Showing posts with label fitnah berleluasa. Show all posts
Showing posts with label fitnah berleluasa. Show all posts

Wednesday, October 21, 2015

JANGAN MENGUMPAT!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.


Secara peribadi, aku tak suka mengumpat dan tak suka dengar orang mengumpat. Kalau terdengar sekalipun, aku anggap ia sebagai angin lalu. Apatah lagi jika yang diumpat itu adalah fitnah. 

Sama-samalah kita ingat mengingati antara satu sama lain.



Saturday, September 7, 2013

SELIDIK DULU CERITA YANG SEBENAR


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Ada tak sesiapa pernah menonton satu filem pendek yang banyak disebarkan di Facebook perihal seorang India dan Melayu bergaduh di tepi jalan? Tetapi sebenarnya mereka adalah berkawan baik. Akibat tidak tahu hal yang sebenarnya, dua orang pengguna jalan raya yang ternampak 'pergaduhan' itu telah menyebarkan berita di Facebook dengan menyatakan orang India dan Melayu bergaduh di tepi jalan. 

Begitulah mudahnya sekarang sesuatu perkara disebarkan dan banyak pula orang mempercayainya bulat-bulat. Begitu juga dengan hal di atas, akibat berita palsu tersebut, keadaan huru-hara antara kaum mula tercetus. 

Sebenarnya baru-baru ni aku juga membuat perkara yang seakan sama. Aku alpa! Tanpa menyelidik dengan benar-benar, aku telah menghantar mesej yang agak besar impaknya juga kepada big bos aku.

Kejadian bermula selepas aku habis berlatih kawad sempena perbarisan Hari Kemerdekaan di berdekatan pejabat aku. Selesai berkawad, aku pergi mengetik kad dan ternampaklah asap berkepul-kepul berdekatan tribun Light and Sound Show di Bandar Hilir. Aku pun apa lagi, pergi berdekatan tempat itu untuk menyaksikan kejadian.

Pemandangan asap dari pejabat aku

Sudah sampai di tempat kejadian, aku bertanya juga pada kawan-kawan lain yang sedia berada di situ, mereka pun berkata "habislah Light and Sound terbakar". Aku yang perhatikan kebakaran tu dalam jarak 50 meter pun 'nampak' seperti belakang bangunan Light and Sound terbakar.

Aku yang agak 'prihatin' telah menghantar mesej pada big bos aku berbunyi "Salam Datuk, Light and Sound terbakar..". Agak ringkas saja mesej aku kepadanya. 

Tak sampai beberapa saat aku menghantar mesej tersebut, aku baru dapat kepastian bahawa yang yang terbakar bukanlah tribun Light and Sound, tetapi bangunan belakangnya yang terbakar iaitu bangunan Dataran Pahlawan Melaka Megamall. 

Bangunan belakang yang terbakar

Ambil gambar banyakpun tetap fail.. Tak boleh jadi reporter aku ni..

Pergh... Cuak juga aku. Dah hantar mesej yang salah. Aku pun nak hantar semula mesej untuk memperbetulkan keadaan, namun belum sempat aku send, big bos aku telah hubungi aku. Aku pun beritahulah keadaan yang sebenar. Nasib dia ok saja.

Ceritanya tak habis di situ saja. Pada perhimpunan pagi jabatan aku baru-baru ni, big bos aku ada sebutkan hal ini. Big bos aku beritahu, sekiranya nak sampaikan sesuatu perkara, perlu selidik betul-betul dahulu, jangan terus sampaikan sahaja. Dia berkata lagi, kalaulah orang yang menerima mesej tu ada sakit jantung, tak ke nya je tu..

Sebenarnya ucapan dia tu tidak direct pada aku, kebetulan pada masa kebakaran tu, ada seorang lagi kawan aku turut menghantar mesej pada big bos yang menyatakan berita yang sama seperti aku sampaikan pada dia. Big bos aku pun menyebut-nyebut nama dia. Walaupun tidak kena direct pada aku, aku tetap terasa.. Huh.. sungguh malu rasanya.  

Moral dari cerita ni, kita perlu sahkan betul-betul sesuatu perkara / berita sebelum menyebarkannya. Yang menerima berita pun kenalah pastikan kesahihannya. 

(Entri yang ditulis ini saling tak tumpah seperti entri INI)

Monday, April 1, 2013

AWAS... FITNAH BERLELUASA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Fitnah berleluasa sama ada kita sedar yang kita menyebarkannya ataupun dalam keadaan tidak sengaja. Tak percaya? Cuba kita lihat gambar di bawah ini.
 
Sumber : Facebook
 
Kalau ada yang masih ingat, baru-baru ini, heboh di Facebook mengatakan sebuah pasaraya menjual daging khinzir secara terbuka dan berdekatan dengan daging lembu. Penulis dilihat tanpa sangsi terus mengata itu, ini tanpa membuat penelitian yang mendalam.
 
Namun, sehari dua selepas itu keluar penjelasan daripada pihak pasaraya berserta sesalinan laporan polis yang menyanggah status di Facebook tersebut dengan menyatakan gambar tersebut adalah daging kambing dan bukannya daging khinzir seperti didakwa.
 
Itulah, lain kali teliti terlebih dahulu sebelum menyebarkan sesuatu perkara. Lebih teruk lagi apabila lebih ramai yang mengongsikannya di Facebook. Bukankah fitnah tersebut terus berleluasa. Jadi siapa yang nak menanggung dosanya?
 
Sebenarnya peristiwa ini boleh dijadikan contoh agar kita tidak mudah dan sewenang-wenangnya mempercayai sesuatu perkara dan menyebarkannya kepada umum.
 
Lebih-lebih lagi kini musim pilihanraya, pelbagai berita disebarkan sama ada betul mahupun tidak. Oleh itu kita yang tidak mengetahui apa-apa ini adalah lebih elok berdiam diri dan membiarkan ianya pergi bagai angin lalu jika tidak dapat kepastian dan tidak mampu menyelidikinya. Takut nanti sekiranya kita menyebarkan berita yang mempunyai unsur fitnah, maka sia-sialah kita.
 
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala pekerjaan yang manusia lakukan sepertimana yang terkandung dalam ayat Al-Quran ini :
 
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu"
 
Surat Al-Hujurat : Ayat 6