Showing posts with label kursus. Show all posts
Showing posts with label kursus. Show all posts

Thursday, December 1, 2011

MALU JADI ORANG MELAYU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kita orang Melayu kaya dengan budi bahasanya, kaya dengan sopan santun dan juga bahasa yang indah melalui peribahasa dan juga bait-bait puisi seperti pantun, syair, gurindam, seloka, sajak dan sebagainya. Dalam memperkatakan tentang peribahasa dan juga puisi, pastinya ada antaranya kita tahu dan teramat tahu akan sesuatu peribahasa atau puisi mungkin kerana tahu sejak belajar di bangku sekolah mahupun ianya sering digunakan pada zaman kini.

Sebenarnya ada beberapa puisi dan peribahasa yang kononnya kita tahu dan faham perkataan dan maknanya tetapi sebenarnya kita silap. Kita silap sejak dari dahulu lagi. Baru ini kira baru tahu. Alangkah malunya. Alangkah malunya diri ini seorang yang mengaku Melayu tetapi sebenarnya tidak tahu makna perkataan-perkataan tertentu.

Apa yang hendak saya jelaskan di sini ialah berkenaan pantun ini :

YANG KURIK ITU KENDI,
YANG MERAH ITU SAGA,
YANG BAIK ITU BUDI,
YANG INDAH ITU BAHASA.


Ada siapa yang sudah biasa dengan pantun ini. Betulkah setiap perkataan tersebut atau ada kesalahannya? Mungkin ada antara yang membaca ini tidak tahu ada yang salah dan mungkin juga yang tahu ada salahnya. Tapi di mana ya?

Mengikut apa yang dijelaskan kepada saya, KENDI itu bukanlah perkataan asalnya, yang betulnya ialah KUNDI iaitu sejenis pemberat dalam timbangan emas. Anda baru tahu? Saya pun baru tahu sebenarnya.

Ada satu lagi peribahasa yang begitu popular yang kita mungkin tidak menyangkakan bahawa ianya lain daripada apa yang kita sangkakan iaitu :

SEPERTI MELEPASKAN BATUK DI TANGGA.

Erm... Apa salahnya ya? Kalau kita perhatikan betul-betul setiap perkatannya pasti kita akan menyatakan bahawa tiada silapnya. Malah ada dijelaskan di dalam buku peribahasa bergambar bagi kanak-kanak sekolah rendah yang mengambarkan peribahasa ini dengan gambaran orang sedang batuk di atas tangga. Benarkah peribahasa ini menyatakan begitu? Saya pun sebenarnya berkefahaman begitu tentang peribahasa ini sehinggalah hari ini barulah saya tahu hal yang sebenarnya.

Apa yang salah sebenarnya ialah BATUK. Perkataan yang sebenarnya ialah BATOK. Apa itu BATOK? Mengikut apa yang dijelaskan kepada saya, BATOK ialah sejenis gayung kecil yang digunakan untuk membasuh kaki sebelum naik ke atas rumah (kalau kita tengok cerita Melayu dahulu-dahulu pastinya akan perasan di rumah Melayu ada tempayan dan BATOK digunakan untuk membasuh kaki sebelum masuk ke dalam rumah)

Sekian sajalah perkongsian ilmu kita pada hari ini. Kalau rasakan anda sudahpun mengetahui hal yang ini, anggapkan ianya sebagai ulangkaji. Bagi mereka yang sama seperti saya di mana baru mengetahuinya, simpan dalam otak dan kongsikan jika perlu bagi meluaskan ilmu ini.

(Ps : Maklumat berkenaan apa yang saya ceritakan ini adalah diperolehi daripada kursus yang saya hadiri pada hari ini yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka)