Showing posts with label datuk wira Ir haji idris haron. biodata. Show all posts
Showing posts with label datuk wira Ir haji idris haron. biodata. Show all posts

Tuesday, June 18, 2013

BIODATA DATUK WIRA IR. HAJI IDRIS BIN HAJI HARON, KETUA MENTERI MELAKA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Sebenarnya aku baru menyiapkan biodata YAB Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron, Ketua Menteri Melaka yang ke-10 untuk diletakkan di Galeri Ketua Menteri Melaka. Di sini aku ingin berkongsi biodata beliau sebagai pengetahuan kita bersama.

------------------------------------------------------------




Datuk Wira Ir. Haji. Idris bin Haji Haron merupakan Ketua Menteri Melaka yang ke-10 yang telah mengangkat sumpah pada 7 Mei 2013. Beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Udang.

Dilahirkan pada 13 Mei 1966 di Asahan, Melaka. Beliau dibesarkan sebagai anak yatim apabila bapanya, Haron Hashim, seorang pesara Penghulu telah meninggal dunia semasa usianya baru 6 tahun. Setelah kematian bapanya, beliau telah dijaga oleh datuknya selama 6 bulan seterusnya dijaga oleh abangnya (berlainan ibu) yang juga seorang guru besar.

Mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah seperti Sekolah Rendah Kebangsaan Simpang Bekoh, Sekolah Rendah Kebangsaan Belading, Sekolah Rendah Kebangsaan Asahan dan Sekolah Rendah Kebangsaan Kubu.

Kemudiannya mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah dan telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Seterusnya, beliau ditawarkan biasiswa ke Amerika Syarikat oleh Lembaga Letrik Negara (LLN). Akhirnya Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron menamatkan pengajian di Universiti Texas dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Elektrik (Kuasa).

Di dalam bidang pekerjaan pula, Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron pernah bertugas di Lembaga Letrik Negara (kini disebut TNB) sebagai jurutera dan juga pengurus iaitu sebagai jurutera Pengguna LLN, Kajang (1989), Jurutera Operasi TNB, Kajang (1991), Pengurus Struktur dan Perancangan TNB, Kajang (1993), Pengurus Operasi dan Senggaraaan TNB, Jasin (1998) dan Pengurus Bisnes Daerah TNB Distribution Sdn. Bhd., Melaka (1999). Manakala pada tahun 2000 beliau telah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Alor Gajah (MDAG) kini disebut Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dari tahun 2000 hingga 2004.

Kini, beliau yang berumah tangga bersama Fadilah binti Abdullah mempunyai dua orang anak iaitu Luqman Hakim dan Amira.

Pembabitannya dalam politik bermula pada tahun 1993 apabila dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO di Klebang Kecil iaitu pada usia 28 tahun. Sangat aktif dalam penubuhan belia sehinggalah beliau menubuhkan Gerakan Belia 4B bagi Klebang Kecil.

Pada tahun 2004 Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron telah memenangi Piliharaya Umum bagi kerusi Parlimen Tangga Batu. Pada tahun 2008 pula, telah melakar kejayaan yang besar dengan memenangi kerusi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Selain itu beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dari tahun 2008 hingga 2009.

Pada Pilihanraya Umum tahun 2013, Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron telah memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri Sungai Udang mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti besar iaitu sebanyak 9136 undi. Kemudiannya, pada tanggal 7 Mei 2013, beliau telah dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka yang ke-10.

Sepanjang berkecimpung di dalam bidang belia, banyak anugerah dan pengiktirafan yang pernah diterimanya seperti Tokoh Maal Hijrah Kategori Belia, Tokoh Belia Negeri Melaka, Tokoh Belia Negara Peringkat Negeri Melaka Kategori Kepimpinan dan Keusahawanan serta Tokoh Belia Negara Kategori Kepimpinan yang mana semuanya diterima pada tahun 2003.

Antara amanah yang pernah dan sedang dipikul oleh beliau ialah sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Melaka, Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO Melaka, Naib Pengerusi Belia 4B Melaka, Pengerusi Belia 4B Tangga Batu, Penasihat Pengasih Melaka, Pengarah Akademi Kemahiran Melaka Sdn. Bhd. dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Institut Kemahiran Belia Alor Gajah.

Di peringkat kebangsaan pula beliau telah membarisi Jawatankuasa Ahli Majlis Tertinggi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Pengerusi Biro Antidadah dan Gejala Sosial Pemuda UMNO Malaysia, Penolong Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan (BNBC) dan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).