Showing posts with label lampu. Show all posts
Showing posts with label lampu. Show all posts

Saturday, July 17, 2021

LAMPU TIDUR UKEER DARI BLOGGER ANIES

Apabila terlihat keunikan dan kecantikan lampu tidur yang boleh diukir nama di halaman blog blogger ANIES, teringin pula membelinya. Lalu bersempena ulang tahun kelahiran anak kedua saya Ainnur Afiah pada bulan Jun yang lalu, saya telah menghadiahkan lampu tidur tersebut kepadanya.



Anak saya ni sejak PKP lalu, saya tinggalkan di rumah emak saya. Dia dan abangnya temankan emak saya yang tinggal seorang di rumah kampung. Jadi, saya alamatkan terus ke rumah sana untuk membuat kejutan kepada dia.

Terima kasih Blogger ANIES, lampu tidur UKEER telah selamat sampai dan tiada cacat celanya. Tidak pecah atau rosak. Memang seperti di gambar, cantik. Lampunya pun terang bila dibuka dalam gelap,  juga menimbulkan suasana romantik.



Jadi, bagi yang merancang untuk memberi hadiah kepada seseorang, bolehlah untuk memilih membeli lampu tidur ni atau boleh saja beli untuk diri sendiri. Saya menyokong produk ini.

Sunday, January 17, 2021

CARA KILATKAN LAMPU (HEADLAMP) DENGAN KOS RM10.00!!! PALING JIMAT

Kereta kita kalau sudah lama, pastinya lampu hadapan semakin pudar. Sudahlah pudar, masa malam kurang terang pula. Sekiranya hantar ke kedai, kos untuk mengilatkan kembali lampu tersebut paling kurang pun RM100.00.

Sebenarnya ada cara atau kaedah yang paling murah untuk mengatasi masalah ini, cuma memerlukan kerajinan tulang empat kerat kita saja. Kalau rasa malas, bayar sahaja di kedai untuk kilatkan semula lampu, kalau nak jimat, kenalah buat sendiri.

Nak lihat bagaimana aku buat kerja-kerja mengilatkan lampu ni, boleh layari YouTube aku di pautan ini : https://youtu.be/Pl34xEIh-JE

Di sini aku nak kongsikan bagaimana aku kilatkan lampu hadapan (headlamp) kereta aku hanya bermodalkan RM10.00 sahaja. Ya... RM10.00 sahaja!!!

Berikut bahan-bahan asas yang digunakan :

1. Sehelai kertas pasir 600cw

2. Sehelai kertas pasir 1000cw

3. Sehelai kertas pasir 2000cw

4. Setin cat semburan jernih (clear spray)

Cara-caranya :

Langkah 1

Pasang pita pelekat sekeliling lampu bagi mengelakkan terkena gosokkan kertas pasir semasa proses menggosok lampu.

Langkah 2

Gosokkan kertas pasir 600cw ke permukaan lampu. Sambil mengosok basahkan lampu dengan air sabun atau air biasa pun boleh. Gosok sehingga rasa licin pada permukaan lampu.

Langkah 3

Sepertimana langkah kedua, tapi gosok menggunakan kertas pasir 1000cw.

Langkah 4

Teruskan menggosok dengan menggunakan kertas pasir 2000cw. Masa ni sudah boleh lihat permukaan lampu semakin berkilat.

Langkah 5

Setelah habis menggosok, bilas lampu dengan air kemudian lap sehingga benar-benar kering.

Langkah 6

Tutup kawasan lampu dengan menggunakan plastik hitam (plastik sampah) meliputi kawasan lampu dan potong plastik tersebut di bahagian lampu sahaja. Ini untuk kerja-kerja menyemburkan cat jernih (clear spray) pada lampu.

Langkah 7

Sembur cat jernih pada lampu untuk lapisan pertama. Untuk lapisan pertama ini, buat selapis yang nipis sahaja. Kemudian biarkan kering dalam masa 10 minit.

Langkah 8

Buat semburan buat kali kedua. Kali ini buat tebal sedikit dari lapisan pertama tadi. Setelah siap, tunggu sehingga kering dalam 10 minit.

Langkah 9

Semburan terakhir. Buat semburan tebal lagi. Kemudian tinggalkan sehingga kering. Lampu ini disembur cat jernih bagi memastikan lampu terus cerah buat jangka masa yang lama. Sekiranya gosok guna kertas pasir saja, nanti akan pudar juga nanti.

Langkah 10

Sudahpun siap. Buka semula plastik hitam dan kemaskan semula barang-barang yang telah digunakan. Baki kertas pasir tu boleh simpan, jangan pula buang. 

Lihat gambar perbezaan antara lampu kereta aku yang telah dibuat dan yang sebelah lagi yang belum dibuat.


Ini lampu sebelah yang belum dibuat lagi

Lampu ini telah dibuat. Macam baru kan?

Nak lihat bagaimana aku buat kerja-kerja mengilatkan lampu ni, boleh layari YouTube aku di pautan ini : https://youtu.be/Pl34xEIh-JE

Monday, July 1, 2013

ANTARA KECANTIKAN DAN UNDANG-UNDANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Sepatutnya kita perlulah mengutamakan undang-undang berbanding kecantikan. Undang-undang dibuat bukanlah kerana suka-suka tetapi ianya dibuat demi kepentingan ramai.

Apa yang aku nak jelaskan di sini ialah tentang etika 'orang kita' berkereta. Memanglah kereta adalah hak individu masing-masing, namun dalam berkereta mestilah mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Janganlah sampai mengubahsuai kereta sehinggakan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Sebagai contoh, penggunaan lampu spotlight berwarna putih. Kebanyakkannya digunakan oleh kereta-kereta mewah. Lampu begini akan menyilaukan mata pengguna jalan raya apabila bertentangan dengan kereta sebegini. Keadaan sebegini amat menyakitkan biji mata, dan tidak mustahil ia boleh mengakibatkan kemalangan di pihak kenderaan yang bertentangan disebabkan penglihatan yang terhad kerana silau.

Gambar sekadar hiasan. Rujukan gambar KLIK

Baru-baru ini aku ke KLIA, balik merentasi lebuh raya, aku terserempak dengan sebuah kereta yang agak lain daripada lain. Lampu merah dibelakangnya amat berlainan kerana ia seperti menyuluh ke arah belakang. Bayangkanlah, apabila aku pandang saja lampu itu, ia seperti betul-betul menyuluh ke mata. Memang sakit mata dan hati memandangnya. 

Kesimpulannya, kenderaan memanglah hak milik masing-masing, tetapi tolonglah peka dengan sensitiviti orang lain yang menggunakan jalan raya. Janganlah menyusahkan pengguna yang lain kerana jalan raya bukanlah bapak kita yang punya!!!

Thursday, September 27, 2012

TERIMA KASIH TENAGA NASIONAL BERHAD


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Kadangkala, sesuatu yang dibuat dengan baik itu seharusnya diberikan pujian. Janganlah kita menafikan sesuatu kebaikan yang telah dilakukan. Ucaplah terima kasih, ia tidak sesukar mana pun.
 
Sebenarnya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota Tenaga Nasional Berhad negeri Melaka kerana dengan pantas mengambil tindakan untuk membaiki bekalan elektrik yang telah terputus di beberapa kawasan terutamanya di taman perumahan tempat saya tinggal.
 
Nak dijadikan cerita, pada pukul 1 lebih pagi semalam saya tersedar dari tidur kerana terasa bahang akibat kipas tidak dapat berfungsi. Isteri dan anak-anak saya turut bangun kerana masalah yang sama. Akibat tidak mahu menanggung kepanasan dan sukar untuk tidur, saya telah mengambil telefon bimbit dan membuat aduan kepada Tenaga nasional Berhad (TNB) dengan hanya menaip mesej tentang masalah bekalan elektrik di taman perumahan saya dan terus menghantarnya pada nombor 15454.
 
Lebih kurang 15 minit selepas saya menghantar mesej tersebut, telefon bimbit saya berdering dan yang menghubungi saya ialah operator TNB yang mahu membuat pengesahan apakah masalah yang berlaku. Saya telah menjelaskan semuanya pada beliau dan beliau mengatakan bahawa pasukan mereka akan tiba dalam masa terdekat untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah tersebut.
 
Saya terus menanti dengan sabar, saja mahu mengetahui sama ada pihak TNB mengambil tindakan atau tidak akan aduan saya itu. Dalam jangkamasa 20 ke 30 minit setelah pihak TNB menghubungi saya, didapati bekalan elektrik di taman perumahan tempat saya tinggal kembali sempurna. Alhamdulillah, selepas itu kami sekeluarga dapat melelapkan mata dengan lenanya hingga ke pagi.
 
Apa yang saya cuba sampaikan ini ialah tentang kekaguman saya terhadap perkhidmatan TNB yang kian baik dan terus cemerlang. Dulu pernah sekali lampu jalan di hadapan rumah saya tidak menyala, dengan kadar segera saya lihat lori TNB datang dan membaikinya. Begitu pantas, saya amat gembira dengan perkhidmatan yang diberikan.
 
Kini pula, mereka membuktikan keprofesionalan dan kecemerlangan mereka dengan melayan aduan dengan pantas. Sebenarnya saya tidak berapa pasti sama ada saya merupakan pengadu tunggal pada hari tersebut namun kepantasan mereka bertindak atas aduan adalah teramat baik sekali. Mereka terus bertindak membaiki kerosakan walaupun ketika itu cuaca masih hujan dan kilat saling sabung menyabung.  Tahniah dan terima kasih saya ucapkan.
 
Terbaiklah TNB...
 

Wednesday, February 15, 2012

MENGEJAR BAYANG : LAMPU JALAN





Dulu-dulu, tiada lampu jalan. Jalanpun tidak berturap, tetapi orang terdahulu masih boleh menunggang kereta lembu, kereta kuda dan berjalan di waktu malam. Hanya api andang yang menyuluh perjalanan. Tetapi kini, kita perlu bersyukur kerana adanya lampu-lampu jalan bagi kegunaan kita semasa memandu di waktu malam.