidikan, penyelidikan serta apa-apa tujuan lain dalam mengetengahkan khazanah warisan negara.

B. MEMULIHARA

Apabila memperoleh sesuatu artifak atau bahan bersejarah, proses seterusnya adalah memulihara. Di dalam dunia permuziuman, memulihara disebut sebagai konservasi artifak. Artifak yang baru diperoleh perlu menjalani proses konservasi bergantung kepada keadaan artifak tersebut. Sekiranya arifak tersebut sekadar kotor dan berhabuk, pembersihan secara fizikal perlu dilakukan bagi menghilangkan segala kotoran yang terlekat pada artifak tersebut. 

Sekiranya terdapat kerosakan-kerosakan dan kekotoran tertentu yang sukar dibersihkan secara fizikal, proses pembaikan secara penggunaan bahan kimia atau lain-lain kaedah yang difikirkan perlu diambil bagi menyelamatkan jangka hayat artifak tersebut. Tidak hanya pada artifak yang baru diperoleh, artifak yang terdapat di ruang pameran dan kawasan repositori juga perlu melalui proses konservasi.

Konservasi artifak terbahagi kepada dua iaitu konservasi preventif dan konservasi kuratif. Konservasi preventif adalah bertindak untuk mencegah atau menghalang artifak supaya tidak mudah rosak akibat persekitaran seperti suhu, cahaya, kelembapan dan serangga perosak seperti fungus, serangga serta pencemaran udara.

Konservasi kuratif pula merupakan tindakan secara terus yang diambil terhadap artifak yang telah mengalami deteriorasi. Tindakan ini diambil bagi memberhenti atau merencatkan proses deteriorasi terus berlaku terhadap artifak.

Di dalam bidang pemuziuman, kakitangan yang melaksanakan kerja-kerja konservasi dikenali sebagai konsevator yang mempunyai kemahiran menggunakan bahan-bahan mekanikal dan kimia bagi proses konservasi. Setiap muzium kebiasaannya mempunyai Bahagian Konservasi bagi menempatkan kakitangan di sebuah lap untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Bagi artifak dan bahan bersejarah yang telah rosak yang perlu dibaiki, kaedah restorasi boleh digunapakai. Restorasi merupakan kaedah di mana artifak dirawat bagi mengembalikan artifak seperti sediakala dengan menggunakan material yang sama atau hampir sama dengan bahan asal artifak tersebut.

C. MENYELIDIK

Menyelidik merupakan salah satu aspek penting dalam bidang permuziuman. Setiap muzium yang mempamerkan artifak harus mempunyai keterangan atau maklumat yang perlu disampaikan. Bagi menyampaikan maklumat tersebut, penyelidikan dibuat bagi mengetahui sesuatu artifak atau bahan bersejarah. 

Penyelidikan berkaitan artifak ini lazimnya dilaksanakan oleh kurator yang mempunyai disiplin ilmu tertentu sama ada artifak tersebut berkait dengan sejarah, kebudayaan, warisan atau sebagainya. Justeru, kurator memainkan peranan yang penting untuk membuat penyelidikan bagi memastikan maklumat yang bakal disampaikan adalah benar dan tepat. 

Selain kurator yang menjalankan penyelidikan, pihak muzium turut mendapatkan bantuan daripada para penyelidik khususnya daripada instituti pengajian yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Boleh juga mendapatkan bantuan daripada penyelidik-penyelidik persendirian atau individu-individu yang mempunyai kemahiran dalam satu-satu bidang yang hendak diselidiki.

D. MEMPAMERKAN

Seterusnya, artifak dan bahan bersejarah perlu dipamerkan. Ia adalah bertujuan agar ia boleh dilihat atau disaksikan oleh orang ramai yang mengunjungi muzium. Ini adalah salah satu proses pendidikan muzium di mana para pelawat memperoleh ilmu, maklumat dan hiburan dari artifak yang dilihat seterusnya memberi manfaat khususnya dalam mengenali sejarah, budaya dan warisan negara. 

Dahulu, artifak dan bahan bersejarah dipamerkan secara konvensional di mana hanya dipamerkan di dalam peti pameran dan terdapat penerangan berkaitan bahan tersebut. Namun kini, penggunaan teknologi moden sering digunakan dalam aspek mempamerkan artifak sama ada dalam bentuk 3D, Virtual Reality (VR), Audio Tour dan lain-lain kaedah bersifat interaktif yang mana antara lainnya bagi menarik golongan muda untuk mengunjungi muzium.

Tuntasnya, itulah antara empat (4) fungsi utama muzium yang menggerakkan institusi permuziuman khususnya di negara kita ini bagi menyebarluaskan pendidikan muzium kepada masyarakat. Walaubagaimanapun terdapat juga lain-lain tugas, peranan atau fungsi tertakluk kepada sesuatu muzium seperti zoologi yang berperanan menjalankan penyelidikan dan kerja-kerja berkaitan hidupan haiwan meliputi taksidermi iaitu pengawetan haiwan dan sebagainya. 

Turut terpakai dalam alam permuziuman ialah konservasi bangunan. Muzium kelazimannya menggunakan bangunan-bangunan lama era kolonial. Oleh itu, penjagaan bangunan muzium adalah amat berbeza berbanding penjagaan bangunan baharu. Bangunan muzium dibaikpulih mengikut kaedah konservasi dengan diawasi oleh konservator bertauliah. Ini dilakukan agar fasad bangunan dan lain-lain hiasan luaran serta dalaman dibaikpulih dengan sempurna dengan mengekalkan seni bina asalnya. Sepertimana kaedah konservasi, pengekalan bahan asal adalah penting dalam membaiki sesuatu kerosakan, sekiranya tiada, bahan hampir sama perlu digunakan bagi mengekalkan rupa asal bangunan tersebut.

Justeru, masyarakat perlu memahami fungsi kewujudan muzium dan peranannya kepada masyarakat. Muzium perlu dijadikan destinasi utama apabila melancong ke sesebuah negeri atau negara kerana ia bukan hanya memberikan hiburan malah terdapat banyak khazanah ilmu yang bermanfaat terdapat di dalamnya. Bukan sahaja berkaitan sejarah, terdapat banyak disiplin ilmu yang terdapat di muzium antaranya kebudayaan, warisan, seni bina, permuziuman dan lain-lain lagi.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Tuesday, July 6, 2021

LAWATAN MAYA @ MUZIUM SEJARAH & ETNOGRAFI

Musim-musim PKP ini tidak banyak yang dapat dilakukan. Tidak boleh rentas daerah, negeri, malah banyak sektor yang ditutup termasuklah muzium. Muzium Melaka antara yang menerima kesan daripada pandemik covid-19.

Sebelum ini, Muzium Melaka merupakan muzium teramai pelawat berbanding muzium-muzium lain di Malaysia. Dengan jumlah pelawat menghampiri 1,000,000 pengunjung setahun, pandemik covid-19 sedikit sebanyak telah mengurangkan kedatangan pelawat ke muzium. 

Selain itu, program-program permuziuman pun tidak dapat dilakukan. Kerja-kerja cari gali yang baru saya laksanakan pun terpaksa ditangguhkan dan macam-macam lagi perancangan tahunan tidak dapat dilaksanakan.

Namun begitu, ia bukan bererti pihak kami harus berpeluk tubuh melihat sahaja pandemik ini datang dan pergi. Aktiviti dan program bersifat norma baharu khususnya melibatkan aktiviti dalam talian telah diatur bagi memastikan institusi permuziuman khususnya di negeri Melaka terus berjalan seiring dengan perkembangan semasa.

Terbaru, Muzium Melaka telah memperkenalkan program Lawatan Maya. Buat kali pertama ini akan melibatkan lawatan ke Muzium Sejarah & Etnografi. Sesi lawatan maya ini dijalankan secara dalam talian menggunakan platform Google Meet.



Muzium Sejarah & Etnografi merupakan muzium utama negeri Melaka. Memaparkan artifak dan bahan sejarah sejak dari zaman kesultanan Melayu Melaka hinggalah ke zaman penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan British. Jika ke Melaka, tidak sempurna lawatan sekiranya tidak ke muzium ini.

Bayaran yang dikenakan adalah sangat murah iaitu RM5.00 sahaja. Sekiranya sekeluarga nak mengikutinya di dalam satu komputer atau telefon pintar tetap dengan harga RM5.00. Murah kan? Seisi keluarga boleh tengok.

Justeru, di kesempatan ini, suka saya mempromosikan program lawatan maya ini yang akan dilaksanakan pada ketentuan yang dinyatakan di dalam poster di atas. Semoga ramai yang akan mengikuti lawatan maya ini yang tentunya akan memberikan ilmu dan maklumat yang bermanfaat.

Jika berminat, sila daftar di sini 👉🏼 KLIK

Tuesday, June 22, 2021

DENGAULER CERITAKU @ MUZIUM MELAKA : PERCAYA ATAU TIDAK, PENGALAMAN KU DI MUZIUM MELAKA


Ada ke yang berminat nak tahu pasal bidang permuziuman, sejarah, warisan dan kebudayaan? Jika ada yang berminat, bolehlah menonton siaran langsung program Dengauler Ceritaku @ Muzium Melaka bertajuk Percaya atau Tidak, Pengalamanku di Muzium Melaka.

Program ini akan diadakan pada hari esok iaitu 23 Jun 2021 (Rabu) pada jam 10.00 pagi. Ia boleh ditonton secara langsung di Facebook rasmi Muzium & Galeri Melaka. Sesiapa yang berminat, boleh kunjungi halaman Facebook ini dan jangan lupa like sekali ye.

Program ini akan mengetengahkan dua orang tokoh Perbadanan Muzium Melaka iaitu Drs. Mohd Nasruddin Rahman dan Encik Nurman Mohd Baroldin. Manakala moderatornya adalah saya, Fairus bin Haji Mamat. 😀😀😀

Ok jangan lupa menonton esok tau... Banyak benda yang tersurat dan tersirat akan dikupas. 


Wednesday, April 7, 2021

MENANG ANUGERAH BUKU NEGARA

 


Alhamdulillah. Sebenarnya, hanya sekelumit sumbangan aku dalam penulisan buku ini. Hari ini pada tanggal 7 April 2021, buku Himpunan Kuih Muih Tradisional Etnik Melaka telah diangkat untuk memenangi Anugerah Buku Negara bagi kategori Buku Warisan yang berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur.

Buku ini adalah terbitan jabatan aku yang menghimpunkan resepi kuih muih tradisional etnik Melaka dan artikel-artikel berkaitan.

Antara resepi-resepi yang terkandung dalam buku ini adalah dari etnik Melayu, Cina, India, Portugis, Chetti, Baba Nyonya dan Orang Asli. Buku ini ditulis dalam dwibahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris

Tidaklah banyak mana penulisan aku dalam buku ini, hanya 3 artikel sahaja iaitu : 

1. Pengenalan Perbadanan Muzium Melaka

2. Kuih-muih Warisan Satukan Etnik Melaka

3.  Masakan Tradisional Portugis, Istimewa di Pesta Keagamaan

Sekiranya rakan-rakan blogger ingin mendapatkan buku ini, saya sedia membantu untuk poskan buku ini kepada kalian. Bolehlah tinggalkan komen di bawah sekiranya ingin membeli.


Harga buku ini sepertimana yang tercatat pada poster promosi di atas. Sekiranya mahu membeli, sila tambah beberapa RM untuk tujuan pengeposan. 

Friday, March 26, 2021

SEJARAH AWAL MUZIUM MELAKA

Logo Muzium Melaka yang digunakan pada tahun 1954 hingga 1971

Institusi pemuziuman di Melaka telah bermula sekitar tahun 1933 apabila Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat memberikan kebenaran Persatuan Sejarah Melaka menggunakan sebuah bilik di bangunan Stadthuys (Bangunan Merah).

Pada 2 Jun 1952, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya British di Tanah Melayu telah mengadakan lawatan ke Melaka beliau telah mengarahkan Pesuruhjaya Residen Melaka agar bangunan-bangunan bercirikan Belanda di Fort Road (Jalan Kota) dijadikan pusat poster dan bahan propaganda British bagi membendung ideologi komunis di Melaka. Penduduk tempatan menyebut pusat ini sebagai 'Sekolah Gambar'.

Pada tanggal 19 Mac 1954, George Evan Cameron Wisdom, Pesuruhjaya Residen bagi negeri Melaka telah mengisytiharkan pembukaan sebuah rumah Belanda di Fort Road (Jalan Kota) sebagai Muzium Melaka dan pada tarikh yang sama Muzium Melaka telah dibuka secara rasmi. Pentadbiran British telah menyusun rancangan dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mentadbir dan menguruskan Muzium Melaka.

Seterusnya pada tahun 1953, pentadbiran British telah mengisytiharkan telah mempunyai sebuah muzium yang diuruskan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan. Tindakan ini dibuat kerana Persatuan Sejarah Melaka dikatakan tidak mampu untuk menguruskan institusi muzium yang dikelolakan sebelum ini. Perubahan ini menyebabkan bilik muzium yang terdapat di bangunan Stadthuys mula dipindahkan ke di bangunan muzium yang baharu di Fort Road (Jalan Kota). 

Pada 15 Julai 1954, D.C. Macgillivray, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu meluluskan Enakmen Muzium Melaka 1954 bagi membolehkan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Lembaga Muzium Melaka ditubuhkan. Pembukaan muzium ini merialisasikan dasar Sir Gerald Templer untuk mengumpul kepelbagaian artifak dan budaya Melaka, termasuk sejarah semula jadi. 

Lembaga ini mempunyai bidang kuasa untuk menguruskan Muzium Melaka termasuk bidang kuasa membeli dan mempamerkan artifak serta koleksi bahan yang dimiliki oleh Muzium Melaka.

Sumber rujukan : 65 tahun Muzium Melaka

Ps: Bila kali terakhir kamu mengunjungi muzium?

Monday, January 23, 2017

EXPERIENCE TO DISCOVER MELAKA MUSEUM

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Experience To Discover Melaka Museum... Inilah tagline baharu yang diperkenalkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bagi tahun 2017 untuk menarik lebih ramai pengunjung ke muzium.

Antara salah satu muzium yang wajib dilawati di Melaka ialah Muzium Istana Kesultanan Melaka. Lihat gambar-gambar di bawah ini, kebiasaannya pelawat tidak dibenarkan memasuki kawasan Balairong Seri, namun untuk memberikan pengalaman yang lebih menarik, kami membukanya dan membenarkan pelawat memasuki kawasan tersebut pada masa-masa tertentu. 

Jadi, kebiasaannya para pelawat hanya mengambil gambar balairong Seri dari luar kawasan dibenarkan, namun kini ia boleh dimasuk dan pelawat boleh bergambar di ruang tersebut.

Jom le melawat muzium...









P/s : Jangan ditanya mengapa tagline dibuat dalam Bahasa Inggeris.

Tuesday, October 6, 2015

PAMERAN SOLO KOH SHIM LUEN : TALES OF 2 CITIES

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Pameran Solo Koh Shim Luen bertajuk Tales of 2 Cities (Straits Legacy of Melaka & Georgetown) mengambarkan hasil seni visual bangunan-bangunan warisan yang terdapat di negeri Melaka dan Pulau Pinang.

Pameran ini sedang diadakan di Balai Seni Lukis Melaka dan telah dibuka untuk kunjungan orang ramai. Bagi peminat-peminat seni, haruslah datang melawat ke pameran ini kerana hasil seninya begitu menarik. 




Thursday, June 25, 2015

CERTIFICATE OF EXCELLENCE BY TRIPADVISOR

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Buat pertama kalinya, muzium tempat aku bertugas mendapat Certificate of Exellence dari Tripadvisor bagi tahun 2015. Kadang pelik juga, belum habis tahun 2015 tapi dah dapat sijil. Tapi oklah tu, orang dah nak beri penghargaan, terima sajalah.


Muzium yang dimaksudkan ialah Muzium Istana Kesultanan Melaka yang terletak di Banda Hilir, Melaka.

Kalau sesiapa yang pernah melawat ke muzium ini, bolehlah masukkan pandangan dan komen dalam Tripadvisor. Jangan lupa beri komen yang baik-baik dan beri rating yang tinggi tau? Terima kasih semua. 

Wednesday, May 27, 2015

PAMERAN THE FASCINATING STORY OF INDIAN CINEMA


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Berminat menonton filem India? Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dengan kerjasama Kedutaan India di Malaysia sedang mengadakan pameran THE FASCINATING STORY OF INDIAN CINEMA di Balai Seni Lukis Melaka.

Memaparkan sejarah perfileman India dari awal hingga terkini dari filem Tamil, Malayalam, Bollywood dan sebagainya. 

Jika ada kesempatan, mari pergi melawat ke pameran ini.














Friday, December 5, 2014

PAMERAN STADTHUYS : WARISAN SEJARAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Bagi peminat-peminat seni visual, bolehlah berkunjung ke Pameran Stadthuys : Warisan Sejarah yang diadakan di Balai Seni Lukis Melaka. 

Para pelukisnya terdiri daripada para pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah bermula 5 November yang lalu dan akan berakhir pada 28 Disember 2014.

Apa lagi, jomlah beramai-ramai hadir untuk melawat ke pameran ini.


Ini bukan peserta Pencetus Ummah


Seputar di majlis perasmian


Riben menunggu untuk dipotong


Dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wira Haji Hamdin Abdollah





Berikut beberapa sudut pameran dan lukisan-lukisan / arca yang dipamerkan.