Showing posts with label pengalaman. Show all posts
Showing posts with label pengalaman. Show all posts

Wednesday, February 23, 2022

Akhirnya Tergolong Sebagai Pesakit Covid-19

Gambar tiada kena mengena


18 Februari 2022 aku mula mengalami demam. Agak tinggi juga suhu badan pada ketika itu. Hampir mencecah 40°c. Tidur malam pun tidak lena, sekejap-sekejap terjaga. Ke kiri tak kena, ke kanan pun tak kena.

Sebelum ini isteri aku didapati positif Covid-19. Dia lebih awal daripada aku. Aku hanya didapati positif Covid-19 pada 20 Februari 2022. Aku tak risau akan diri aku, cuma risaukan isteri yang sedang sarat mengandung anak kelima kami. Insyaallah, awal bulan April ini bakal lahir.

Anak-anak turut demam. 3 orang anak demam dan kini telah sembuh. Cuma anak bongsu jadi hero sebab tak demam. Anak-anak kalau demam lagilah bertambah risau. Sebabnya mereka semua susah nak diberi makan ubat. Kena paksa betul-betul, kena pegang kaki dan tangan dan suapkan ubat dalam mulut. Itupun disemburkan. Banyak yang keluar dari masuk ke dalam perut.

Simptom Covid-19 yang aku kena dibawah kategori 2(a) dan terkini kategori 1. Cuma demam, selsema, batuk, sakit tekak, sakit kepala dan bisa-bisa sendi. Deria rasa masih berfungsi cuma deria bau kurang sedikit, mungkin sebab hidung tersumbat.

Sebelum ini, jabatan aku baru sahaja ditutup selama seminggu akibat ramai kakitangan yang terkena jangkitan Covid-19. 22 Februari baru buka. Tapi aku akan kuarantin di rumah hingga 26 Februari. Bertambah lamalah aku duduk di rumah.

Bantuan. Alhamdulillah, duduk di kejiranan yang aku tinggal sekarang amat prihatin. Bantuan datang dari pelbagai pihak. Bantuan pertama yang aku terima dari Gerobok Rezeki Masjid Al-Aminin, kedua dari pihak Japerun Klebang, Melaka dan yang ketiga dari JPKK kampung. Bagus mereka ini semua. Amat prihatin sedangkan aku baru juga berpindah di sini dalam 3 tahun lebih.

Adik beradik dan anak-anak buah juga banyak membantu. Mereka tolong belikan barang-barang keperluan. Memang sejak dari kuarantin semasa isteri kena Covid-19 kami tak keluar rumah. Cuma 2 kali keluar, itupun ke klinik. Hanya membeli makanan dan barangan keperluan melalui atas katil talian. 

Jadi, inilah sahaja sedikit sebanyak perkongsian diri aku yang dijangkiti Covid-19. Alhamdulillah, tidaklah teruk sangat. Bagi aku, ini tanda Allah SWT sayang kita. Dia beri kita sakit untuk menghapuskan dosa-dosa kecil dan menyuruh aku sentiasa ingat akan Dia. 

Sunday, May 23, 2021

KONTAK RAPAT KLUSTER TABLIGH

Mungkinkah Leonardo da Vinci telah dapat meramalkan covid-19 sejak awal tahun 1500 😅

Dulu kecoh! Kecoh satu Malaysia. Nama saya dan rakan-rakan lengkap dengan nama penuh, nama jabatan, jawatan, alamat rumah, nombor kad pengenalan dan nombor telefon telah ditularkan ke media sosial Facebook dan Whatsapp. Dikatakan kami ini dikehendaki kerana mempunyai kontak rapat dengan seseorang yang positif covid-19.

Mana taknya, masa itu covid-19 baru sahaja tersebar di Malaysia. Jadi, masyarakat luar teruja untuk menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan covid-19. Kebetulan pula kluster tabligh dikatakan kluster pertama penularan covid-19 di Malaysia.

Nak dijadikan cerita, saya berkursus dua hari pada 9 - 10 Mac 2020 lalu dan kursus tersebut turut dihadiri rakan yang baru pulang dari ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling. Benda baru, masa tu masih belum panas.  Rakan saya tu pun tak menyedari dia telah terkena covid-19. Tapi masa dia hadir kursus tu, menang dia kata tak sedap badan, dan batuk-batuk.

Dalam beberapa hari selepas kursus, rakan saya telah disahkan positif covid-19. Dalam sekelip mata, perkara ini menjadi viral. Kami yang mengikuti kursus tersebut dikatakan sebagai kontak rapat. Macam-macam versi yang saya dapat baca maklumat yang ditularkan, ada yang betul dan ada yang tidak betul.

Dalam masa sehari maklumat kami ditularkan, tak henti-henti saya terima panggilan dan whatsapp dari ahli keluarga, saudara mara, jiran dan rakan-rakan mengatakan nama saya telah tular kerana covid-19. Boleh dikatakan, hampir ke seluruh Malaysia perkara ini tular. Rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak juga turut bertanyakan hal ini. 

Aduh, sudah! Seharian, dari pagi sampai ke malam melayan pertanyaan orang. Sehinggakan saya siapkan satu teks penjelasan dan saya copy and paste pada mereka-mereka yang bertanya lagi. Penatlah nak menjawab dan menjelaskan.

Selang beberapa hari, saya dan semua peserta yang mengikuti kursus telah membuat saringan covid-19. Awal-awal dahulu, belum ada peralatan swab test seperti sekarang. Dulu cucuk guna cotton but saja. Sampai ke pangkal hidung kena cucuk, terus terasa sakit hidung dibuatnya.

Dalam seminggu selepas itu, keputusan covid-19 keluar. Alhamdulillah, semua peserta yang mengikuti kursus itu didapati negatif. Ketika itu, pada masa yang sama, negara telah lancarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama bermula 18 Mac 2020.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah, sekiranya disekeliling kita terdapat mereka yang dijangkiti covid-19, tolong jangan bebankan mereka dengan banyak pertanyaan. Mereka telah sakit, kita pula sama sibuk bertanya itu ini, itu ini, sehingga mereka terasa terbeban dan mungkin lebih memberi tekanan kepada mereka. 

Lagi satu, jangan tularkan sesuatu yang kita tidak tahu. Dapatkan dahulu kepastian sebelum menyebarkan sesuatu perkara. 

Akhir sekali, harapan saya agar pandemik covid-19 ini segera diangkat oleh Allah SWT dan lenyap di muka bumi ini. Dan kita sebagai muslimin dan muslimat hendaklah sentiasa menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha dengan ketentuan Allah SWT ini.

Tuesday, July 16, 2013

KENANGAN PONTENG PUASA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Rehat tengah hari ni ingatkan nak lelapkan mata sekejab, tersengih pula sendirian apabila teringatkan kenangan lama ponteng puasa di zaman kanak-kanak. 

Dulu, aku ni memang rajin menolong mak membuat kuih raya. Balik sekolah je, bila tengok mak buat kuih raya, mesti mahu tolong. Ada satu hari tu, aku tolong mak mengupas kulit kacang tanah. Aku kupas, kupas, sebiji aku masuk mulut. Kupas lagi, terus masuk mulut. Hehe, siap bersembunyi di sebalik tong gas.

Tak habis lagi, bila mak sudah mula memasak kuih dalam ketuhar, mulalah baunya menusuk ke hidung. Bila sudah masak je, aku dalam diam-diam angkat 3,4 biji kuih terus lari masuk dalam bilik. Di dalam bilik apa lagi, dengan pantas aku telah kuih raya tu. 

Gambar sekadar hiasan. Rujukan gambar KLIK

Hai... Macam-macamlah. Tu belum cerita pasal meneguk air paip lagi. Bulan-bulan puasa memang nampak air paip dah macam air sirap. Perghhh.. Dulu mana ingat, air paip masak ke tak, bersih ke tak, asal air je teguk sajalah.

Sekian saja cerita dulu-dulu. Sekarang memang tak buat dah... :)

(Ps : entah kenapa aku tersenyum simpul mengenangkan kisah lama.)

Wednesday, June 15, 2011

KENA BIASA KEMUDIAN BARULAH MAHIR

Kita hidup di dunia ini tak terus jadi pandai. Kalau yang jadi Doktor, Peguam, Cikgu dan lain-lain semua itu, kena belajar dulu barulah boleh jadi apa yang dikehendakkan. Jangan kata bidang pekerjaan sahaja, tetapi apa-apa saja perlakuan yang hendak kita buat, kenalah biasakan dulu barulah kita akan mahir.

Sepertimana juga dengan mahasiswa yang baru mendapat ijazah dan mahu masuk ke alam pekerjaan, mereka haruslah diberi peluang untuk menunjukan bakat dan kebolehan mereka sendiri oleh bakal majikan, jangan hanya mementingkan pengalaman. Sekiranya semua majikan mementingkan pengalaman, jawapnya semua peluang pekerjaan yang ada merupakan jawatan untuk mereka-mereka yang pernah bekerja yakni mempunyai pengalaman. Namun begitu, ia terpulang juga kepada majikan kerana mereka yang mengeluarkan wang untuk membayar upah pekerja.

Dalam tanggungjawab membesarkan anak pula, kita kena bersungguh-sungguh memberikan pembelajaran kepada mereka. Sekiranya anak kita sudah tahu membuat sesuatu, teruskan ajar mereka sehinggakan mereka biasa dan terus mahir. Misalannya, dalam mengajar anak kita supaya tak perlu membuang air pada "pampers" tetapi hendaklah membuang air di tandas, ia sememangnya bukan tugas yang mudah, tetapi ia sebenarnya memerlukan masa dan pengajaran yang berterusan sehingga mereka benar-benar mahir dan tidak perlukan lagi tunjuk ajar dari kita.

Sebenarnya kisah biasa dan mahir yang dicoretkan ini bukanlah apa, cuma pengalaman dari diri sendiri juga. Baru-baru ni abang aku ada meminjam kereta aku selama seminggu untuk pulang ke kampung isterinya di Johor Bahru. Kereta aku dan abang aku jenis yang berlainan. Kereta dia Proton dan auto. Kereta aku pula Toyota dan manual. Adalah beberapa berbezaan antaranya "wiper" dia sebelah kanan, aku punya kiri. Lampu isyarat dia sebelah kiri, aku punya pulak kanan. Terasa janggal juga masa mula-mula menggunakan kereta abang aku.

Selepas seminggu aku dapat kembali kereta aku. Apa yang terjadi ialah aku sendiri rasa janggal menaiki kereta aku. Nak bagi lampu isyarat tapi terbuka "wiper" pula, bila nak pasang "wiper' terbagi lampu isyarat pula. Dalam masa tu, aku pun berfikir, dalam masa seminggupun aku sudah lupa untuk membawa kereta aku yang sudah bertahun-tahun aku bawa.

Kesimpulannya, kita memang kena biasakan diri pada sesuatu sebelum kita mahir... :)





Tuesday, January 25, 2011

PENGALAMAN MENGHAMPIRI MAUT

Ajal maut di tangan tuhan. Selagi ajal belum sampai, kalau tak mati, tak mati jugalah. Aku fikir ada juga di antara kita mempunyai pengalaman yang boleh dikatakan pengalaman menghampiri maut. Tak kiralah sama ada hampir mati kerana kemalangan ngeri, kerana pergaduhan, kerana lemas di pantai atau pelbagai lagi.

Pengalaman ini berlaku semasa aku bersekolah rendah. Rasanya sehingga kini emak bapa aku tak tahu hal ni. Apa yang aku nak ceritakan ni ialah tentang aku hampir lemas di laut. 

Aku sememangnya suka memancing sejak kecil lagi. Di kampung aku terdapat sebuah jeti lama yang tidak digunakan lagi. Aku dan saudara mara memang suka memancing di hujung jeti tersebut. Apabila dapat ikan, kami memang suka ambil air di hujung jeti lalu dimasukan ke dalam tin untuk melihat ikan yang ditangkap terus hidup dalam takungan tin. 

Sumber gambar : Sinar Harian

Nak dijadikan cerita, semasa aku nak ambil air laut ke dalam tin, aku terus mengelongsor ke dalam laut kerana permukaan batu di hujung jeti tersebut licin. Aku bukannya pandai berenang, seluruh tubuh memang dah tenggelam dan hanya tangan terkapai-kapai.

Dengan kuasa Allah, setelah kaki hampir jejak ke dasar laut, aku terpijak seketul batu besar lalu terus melonjak ke permukaan air. Setibanya dipermukaan air, dengan pantas seorang saudara aku menarik tangan dan mengangkat aku ke atas jeti. 

Syukur Alhamdulillah aku masih hidup sehingga kini. Kalau tidak, mungkin seawal usia budak-budak aku sudah tiada di muka bumi ini. Inilah pengalaman yang memang sukar untuk dilupakan. Kalau memancing di kawasan itu, aku masih teringat dan terbayangkan kejadian tersebut.