Showing posts with label pencuri. Show all posts
Showing posts with label pencuri. Show all posts

Wednesday, September 15, 2010

TAMAN PERUMAHAN AKU LOKASI PENCURI BUAT PROJEK

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, taman perumahan aku sering berlaku kecurian dan pecah masuk rumah. Hai, seram juga aku dengar. Mana tidaknya, jiran aku kiri dan kanan telah terkena. Alhamdulillah syukur pada Allah kerana rumah aku masih dalam keadaan selamat. Diharap tiada perkara yang tidak diingini berlaku.


Jiran di kiri rumah aku, rumahnya dipecahkan kunci mangga pagar di siang hari iaitu pada waktu orang bekerja. Mujurlah hanya bateri kereta yang terletak di hadapan rumahnya sahaja yang dicuri. Jiran di kanan rumah aku pula rumahnya dipecah masuk melalui pintu belakang. Ketika malam itu hujan lebat dan tuan rumahnya tiada di rumah kerana pulang ke kampung. Dengar cerita wang tunai dan barang kemas isterinya dibawa lari oleh penyamun tarbus.


Sebelum itu, seorang bos di tempat kerja aku yang terletak dalam satu taman perumahan aku juga telah kehilangan sebuah kereta Waja di hadapan rumahnya. Hai, macam-macamlah. Tengok, berapa profesionalnya pencuri ini.


Baru-baru ini pula, ada seorang ketua jabatan yang sama dengan taman perumahan aku juga rumahnya hampir dimasuki pencuri. Mujurlah alat pengera berbunyi semasa pencuri itu cuba mengumpil pintu masuk utama rumahnya. CCTV juga berjaya merakam wajah pencuri itu. Cerita ini ada dipaparkan di dalam akhbar baru-baru ini.


Lihatlah, dalam beberapa bulan sahaja banyak kejadian kecurian yang berlaku dalam taman perumahan yang aku duduki. Naik risau juga aku. Aku mohon pada Allah semoga rumah aku tidak menjadi sasaran dan aku berdoa juga semoga taman perumahan aku tidak menjadi lokasi strategik para pencuri untuk menjalankan aktiviti.


Aku lihat, berbagai-bagai cara penduduk taman perumahan untuk mencegah daripada berlaku kecurian. Kini di taman perumahan ini sudah ada pengawal keselamatan yang berkawal di waktu malam hingga ke pagi. Pengawal keselamatan ini dibayar, dan mereka akan melakukan rondaan pada rumah-rumah yang membayar perkhidmatan mereka. Aku tidak termasuk pada orang yang membayar perkhidmatan itu, kerana satu deretan taman perumahan yang aku duduki setahu aku tidak mendapatkan perkhidmatan tersebut.


Yang aku duduk fikirkan, pengawal keselamatan ini tiada pos pengawal, mereka duduk di bangku yang terdapat di kawasan taman permainan. Mereka akan meronda pada waktu-waktu tertentu. Yang dirungsingkan bila hari hujan di mana mereka berteduh? Kesiannya... Mereka merondakah semasa hari hujan? Entahlah...


Malam tadi pula, selepas aku pulang dari jamuan hari raya rumah abang aku, di simpang masuk di taman perumahan aku ada 3-4 orang polis dengan kereta peronda memeriksa kenderaan yang keluar masuk dari taman perumahan aku. Bagus rasanya pihak polis perihatin dengan masalah yang sedang melanda di taman ini. Dalam hati aku berfikir juga, adakah kes-kes lain yang selain dari kes-kes yang aku sebutkan di atas yang aku tidak tahu. Mungkin tahap kes kecurian di taman perumahan ini dalam keadaan yang serius.


Terfikir juga aku hendak memasang sistem pengera dan CCTV di rumah aku. Bukan apa, barang berharga memanglah tidak banyak, tapi risau juga keselamatan jiwa isteri dan anak aku serta diri aku juga. Sekarang ini nak tidurpun duduk berfikir, selamat tak rumah aku, kalau pencuri masuk apa aku nak buat? Rungsing juga. Tidak apalah, sebulan dua ini lihat dulu macam mana keadaannya.


Harapan aku taman perumahan aku tidak dilanda musibah kecurian dan pecah masuk rumah lagi. Moga Allah makbulkan. Amin...