Showing posts with label melaka. Show all posts
Showing posts with label melaka. Show all posts

Thursday, January 11, 2024

Bukit Melaka



Kerajaan Negeri Melaka bersetuju untuk menamakan kembali Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka yang dipercayai sebagai nama asal bukit ini. Nama Bukit Melaka telah digunakan dalam penulisan-penulisan Barat pada era penjajahan dan juga sarjana-sarjana di Malaysia selepas zaman kemerdekaan negara sehingga kini.

Apabila disingkap kembali kepada penulisan-penulisan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, tiada sebarang penggunaan nama sama ada Bukit Melaka atau Bukit St. Paul yang dicatat oleh para pelayar dari China, Arab mahupun Barat yang datang mengunjungi Melaka. Namun begitu, di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi A. Samad Ahmad telah mencatatkan nama Bukit Melaka pada kisah Sultan Alau'd-Din Riayat Syah bersama Hang Isap pergi mengejar pencuri. Gambaran yang dicatatkan melalui kisah ini dilihat selari dengan keadaan semasa kawasan persekitaran bukit ini yang merangkumi kompleks istana, bukit, sungai dan jambatan sepertimana lakaran dan gambar dari sumber Barat terhadap bukit ini.

Begitu juga semasa zaman penjajah Portugis, tiada penggunaan nama Bukit St. Paul ke atas bukit ini. Pada ketika itu, bukit ini dikenali dengan beberapa nama seperti Nossa Senhora do Oiteiro (Our Lady of the Hill), Monte Dalimaria (The Hill of Animals) dan lain-lainnya atau dikenali sebagai bukit sahaja. Nama St. Paul hanya disebut pada sekitar tahun 1620-an dengan merujuk kepada tempat kediaman Persatuan Jesus (College of the Jesuits) namun ia bukanlah sebuah gereja.

Akan tetapi, terdapat juga sebutan the Hill of Malaca dicatat oleh Alfonso de Albuquerque dan Tome Pires manakala Godinho de Eredia, seorang ahli kartografi telah melakarkan peta menunjukkan Buquet Malaca iaitu kawasan pentadbiran Melaka sejak zaman Parameswara di mana jika dilihat pada lakarannya, adalah selari dengan kawasan sekitar di bukit ini.

Terdapat catatan Belanda menyatakan bahawa gereja di atas bukit ini adalah gereja St. Paul sedangkan sebenarnya nama St. Paul hanyalah sebuah kediaman bagi Persatuan Jesus (College of the Jesuits). Kesilapan menamakan gereja di atas bukit ini sebagai gereja St. Paul dikesan semasa Belanda mula menguasai Melaka walaupun terdapat perbezaan dalam mazhab antara Katolik dan Protestan. Namun begitu pihak Belanda tetap menamakan gereja tersebut sebagai Gereja St. Paul meskipun hanya digunakan pada hari-hari perayaan sahaja.

Sekitar tahun 1753, aktiviti keagamaan tidak lagi dijalankan di gereja St. Paul dan ianya telah digunakan sebagai kawasan perkuburan dan kekal sehingga kini. Justeru, nama Bukit St. Paul berkemungkinan bermula pada era penjajahan Belanda di Melaka bersempena nama gereja ini.

Berdasarkan catatan-catatan yang telah dinyatakan oleh penulis tempatan dan Barat serta lakaran oleh De Eredia, maka terdapat hipotesis kewujudan Bukit Melaka zaman Kesultanan Melayu Melaka serta lokasinya adalah di bukit ini. Malah, telah banyak penulisan-penulisan sarjana tempatan masa kini sama ada dalam bentuk buku ataupun artikel yang menulis nama bukit ini sebagai Bukit Melaka.

Mengambil semangat untuk mengembalikan nama-nama berunsur penjajahan ke Bahasa Malaysia, menanam sikap patriotik antara rakyat serta menyemai semangat cintakan tanah air serta berdasarkan catatan-catatan yang telah dijelaskan maka bukit yang dahulunya dikenali sebagai Bukit St. Paul kini dinamakan sebagai Bukit Melaka.

Baca juga :



Bukan A Famosa, Bukan Juga Porta de Santiago

A Famosa? Porta de Santiago?


Ada yang mengenali pintu gerbang di atas ini sebagai A Famosa, ada juga yang sedikit berilmu mengenalinya sebagai Porta de Santiago. Jika nak dikatakan ia sebagai A Famosa, memang jauh sama sekali tersasar kerana A Famosa telah lama musnah. A Famosa bukanlah sebuah pintu gerbang, sebaliknya A Famosa disebut sebagai istana atau tempat tinggal kapten-kapten Portugis.

Jadi, bagaimana pula dengan Porta de Santiago? Adakah pintu gerbang ini adalah Porta de Santiago? Di sini masih boleh dipersoalkan. Mengikut Report of Governor Balthasar Bort on Malacca 1678 pintu gerbang tersebut adalah binaan baharu. Bukan dibaikpulih sepertimana yang kita biasa dengar bahawa Belanda membaikpulih atau menaiktaraf bangunan-bangunan yang dibina oleh Portugis. 

Ya benar, memang banyak bangunan-bangunan Portugis yang dibaikpulih oleh Belanda tapi tidak pintu gerbang ini. Pintu gerbang yang disebut sebagai Porta de Santiago ini sebenarnya binaan baharu oleh Belanda bukan dinaiktaraf. Governor Balthasar Bort begitu teliti dalam setiap inci laporannya, mana bangunan yang dinaiktaraf, dinyatakan dinaiktaraf, mana bangunan yang hanya ditukar nama, dinyatakan ditukar nama. Begitu juga terdapat beberapa bangunan baharu yang dibina, dinyatakan ia bangunan baharu.

Bagi bangunan atau binaan yang ditukar nama jelas sekali dinyatakan oleh Governor Balthasar Bort dalam laporannya seperti berikut :

1. St. Domingo dijenamakan (renamed) kepada Victoria
2. Madre Deos dijenamakan kepada Emelia
3. Ongie Mille Virgines atau 11000 virgin dijenamakan kepada Henriette Louise 
4. St. Jago (Santiago) dijenamakan sebagai Wilhelmus
5. Hospitael del Rey dijenamakan sebagai Mauritius
6. Caurassa dijenamakan sebagai Fredrick Henrick 
7. Hospitael del Povne dijenamakan sebagai Ernestus Casimir

Terdapat juga bangunan-bangunan yang dinaiktaraf atau dibina semula seperti menara peninjau : 

"Some wooden watchtowers were also rebuilt in my time in stone..."

Begitu juga dengan beberapa bahagian lain yang dinaiktaraf seperti : 

"I have only had the small point Victoria enlarged by a third and furnished with more guns, so that it is now considerably stronger and more defensible."

Selain itu Bort juga menjelaskan setelah menaiktaraf kota Melaka : 

"The fort of Malacca is now very strong, having seven strong bastions and two angles by the walls, all of stone, as close and hard as iron..."

Namun, bagi Pintu Gerbang Santiago (Porta de Santiago) tiada pula dicatatkan ia dibaikpulih atau dinaiktaraf, sebaliknya Bort menyatakan bahawa terdapat dua binaan pintu gerbang baharu yang dibina disebelah sungai (river side) dan sebuah lagi disebelah darat (land side) dengan menyebut : 

"Some new works also were made, e.g. two strong stone gates, one between the bastions Middelburgh and Ernestus on the river side and the other between the bastions Wilhelmus and Henriette Louise on the land side, both having their due curvature, width and length and each great double doors with a wicket. They were made in I669, because the gates in existence here when I came were old, bad and inadequate for this fine strong fort."

Pintu gerbang ini dibina pada tahun 1669 iaitu zaman pemerintahan Belanda di Melaka dan siap sepenuhnya pada 1670, sepertimana lorekan tahun yang terdapat di hadapan pintu gerbang ini (Anno 1670). 

Lakaran pelan lama Fortaleza de Malaca (Kota Melaka) zaman Portugis

Justeru pintu gerbang tersebut bukanlah binaan Portugis yang dinaiktaraf, sebaliknya ia merupakan binaan baharu oleh Belanda. Jadi apakah nama pintu gerbang ini? Menurut Bort pintu gerbang ini dikenali sebagai LAND GATE atau dalam nama Belanda disebut LANDPOORT. Lebih tepat lagi, pintu gerbang ini bukan binaan Portugis, tetapi ia adalah binaan Belanda. Maka tidak hairanlah bahawa terdapat simbol-simbol Belanda (VOC) menghiasi pintu gerbang ini. 

Jadi, anda nak pintu gerbang ini dikenali sebagai apa? A Famosa, Porta de Santiago atau Landpoort?

Baca juga :




Sunday, December 24, 2023

Misteri Tembok Batu Laterit di Bukit Peringgi

Bukit Peringgi... Sebuah bukit yang terletak di Kampung Pengkalan Perigi, mukim Tanjong Kling. Tidak ramai yang mempedulikan perihal bukit ini dan tiada apa-apa catatan berkenaan bukit tersebut buat masa ini.

Inilah bukit tempat aku bermain semasa waktu kecil. Mengharungi lereng dan mendaki bukit ini menjadi mainan semasa kecil. Namun kini ia tidak boleh dimasuki. Menjadi kawasan larangan kerana adanya penanaman pokok balak di atas bukit tersebut oleh sebuah syarikat.

Masih lagi teringat dan terngiang-ngiang bahawa di atas bukit ini terdapat benteng atau tembok yang diperbuat daripada batu laterit. Bongkah- bongkah batu laterit ini sama seperti bongkah batu yang digunakan oleh Portugis untuk membina Fortaleza De Malaca (Kota Melaka).

Sedang aku minum di warung bagi mencungkil maklumat daripada orang-orang lama, memang terdapat tembok batu laterit di situ, malah ada yang menyatakan dahulu terdapat beberapa buah meriam di sepanjang tembok tersebut. Namun, seingat aku, masa aku kecil, meriam tersebut sudah tiada.

Pada waktu dahulu, bukit ini adalah tempat kuarter pekerja-pekerja elit dan jurutera Lembaga Letrik Negara (LLN), kini Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kemudian, stesen janakuasa TNB ini diambil alih oleh syarikat Powertex, kediaman di atas bukit ini tidak digunakan lagi, sebaliknya syarikat tersebut telah mula menanam pokok-pokok balak.

Apabila berada di atas bukit ini, jelas menampakkan Selat Melaka yang terbentang luas. Dari pengamatan, bukit ini sememangnya sesuai untuk dijadikan pusat pemerintahan dan pertahanan.  Kedudukan pantai dengan bukit ini hanya kira-kira 500 meter.

Mengapa bukit ini dinamakan Bukit Peringgi, masih belum lagi terjawab. Seperti sedia maklum, Peringgi merupakan perkataan lain bagi Portugis oleh penduduk tempatan. Orang-orang kampung biasanya menuturnya sebagai Bukit Peringki.

Tiada sebarang papan tanda yang menunjukkan arah bukit ini dan tiada apa-apa penunjuk yang menulis perkataan Bukit Peringgi sehinggalah hanya satu sahaja ditemui perkataan Peringgi di rumah bekalan elektrik TNB (seperti di gambar).


Tanjong Kling bukanlah satu nama yang asing. Nama ini ada tercatat di dalam teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Tidak hairanlah bahawa makam Hang Tuah juga terdapat di Tanjong Kling. Jarak di antara makam Hang Tuah dan Bukit Peringgit kira-kira 2 kilometer sahaja.

Sebagai anak jati Pengkalan Perigi yang mana rumah mak aku terletak di bawah Bukit Peringgi, berasa amat terpanggil untuk membuat kajian lanjut mengenai bukit ini. Harapnya suatu hari nanti dapat aku masuk ke dalam kawasan bukit ini untuk meneliti lebih lanjut susunan tembok batu laterit yang terdapat di atas bukit ini.

Sunday, December 3, 2023

Matahari Terbenam di Pantai Puteri

Menangkap gambar keindahan alam merupakan antara kesukaan aku. Suka sekadar suka kerana aku sukakan keindahan, kebersihan dan sesuatu yang menarik dipandang.

Mengambil gambar tayum temayum atau matahari terbenam merupakan antara kegemaran ku. Dalam bidang fotografi ia disebut sebagai masa keemasan atau golden hour.

Boleh dikatakan setiap hari aku akan memerhati langit. Melihat keindahan kejadian yang diciptakan Allah SWT sambil mengucapkan Maha Suci Allah. Setiap hari gambaran terbaharu terpapar di langit melambangkan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.



Gambar ini aku rakamkan di Pantai Puteri, Melaka. Rasanya penulisan dalam blog ini banyak juga gambar-gambar dan kisah Pantai Puteri yang aku muat naik kerana ia sangat berhampiran dengan kampung aku iaitu berdekatan rumah bonda ku. 

Lagipun, anak saudara aku berniaga makanan di pantai ini justeru kerap juga aku ke sini melepak di kedainya bersama keluarga. Ada kalanya siap dengan khemah sekali aku dirikan untuk healing tepi pantai

Wednesday, September 13, 2023

Mi Sup Tengkera Melaka!

Mi Sup Tengkera merupakan antara kedai makan yang popular di Melaka sejak sekian lama. Terkenang kembali zaman persekolahan dulu, masa 'main motor', kerap juga ke kedai ini bersama rakan-rakan.



Kedai Mi Sup Tengkera ini mempunyai persamaan dengan kedai Mee Bodo. Jarak kedua-dua kedai ini kira-kira 200 meter sahaja. Dan kedua-dua kedai ini adalah perniagaan keluarga mereka. Mee Bodo di sebelah pagi, Mi Sup Tengkera pula di sebelah petang. Buka setiap hari kecuali hari Khamis. 

Di kedai Mi Sup Tengkera terdapat hanya hidangan mi sup, kuetiau sup dan mihun sup. Lain-lain makanan tiada. Hidangannya pun ringkas, ada mi, kuetiau atau mihun, sedikit sayur sawi, hirisan cili dan racikan isi ayam. Namun ada yang istimewa di situ iaitu popia, goreng dan basah. Namun selalu sahaja cepat habis. Datang lambat masa balik kerja, memang habislah jawabnya. 

Kedainya sentiasa ramai orang, namun layanannya cepat. Tak perlu tunggu lama. Apabila sudah memesan makanan, tak sampai satu minit sudah sampai. Makan pun sekejap sahaja. Ada orang boleh makan sehingga dua mangkuk, tapi aku cukuplah satu mangkuk sahaja. 

Jika nak dibandingkan antara Mi Sup Tengkera dan Bodo, secara jujurnya aku lebih suka Mee Bodo. Apabila lalu sahaja di Jalan Tengkera, secara automatik fikiran sudah terbayang nak makan Mee Bodo.

Jadi, kepada sesiapa yang datang ke Melaka jangan lupa untuk merasai makanan di kedua-dua kedai ini. Sekali cuba pasti nak lagi. 😀👍🏼

Thursday, September 7, 2023

Masuk TV Majalah 3

4 September 2023 lalu, sekali lagi muka yang tak berapa nak handsome ni terpapar di kaca televisyen. Bukan berlakon drama, tetapi menjadi salah seorang individu yang ditemuramah untuk rancangan Majalah 3.

Episod kali ini adalah berjudul Kulinari Warisan Harmoni di mana memaparkan masakan kaum Melayu, Baba Nyonya dan Chetti yang menjadi warisan kaum masing-masing yang kekal hingga kini. Episod ini juga dirakam sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Tak besar mana.. Besar ni je... 

Light, camera and action.. 

Makkk.. Fairus masuk TV... 

Sebelum ini, pernah juga beberapa kali muka aku keluar di kaca televisyen seperti di rancangan Jejak Rasul bersama hosnya Ahmad Fedtri Yahya dan Astro Oasis bagi rancangan Merentas Samudera ke Nusantara yang dihoskan oleh Zainal Ariffin Ismail.

Kenangan bersama Zainal Ariffin Ismail menjayakan rancangan Dari Samudera ke Nusantara 

Aku masuk televisyen ni pun bukanlah aku minta. Ini semua atas arahan big bos. Dia yang buat keputusan bagi mana-mana kakitangannya untuk membantu dalam apa-apa permohonan untuk ditemuramah bagi rakaman televisyen. Bukan aku nak sangat pun... 

Akan datang nantikan lagi kemunculan aku di kaca televisyen bagi rancangan Mercu. Tak pastilah bila ia akan ditayangkan. Mengikut penerbit, mungkin akan ditayangkan pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Nak lihat rakaman penuh Majalah 3 episod Kulinari Warisan Harmoni boleh klik di pautan Youtube ini : KLIK

Thursday, August 24, 2023

Jangan Jadi Bangsat!!!

Ogos 1511 jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka di tangan penjajah Portugis. Sebuah kisah sedih yang harus dikenang. Pembinaan negara bangsa dari Kesultanan Melayu Melaka habis lenyap kesemuanya.

Batu Nisan Sultan Mansur Syah di Muzium Sejarah Melaka


Namun, apa yang lebih menyakitkan hati, apabila terdapat segelintir warga yang menyatakan bahawa tanpa penjajahan, Melaka tidak terkenal seperti sekarang, Melaka tiada sumber dan hanya bergantung kepada sektor pelancongan, malah ada yang menyatakan Melaka adalah bandar mati!

Yang matikan Melaka adalah penjajah! Tidakkah kalian belajar dari sejarah? Dahulu sebelum datangnya era penjajahan, Melaka sudah sedia terkenal. Ia bukanlah sebuah negeri, tetapi sebuah empayar. Empayar yang sebahagian besarnya meliputi segenap nusantara.

Penulis luar juga menyatakan bahawa Melaka ini merupakan "Venice di sebelah Timur", sebuah emporium menghubungkan Timur dan Barat. Di pelabuhan Melaka terdapat 84 bahasa dipertuturkan, lihat betapa gahnya Melaka ketika itu.

Melaka juga mempunyai undang-undang yang tersendiri. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka menunjukkan bahawa Melaka adalah sebuah empayar yang mempunyai pemerintahan yang bersistematik, adil dan saksama.

Terdapat juga manuskrip-manuskrip Melayu yang memerihalkan kehebatan Melaka, antaranya Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah di mana 2 teks karya agung ini melihatkan keintelektualan masyarakat tempatan setanding negara Barat yang dikatakan lebih maju itu.

Tak perlulah diterangkan lagi perihal kehebatan empayar Melaka dengan panjang lebar. Seharusnya kalian sudah sedia tahu.

446 tahun Melaka dijajah! Betapa sakitnya hati para pejuang-pejuang terdahulu apabila terdapat segelintir warga yang memperlekehkan perjuangan mereka, malah disanjung pula penjajah.

Yang mana kuat memperlekehkan di mana tempat kakinya berpijak, eloklah kiranya pulang semula dari mana arahnya datang!

Tuesday, August 22, 2023

Bakal ke Kaca Televisyen Sekali Lagi?

Pada hari ini, aku berpeluang membantu menjayakan pengambaran rancangan televisyen bertajuk "Mercu". Rancangan ini dijadualkan untuk ditayangkan di saluran RTM menjelang penghujung tahun 2023 atau awal tahun 2024. 

Mercu merupakan sebuah rancangan santai 13 episod yang memaparkan bangunan-bangunan yang menjadi mercu tanda bagi negeri-negeri di Malaysia. Di Melaka, bangunan Stadthuys yang menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi menjadi salah satu episod bagi rancangan ini. Justeru, bos telah mengarahkan aku untuk membantu menjayakan pengambaran ini.

Dalam pengambaran ini, aku telah ditemubual oleh Anas Ridzuan yang memainkan peranannya sebagai pengacara rancangan. Banyak jugalah soalan-soalan yang ditanyakan, namun aku rasa macam tak puas bercakap. Banyak lagi yang aku boleh terang dan jelaskan tapi mungkin kerana masa tayangannya tak lama, jadi hanya babak-babak yang pendek sahaja temubual dijalankan.

Pengalaman membantu menjayakan pengambaran rancangan Mercu adalah satu perjalanan yang berharga bagi diri aku walaupun pengambarannya hanya seketika iaitu kira-kira 2 jam. Kepentingan ilmu pengetahuan merupakan tunjang utama dalam menjayakan satu-satu hal dalam memastikan masyarakat dapat turut mendapat maklumat yang betul lagi tepat.



Bersama Anas Ridzuan, pengacara Mercu

Bersama kru pengambaran

Thursday, August 3, 2023

2024 Tahun Melawat Melaka

Dengan slogan "Mana lagi? Melaka ler...!" bakal menggamit kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Melaka pada tahun hadapan. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Melaka telah pun melancarkan Tahun Melawat Melaka 2024 dengan menyasarkan kunjungan pelancong seramai 19.7 juta orang.

Sebagai rakyat Melaka dan bertugas di dalam sektor pelancongan, aku amat mengalu-alukan kedatangan para pelancong ke negeri Hang Tuah ini.

Sebenarnya, jika dilihat keadaan sektor pelancongan di negeri Melaka sekarang, pada pemerhatian aku ia sudah kembali rancak seperti era sebelum pandemik covid-19. Bukan sahaja pada hujung minggu atau cuti umum, pada hari biasa pun, Melaka khususnya di Bandar Hilir dipenuhi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Kadangkala terfikir juga aku, mereka ni tak bekerja ke? 🤔



Risau akan jalan raya sesak? Usah bimbang sangat. Ia adalah perkara biasa bagi lokasi pelancongan. Bukan di Melaka sahaja, negeri-negeri lain pun sama sesak di kawasan tumpuan pelancong.

Justeru, jangan serik datang ke Melaka. Orang Melaka sentiasa menanti kehadiran anda semua. Dan jangan lupa, kunjungilah muzium. 😊

Kapal dagang dari seberang, 
sarat muatan kayu meranti;
dari jauh tuan puan datang, 
orang Melaka sedia menanti. 

Mee Bodo Tengkera : Ringkas dan Sedap

Tengkera merupakan laluan pergi balik aku dari rumah ke tempat kerja. Bukan setakat ke tempat kerja, anak-anak aku juga bersekolah melalui laluan tersebut. Seorang di SK Tengkera 1 dan seorang lagi di MGS 2. Jadi aku akan melalui kedai makan Mee Bodo Tengkera yang termasyhur di Melaka sejak 1969.

Nak kata aku sering ke kedai Mee Bodo tak juga. Tapi jarang-jarang. Walau jarang-jarang, apabila melalui kedai ini pastinya di kepala otak terlintas rasa keenakan Mee Bodo atau juga dikenali sebagai Mee Hassan.

Nampak macam biasa-biasa saja, tetapi luar biasa 
Mee gorengnya ringkas sahaja. Ada mee, taugeh, sambal dan timun. Yang lebih sedap lagi ialah telur yang digoreng dengan menggunakan campuran sambal. Yummyyy.

Harganya kalau tak silap RM3.00 sepinggan. Dan telur goreng RM1.50 sebiji. Kalau dua biji telur RM3.00 le. Biasa aku makan, dua biji telur sekali makan.

Beratur untuk mendapatkan telur goreng segar dari dalam kuali 
Walaupun kedainya selalu ramai, tetapi tempoh menunggu tidaklah lama. Cuma telur goreng sahaja perlu beratur dan ambil sendiri. Mee dan air akan diambil pesanan dan akan dihantar. Bayar pula di kaunter. 

Kalau orang luar Melaka yang masih belum merasai Mee Bodo Tengkera, bolehlah cuba. Cari sahaja melalui Waze, pasti akan jumpa. Jangan datang hari Khamis pula pasal kedainya tutup pada setiap hari Khamis. 

Thursday, May 11, 2023

Tinta Sekelonet Buat Tatapan Warga

Tidak pernah aku bermimpi untuk menjadi seorang penulis. Namun aku hampir terlupa berapa jumlah buku dan artikel yang telah diterbitkan sama ada terbitan jabatan atau luar. 

Kini, atas kepercayaan yang diberikan, jabatan telah melantik aku sebagai salah seorang penulis bagi satu bab di dalam buku coffee table Bibliografi Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Melaka. Buku ini sebenarnya telah siap diterbitkan pada awal tahun 2023. Aku sendiri secara langsung menguruskan hal-hal berkaitan penerbitan buku ini sehinggalah ia siap dicetak. Satu lagi pengalaman yang berguna dapat aku timba. Pahit dan manis aku telan jua.

Dalam perancangan, buku ini bakal dilancarkan oleh TYT Tun pada akhir bulan ini di salah sebuah hotel di Melaka. Dimaklumkan bahawa, semasa big bos aku mempersembahkan naskhah yang telah siap ini, TYT Tun agak gembira dengan hasilnya. Moga dengan penerbitan buku ini, memperbanyakkan lagi sumber rujukan bagi tokoh-tokoh negeri dan negara.


Muka hadapan buku coffee table Dari Bukit Katil ke Istana Melaka

Tersenarai bersama penulis-penulis hebat merupakan sebuah kepercayaan diberikan kepadaku

 

Monday, February 6, 2023

Sambut Hari Lahir Biras dan Anak Buah di Restoran Rest Haus Melaka

Jarang sekali aku membuat posting berkaitan makan-makan di kedai atau restoran. Tapi kali ni aku ingin kongsikan sebuah restoran di mana aku dan keluarga telah dijemput oleh akak iparku untuk sama-sama meraikan hari lahir biras dan anak buah aku di Restoran Rest Haus Melaka.

Restoran ini terletak di Taman 1 Lagenda berdekatan dengan pasaraya Lotus dan AEON Bandaraya Melaka. Senang saja nak mencari restorannya, dekat dengan bulatan (roundabout)

Ini merupakan kali pertama aku menjejakkan kaki ke restoran ni. Sebelum ni aku tak pernah perasan pun kewujudan restoran ini. Restoran ni pun tak berapa besar, konsepnya seperti privasi yang sesuai untuk menjamu selera bersama keluarga dan orang tersayang.

Nak masuk ke restoran ni pula perlu membuka selipar atau kasut. Dalamnya berkarpet dan dilengkapi penghawa dingin. Jadi, apabila duduk di dalam restoran ini, rasa nyaman sahaja. 

Makanan di restoran ini terdapat menu tempatan dan menu barat (western). Aku yang bertekak Melayu ni biasanya akan memilih untuk menikmati menu tempatan. Budak-budak apa lagi kesukaannya, pastinya makanan ringan seperti kentang goreng, chicken chop dan lain-lain.

So far so good.. Makanan di restoran ni sedap-sedap belaka. Portion'nya' pun agak banyak sehingga senak aku nak menghabiskan sepinggan nasi goreng kampung. Anak aku makan pun tak habis, jadinya minta dibungkus untuk dibawa pulang ke rumah.

Membaca doa selamat sebelum menikmati juadah

Menu-menu yang membuatkan aku tak tahu nak pilih apa, akhirnya aku pilih nasi goreng kampung. Haha 

Cheezy wedges pilihan anak-anak

Kentang goreng a.k.a French fries juga kegemaran anak-anak

Anak perempuan aku order lamb chop. Makan termahal yang dia pilih.. huhu

Nasi putih dengan daging masa lada hitam

Nasi goreng chicken chop pilihan isteriku

Ini menu aku order nasi goreng kampung. Siap ada ketulan ayam goreng

Spaghetti Bolognese untuk anak buah


Wednesday, December 21, 2022

Meriam Jagur di Jakarta Ada Kaitan Dengan Melaka?

Pada 19 Disember 2022 aku berkesempatan ke Muzium Sejarah Jakarta.  Aku ke sana untuk menghadiri mesyuarat dan lawatan tapak berkait cadangan untuk menubuhkan Galeri Melaka @ Jakarta.
 
Apa yang uniknya, bangunan Muzium Sejarah Jakarta dikenali sebagai Stadthuys sama seperti bangunan Stadthuys yang menempatkan Muzium Sejarah Melaka. Kedua-duanya adalah bangunan tinggalan penjajah Belanda. Cuma bangunan Stadthuys di Jakarta berwarna putih manakala bangunan Stadthuys di Melaka berwarna merah. Namun, warna asal bangunan Stadthuys di Melaka sebenarnya berwarna putih, dicat oleh Inggeris pada sekitar 1930-an dengan warna merah. 

Di hadapan Muzium Sejarah Jakarta terdapat sebuah dataran yang luas yang sering dipenuhi oleh orang ramai lebih-lebih lagi semasa cuti hujung minggu. Dataran ini dikenali sebagai Dataran Fatahillah. Di sekeliling dataran ini mempunyai beberapa buah muzium dan juga monumen bersejarah.

Antara yang tertarik di hati aku ialah berkenaan sebuah meriam lama yang dikenali sebagai Meriam Jagur. Meriam ini berdekatan dengan Dataran Fatahillah dan Kantor Pos. Semasa bermesyuarat bersama pegawai Muzium Sejarah Jakarta, salah seorang daripada kakitangannya menyatakan bahawa meriam ini pernah berada di Melaka.

Meriam ini memiliki ukuran panjang 3.85 meter manakala beratnya ialah 3.5 tan. Diletakkan di atas struktur batu dan dipagari dengan pagar besi yang rendah. Walaubagaimanapun, tiada sebarang papan penerangan yang ditempatkan pada monumen meriam ini. 


MILIK SIAPAKAH MERIAM JAGUR?

Meriam ini bukan milik Melaka tetapi pernah berada di Melaka selama puluhan tahun. Meriam ini sebenarnya dibuat oleh bangsa Portugis di Macau. Terdapat catatan menyatakan ia dibuat oleh Manuel Taveres Baccaro pada sekitar abad ke-15. Ia dibawa dan digunakan di Melaka semasa penjajahan Portugis di Melaka.

BAGAIMANA MERIAM INI BERADA DI JAKARTA?

Pada abad ke-16, Belanda telah menguasai Melaka daripada tangan Portugis. Meriam Jagur buatan Portugis ini telah dirampas oleh pihak Belanda dan dibawa ke Batavia (sekarang Jakarta) iaitu pusat pentadbiran Belanda di Nusantara. Nama Jagur digunakan berkemungkinan diambil sempena nama tempat asal meriam ini ditempatkan iaitu di St. Jago De Barra, iaitu di Macau.


SIMBOL JARI DI MERIAM JAGUR

Jika diperhatikan pada pangkal meriam ini jelas menunjukkan isyarat lucah.Tak pasti mengapa ia diperbuat begitu, tiada fakta yang khusus ditemui. Di Indonesia, hanya mitos ditemukan sehingga terdapat kisah-kisah pemujaan terhadap meriam tersebut bagi tujuan kesuburan wanita. Malah terdapat peristiwa menyatakan sekiranya terdapat wanita mandul, apabila mengadakan aktiviti pemujaan atau membayar niat maka akan berpeluang untuk menimbang cahaya mata.

Namun sebenarnya, pada pandangan masyarakat Portugis dan beberapa negara barat, simbol berkenaan merupakan simbol bernasib baik (good luck). Berbeza dengan pemikiran rakyat di Indonesia, Malaysia bahkan di negara Asia Tenggara yang menyamakan ia sebagai alat sulit kaum wanita.

Sunday, November 13, 2022

Cara Pujuk Isteri Sebelum Berjauhan

Bukan senang nak senang tuan-tuan. Nak-nak bagi yang belum berkahwin kena belajar dengan pakcik yang sudah beranak lima ni. Hahaha... Emm.. Begitulah hendaknya apabila mahu meninggalkan isteri dan anak-anak pada jangka masa yang agak panjang. 

Nak diceritakan, pada pertengahan bulan ini aku akan ke bumi Kenyalang untuk lawatan kerja. Bukan sehari dua tapi empat hari. Jenuh jugalah nak beri apa alasan untuk meninggalkan isteri dan anak-anak di rumah. Sebenarnya sudah lama juga surat arahan telah dikeluarkan tapi aku masih berahsia dengan isteri bagi menunggu masa yang sesuai untuk memberitahunya. Bulan Disember pula ke Pulau Pinang. Aduh, parah.

Sebelum-sebelum ini memang jadi hal kalau aku keluar lama ke negeri lain atas urusan kerja. Kali yang terakhir aku keluar dari Melaka apabila mengikuti program di Kelantan selama sepuluh hari. Masa itu anak yang bongsu baru masuk dua bulan. Memang muncung sajalah isteri aku. Tapi masa tu, lepas balik dari Kelantan terus mengambil hati isteri dengan pergi menonton wayang bersama tanpa bawa anak-anak. Kebetulan, cerita Mat Kilau baru ditayangkan.

Kali ini aku telah mempelajari dari apa yang pernah berlaku. Sebelum apa-apa terjadi, aku bawa isteri aku bercuti dahulu. Tak jauh mana pun, dekat saja. Sangat dekat dengan rumah aku tak sampai lima kilometer iaitu di The Atlantis Residences Melaka. Bak kata orang, nak suasana saja. Nak 'suasana' punya pasal, satu malam RM500.00. Haha.

Sebenarnya, kami turut menyambut ulang tahun kelahiran anak sulung, Muhammad Fahim yang telah mencapai usia 14 tahun. Sambut dalam bilik saja sambil order KFC melalui Food Panda

Apabila sudah dibawa bercuti ni, untuk meninggalkan isteri dan anak-anak nanti dah tak 'tegang' sangat walaupun kalau boleh isteri tak beri juga aku keluar rumah lama-lama. Nak buat macam mana, yang pilih ialah big bos, bukan aku yang saja-saja nak ikut. 

Namun, sebenarnya ada jugalah aku menolak untuk sertai mana-mana lawatan kerja di luar Melaka. Contohnya baru-baru ini ada lawatan kerja ke Perak selama 3 hari 2 malam, aku maklumkan aku tak dapat sertai dengan sebab-sebab tertentu. Tapi sampai bila aku mahu menolak? Urusan kerja, bukan aku pergi melancong atau melencong. 🤔

Isteri aku sebenarnya faham kerja aku. Cuma, iyalah... Anak-anak ramai, masih bersekolah dan ada yang masih belum setahun, dia seorang yang kena uruskan semua nanti. Bukan tak kesian, memang kesian. Tapi itulah.. Nak buat macam mana kan. Pandai-pandailah bawa berbincang suami isteri. Hihi.

Dahlah... cukuplah sesi luahan perasaan ini. Haha.. layan saja gambar-gambar yang sempat aku rakamkan semasa 'bercuti' di The Atlantis Residences Melaka

Kalau rajin nanti, aku buat review sedikit tentang The Atlantis Residences Melaka di entri yang lain pula. Huh, entri ni pun dah seminggu berlalu baru nak post. Tengoklah macam mana nanti. 
😅😅😅

Ruang lobi

Pemandangan malam di atas 40

Pemandangan Bandaraya Melaka dari aras 40 pada waktu siang

Malam-malam pun layan mandi

Pemandangan kolam pada waktu malam

Terdapat ruangan kanak-kanak

Diambil dari bilik di aras 20

Masa bersantai ala-ala mat saleh di tepi kolam, aku angkat gambar ni

Tuesday, July 5, 2022

Festival Masakan Warisan Melaka 2022

Festival Masakan Warisan Melaka kini kembali setelah dua tahun tidak dapat dilaksanakan akibat pendemik Covid-19. Festival ini merupakan acara yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Melaka dan para pelancong yang mengunjungi negeri Melaka. Di festival ini, menyajikan pelbagai makanan dan juadah dari etnik dan suku kaum yang terdapat di negeri Melaka seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, masyarakat Portugis, Baba Nyonya, Chetti dan Punjabi.



Turut terdapat penyertaan daripada negeri-negeri lain seperti Johor, Terengganu dan lain-lain negeri lagi. Antara acara-acara yang dirancang ialah demonstrasi dan jualan masakan, food truck, pameran, pertandingan masakan, persembahan kebudayaan dan artis jemputan, kuiz, caabutan bertuah dan palbagai lagi acara yang menarik.

Jadi, jangan ketinggalan untuk mengunjungi festival ini yang bakal berlangsung pada 22 hingga 24 Julai 2022. Lokasi festival ialah di sepanjang Jalan Kota di Bandar Hilir, Melaka. Acara bermula dari jam 9.00 pagi hingga ke jam 6.00 petang.

Thursday, June 9, 2022

Melaka Mula Rancak Tetapi Tak Berdosa

Gambar sekadar hiasan

Mana-mana ranciakkkk, berdosa! 

Sesak dan padat.. Begitulah gambaran tempat pelancongan di negeri Melaka apabila tiba musim cuti sekolah. Alhamdulillah, sektor pelancongan di negeri Melaka kembali bernafas. Para peniaga jalanan, kedai makan, restoran, peniaga kraftangan, taman tema,  pusat pelancongan, pengayuh beca, hotel bajet, hotel mewah dan lain-lain pemain indutri pelancongan tentunya mendapat laba daripada musim cuti sekolah ini.

Tidak ketinggalan tempat aku bekerja. Ramai yang berkunjung. Walaupun segelintir orang berkata bahawa muzium merupakan destinasi pilihan terakhir, namun kehadiran ramai pelawat ke rangkaian muzium-muzium di Melaka membuktikan bahawa masyarakat masih lagi memandang muzium sebagai destinasi yang wajib dikunjungi. 

Sudah tentu sahaja apabila mengunjungi muzium, pengunjung dapat membawa pulang ilmu dan pengetahuan yang berguna, tidak hanya keseronokan semata-mata. Ibu bapa perlu galakkan anak-anak untuk mengunjungi muzium agar terbuka sedikit minda mereka untuk mengetahui sejarah, warisan dan kebudayaan yang terdapat khususnya di dalam negara kita Malaysia.

Jom, kunjungilah muzium.