Showing posts with label pelajar. Show all posts
Showing posts with label pelajar. Show all posts

Tuesday, August 1, 2023

Membantu Pelajar PhD dari China Membuat Penyelidikan

Walaupun aku telah bertukar dari Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi ke Bahagian Pengurusan Muzium namun aku masih membantu para penyelidik yang memerlukan bantuan bagi mendapatkan maklumat untuk kajian mereka. Atas tanggungjawab, aku tetap akan membantu kerana bagi aku, apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan memudahkan urusan kita, Insya-Allah.

Tak berapa lama dahulu, pernah aku membantu seorang pelajar Sarjana bagi mendapatkan maklumat tentang jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku di temuduga dengan beberapa soalan, aku juga dengan senang hati melayannya dengan baik bahkan memberikan penerangan, memberikan laporan dan gambar-gambar berkaitan di samping mengeluarkan segala artifak yang tersimpan di dalam repositori untuk ditatapi oleh pelajar tersebut bagi tujuan penyelidikan. Apabila hendak mendapatkan informasi lanjut, beliau masih bertanya kepada aku melalui panggilan telefon ataupun aplikasi whatsapp

Apa yang membuat hati aku terharu, selepas beberapa bulan beliau whatsapp  kepada aku meminta izin untuk menamakan aku sebagai penulis bersama (co-writer) bagi penulisan jurnalnya. Alhamdulillah, kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan.



Hari ini seorang lagi, iaitu pelajar PhD dari China yang belajar di universiti tempatan telah aku santuni. Juga membuat kajian berkisar kepada jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku telah mengeluarkan artifak-artifak dalam simpanan untuk penyelidikan beliau dan turut membawanya ke tapak ekskavasi bagi menunjukkan lokasi artifak-artifak ditemui.

Selesai lawatan ke tapak ekskavasi, beliau mempelawa aku untuk makan tengah hari, namun aku menolaknya dengan baik.

* * * * *

Sebenarnya telah agak lama aku tidak mengemaskini blog. Kehilangannya buah fikiran untuk menulis di samping tugas-tugas yang tiada penghujungnya di pejabat membuatkan aku lelah namun aku tetap suka akan pekerjaan ku.

Aku berusaha menulis semula secara harian sama ada panjang atau ringkas catatan harian ku yang boleh diabadikan untuk rujukan diri aku sendiri pada masa akan datang. 

😎🤘🏼

Sunday, June 18, 2023

Peranan Pelajar Praktikal di Dalam Organisasi dan Manfaat Yang Bakal Diperoleh

Peranan pelajar praktikal atau intern sangat penting dalam memberikan pengalaman kerja praktikal kepada mereka sebelum mereka memasuki dunia kerja sepenuhnya. Berikut adalah beberapa peranan penting yang dimainkan oleh pelajar praktikal seperti pembelajaran dan peningkatan kebolehan, pemupukan kemahiran kerja, penerapan teori dalam amalan, membangunkan rangkaian profesional dan lain-lain lagi.

Pelajar praktikal mendapat peluang untuk belajar dan meningkatkan kebolehan mereka dalam konteks kerja sebenar. Mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari dalam persekitaran kerja sebenar dan meningkatkan pemahaman mereka tentang industri dan bidang yang berkaitan. Melalui pengalaman praktikal, pelajar dapat memupuk kemahiran kerja yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang tertentu. Mereka dapat belajar tentang disiplin, kecekapan, ketekunan, kerjasama dalam pasukan dan kemahiran interpersonal yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

Melalui penerapan teori dalam amalan, pelajar praktikal dapat melihat bagaimana teori yang dipelajari di universiti diterapkan dalam amalan sebenar. Mereka dapat melibatkan diri dalam projek-projek praktikal, menyaksikan proses kerja dan memahami bagaimana teori dikaitkan dengan situasi sebenar di tempat kerja. Selain itu, pelajar praktikal dapat memanfaatkan peluang untuk membina rangkaian profesional dengan bekerja dengan profesional dalam bidang yang berkaitan. Mereka dapat berinteraksi dengan rakan sekerja, penyelia dan pengurus serta membina hubungan yang berpotensi memberi manfaat dalam jangka panjang.

Pelajar praktikal juga dapat menyumbang kepada organisasi tempat mereka menjalani latihan praktikal. Mereka dapat membantu dalam menjalankan tugas harian, menyumbangkan idea atau cadangan dan memberikan perspektif baru yang boleh membantu organisasi tersebut berkembang. Tambahan pula, praktikal dalam alam pekerjaan dapat memberikan pengesahan kelayakan kepada pelajar dalam bidang yang mereka minati. Pengalaman praktikal yang baik dapat meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian kerana ia menunjukkan kepada majikan bahawa mereka mempunyai pengalaman dan kebolehan dalam bidang yang berkaitan.

Melalui pengalaman praktikal juga pelajar dapat mengenal pasti sama ada bidang kerja tertentu sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka. Ia dapat membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat mengenai kerjaya mereka dan membantu mengarahkan langkah-langkah seterusnya dalam pendidikan dan pembangunan profesional mereka.

Kesimpulannya, pelajar praktikal memainkan peranan penting dalam memperoleh pengalaman kerja yang berharga dan membantu mereka dalam pemantapan kerjaya mereka. Ia memberikan peluang untuk pembelajaran, perkembangan kemahiran dan membina rangkaian profesional, serta membantu mereka memahami aplikasi teori dalam amalan sebenar.

Gambar sekadar hiasan


PERLUKAH PELAJAR PRAKTIKAL MEMPERTIKAIKAN GAJI YANG BAKAL ATAU TELAH DITERIMA?

Sebagai seorang pelajar praktikal, pengalaman dan latihan yang diperoleh mungkin lebih penting daripada upah atau gaji yang diterima. Pertimbangkan sama ada praktikal tersebut memberi peluang untuk belajar dan mengembangkan kemahiran yang bernilai dalam bidang yang diminati.

Dalam hal mempertikaikan gaji yang diterima, penting untuk melakukannya dengan sopan dan terbuka. Jaga komunikasi yang baik dengan pihak tempat praktikal dan cari jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak. Ingatlah bahawa sebagai seorang pelajar praktikal, fokus utama adalah memperoleh pengalaman dan pembelajaran yang berharga.

MAKSUD PELAJAR PRAKTIKAL

Merupakan pelajar atau pelatih yang bekerja, ada kalanya tanpa bayaran untuk menimba pengalaman kerja bagi memenuhi syarat kelayakan. 

Friday, March 25, 2011

KEMBALI MENJADI PELAJAR

Sudah lama tak ambil peperiksaan. Huh, macam pelajar sekolah lah pulak. Kerja dengan sektor kerajaan ni ingat senang ke? Macam-macam jenis peperiksaan kena ambil. Dari peperiksaan semasa Kursus Induksi, Peperiksaan Undang-Undang, eh.. macam-macam peperiksaan lagi lah. Syukurlah aku sudah lepas semua tu. Ingat! Kalau tak lulus tak boleh ditetapkan tau. Ingat senang ke nak kerja dengan kerajaan.


Yang terbaru aku ambil ialah Peperiksaan Tahap Kecekapan A.K.A PTK. Kiranya ni lastlah sebab lepas ni PTK akan dimansuhkan. Aku memang lulus, tapi tahap 3 sahaja. Huh, kalau tahap 4 kan best.. Nak diceritakan semua kakitangan jabatan aku yang ambil PTK saing dengan aku semuanya dapat tahap 3. Kalau ada kenaikan pangkat, mahu berebut kitorang ni.

Hari Isnin dan Selasa ni pulak kitorang akan duduk lagi peperiksaan KPSL @ Kenaikan Pangkat Secara Lantikan. Harap-haraplah boleh lulus. Dengar cerita peperiksaan ni memang susah nak lulus. Lebih-lebih lagi yang baru first time ambil. Ada orang berkali-kali ambil tak lulus. Tak pastilah, samaada dia tak membaca atau memang ada kuota untuk lulus.

Hari minggu ni merupakan cuti. Bolehlah aku membaca dan mengulangkaji di rumah.Tu pun kalau ingat nak bacalah. Kalau tak baca, "mengoreng" jawapanlah jawabnya.. :p




Friday, September 17, 2010

SEKOLAH PELAJAR HAMIL

Kerajaan Negeri Melaka akan membuka sebuah sekolah khas untuk wanita-wanita hamil pada 17 Oktober 2010. Sekolah ini dikhaskan untuk memberikan pendidikan kepada pelajar-pelajar sekolah yang terlanjur untuk terus belajar dan meneruskan kehidupan sepertimana pelajar-pelajar biasa.


Dengan memperkenalkan sekolah kepada pelajar yang hamil ini dilihat ada mendapat tentangan dari pelbagai pihak. Namun mengapa kerajaan negeri Melaka mahu terus membuka sekolah ini? Walau apapun tentangan yang diberikan dilihat kerajaan negeri Melaka tetap dengan pendirian untuk melaksanakan program sekolah hamil ini dan ianya tetap akan beroperasi.


Pada pandangan aku sebagai rakyat biasa dan pemerhati, sekolah ini ada baiknya. Kebiasaanya pelajar yang hamil akan terus hanyut dan terbiar tanpa pembelaan dan perhatian yang sewajarnya. Memang benar mereka telah melakukan kesilapan yang besar dalam diri mereka kerana terlanjur, namun adakah kita sanggup menghukum mereka begitu sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab untuk membina kembali kehidupan mereka. Adakah kita akan memulaukan mereka walaupun mungkin pada hakikatnya mereka telah bertaubat.


Orang kita memang gemar dan suka membuat andaian yang begitu cepat dan sempit tanpa memikirkan jangka masa yang panjang. Ada pihak yang menyatakan bahawa dengan adanya sekolah pelajar hamil ini akan menggalakan lagi maksiat. Maksiat akan berleluasa. Apa sekarang tidak banyak maksiat? Apa sekarang maksiat tidak berleluasa? Dengan banyaknya maksiat inilah yang mendorong sekolah pelajar hamil ditubuhkan, demi mengembalikan kesedaran kepada pelajar terbabit, demi mengelakan berlakunya pembuangan bayi, demi mengelakan pembunuhan bayi dalam kandungan. Adakah kita mahu lihat generasi kita jadi pembunuh?


Selain itu, ada juga pelajar yang berkemungkinan berkahwin awal akan mengandung dan berasa malu mahu ke sekolah biasa. Adakah mereka inipun bersalah? Tidak jawapannya. Pelajar tingkatan 6 adalah peringkat umur yang boleh berkahwin, dan mereka mungkin telah mengandung dan segan untuk ke sekolah, jadi, sekolah pelajar hamil ini boleh memberikan mereka meneruskan pelajaran seperti biasa tanpa rasa malu kerana ianya memang sekolah yang khas untuk orang seperti mereka.


Tindakan kerajaan negeri memang tepat pada waktunya selari dengan kehendak Melaka Maju 2010, rakyat Melaka diperlukan untuk mendapat pelajaran yang secukupnya bagi memastikan tahap pendidikan dan keintelektualan rakyat Melaka adalah tinggi. Dengan adanya ilmu pengetahuan dan daya intelek yang tinggi pastinya akan memacu negeri Melaka terus maju ke hadapan. Rasullullah S.A.W pun ada bersabda, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Ini menunjukan mencari ilmu itu adalah penting dan wajib bagi setiap umat.