Showing posts with label batu laterit. Show all posts
Showing posts with label batu laterit. Show all posts

Sunday, December 24, 2023

Misteri Tembok Batu Laterit di Bukit Peringgi

Bukit Peringgi... Sebuah bukit yang terletak di Kampung Pengkalan Perigi, mukim Tanjong Kling. Tidak ramai yang mempedulikan perihal bukit ini dan tiada apa-apa catatan berkenaan bukit tersebut buat masa ini.

Inilah bukit tempat aku bermain semasa waktu kecil. Mengharungi lereng dan mendaki bukit ini menjadi mainan semasa kecil. Namun kini ia tidak boleh dimasuki. Menjadi kawasan larangan kerana adanya penanaman pokok balak di atas bukit tersebut oleh sebuah syarikat.

Masih lagi teringat dan terngiang-ngiang bahawa di atas bukit ini terdapat benteng atau tembok yang diperbuat daripada batu laterit. Bongkah- bongkah batu laterit ini sama seperti bongkah batu yang digunakan oleh Portugis untuk membina Fortaleza De Malaca (Kota Melaka).

Sedang aku minum di warung bagi mencungkil maklumat daripada orang-orang lama, memang terdapat tembok batu laterit di situ, malah ada yang menyatakan dahulu terdapat beberapa buah meriam di sepanjang tembok tersebut. Namun, seingat aku, masa aku kecil, meriam tersebut sudah tiada.

Pada waktu dahulu, bukit ini adalah tempat kuarter pekerja-pekerja elit dan jurutera Lembaga Letrik Negara (LLN), kini Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kemudian, stesen janakuasa TNB ini diambil alih oleh syarikat Powertex, kediaman di atas bukit ini tidak digunakan lagi, sebaliknya syarikat tersebut telah mula menanam pokok-pokok balak.

Apabila berada di atas bukit ini, jelas menampakkan Selat Melaka yang terbentang luas. Dari pengamatan, bukit ini sememangnya sesuai untuk dijadikan pusat pemerintahan dan pertahanan.  Kedudukan pantai dengan bukit ini hanya kira-kira 500 meter.

Mengapa bukit ini dinamakan Bukit Peringgi, masih belum lagi terjawab. Seperti sedia maklum, Peringgi merupakan perkataan lain bagi Portugis oleh penduduk tempatan. Orang-orang kampung biasanya menuturnya sebagai Bukit Peringki.

Tiada sebarang papan tanda yang menunjukkan arah bukit ini dan tiada apa-apa penunjuk yang menulis perkataan Bukit Peringgi sehinggalah hanya satu sahaja ditemui perkataan Peringgi di rumah bekalan elektrik TNB (seperti di gambar).


Tanjong Kling bukanlah satu nama yang asing. Nama ini ada tercatat di dalam teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Tidak hairanlah bahawa makam Hang Tuah juga terdapat di Tanjong Kling. Jarak di antara makam Hang Tuah dan Bukit Peringgit kira-kira 2 kilometer sahaja.

Sebagai anak jati Pengkalan Perigi yang mana rumah mak aku terletak di bawah Bukit Peringgi, berasa amat terpanggil untuk membuat kajian lanjut mengenai bukit ini. Harapnya suatu hari nanti dapat aku masuk ke dalam kawasan bukit ini untuk meneliti lebih lanjut susunan tembok batu laterit yang terdapat di atas bukit ini.

Friday, May 20, 2016

TINGGALAN SEJARAH DI PULAU UPEH, MELAKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Ilha De Pedras.. Inilah nama yang diberikan oleh orang Portugis kepada Pulau Upeh. Ilha De Pedras adalah bermaksud Pulau Berbatu. Mungkin kerana terdapat banyak batu-batu laterit di pulau tersebut maka nama itu diberikan kepada Pulau Upeh.

Pulau Upeh (Ilha De Pedras)


Pulau Upeh tidaklah sehebat pulau-pulau lain di Malaysia seperti Pulau Langkawi, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor dan yang lain-lainnya. Namun, pulau ini menyimpan seribu satu sejarah bagi negeri Melaka sejak lebih 500 tahun yang lalu.

Pernah suatu ketika dahulu pulau ini dimajukan dengan adanya chalet-chalet untuk penginapan para pelancong, namun kini chalet-chalet tersebut tidak lagi dibangunkan dan terbiar usang.

Chalet yang terbiar usang

Bangunan utama chalet yang tidak lagi dimajukan

Dijemput untuk bersama-sama mengadakan lawatan kerja ke Pulau Upeh amat menerujakan kerana umurku sudah 35 tahun, tapi inilah kali pertama aku ke Pulau Upeh. Keterujuaan aku nak ke Pulau Upeh kerana aku tahu di sana terdapat tinggalan sejarah yang amat besarnya pada negeri Melaka.

Untuk ke Pulau Upeh, aku menaiki bot di Jeti Nelayan Klebang, Melaka. Laluan masuk ke jeti ini melalui jalan taman perumahan bersebelah Masjid Klebang Besar, Melaka. Aku sendiri sebenarnya tidak tahu adanya jeti di situ, mujur aku bertanya pada seorang petugas di stesyen minyak Petron, dan dia menunjukkan jalannya.

Gambar di Jeti Nelayan Klebang

Perjalanan dari jeti ke pulau tidaklah jauh sangat. Hanya memakan masa 5 minit sahaja. Aku ingatkan lama sangatlah, rupa-rupanya sekejab saja. Sempat juga aku bertanya tambangnya, hanya RM 25.00 seorang pergi dan balik ke Pulau Upeh. Kalau nak memancing di laut pula, bayaran RM 450.00 dikenakan untuk sebuah bot. 

Menuju ke Pulau Upeh

Pulau Upeh adalah tempat di mana batu-batu laterit diambil untuk membina Kota Melaka (Fortaleza De Malacca) yang didirikan oleh orang Portugis semasa penjajahannya di Melaka pada tahun 1511. Terdapat banyak kesan-kesan tinggalan pengambilan batu-batu laterit di pulau itu yang dapat dilihat. Selama ini aku hanya dapat melihatnya melalui gambar sahaja, kini aku dapat lihatnya dengan lebih dekat lagi.

Antara kesan-kesan tinggalannya adalah seperti gambar di bawah. Kalau dilihat, memang nampak cantik saja kesan ketukan / pahatan pada batu-batu laterit ini. Aku dapat gambarkan bahawa betapa jerih dan peritnya buruh-buruh paksa tempatan yang dipaksa untuk mengetuk / memahat batu-batu ini kemudian dibawa ke daratan untuk membina Kota Melaka (Fortaleza) 














Kini Kota Melaka  tiada lagi, yang tinggal hanya pintu gerbang Santiago (Porta De Santiago) akibat dimusnahkan oleh British oleh William Farquhar (residen British di Melaka) pada tahun 1807. Namun, Sir Stamford Raffles dan Lord Minto menghalang pemusnahan kota itu, malangnya ia telah berlaku, hanya pintu gerbang Santiago sahaja yang dapat diselamatkan dan dapat dilihat sehingga kini.

Sempat juga aku merayau-rayau di pulau ini. Boleh dikatakan satu pulau aku berpusing kerana pulau ini tidaklah besar. Dalam memerhati persekitaran pulau ini, aku dapat melihat dua buah kubur yang aku tidak pasti sangat sejarahnya iaitu kubur Datuk Agus dan kubur Datok Panglima Lam Ma Yong Sakti.

Batu nisan Datuk Agus

Batu nisan Datok Panglima Lam Ma Yong Sakti

Aku ke pulau Upeh ni dari pukul 9.00 pagi hingga 10.30 pagi. Kiranya banyak juga kawasan yang aku dapat terokai. Nasib baiklah ini adalah lawatan kerja, kalaulah dengan kawan-kawan, mahunya aku bawa batang pancing. Nampak macam banyak saja ikan-ikan di sana. 

Mungkin satu hari nanti aku ke sana lagi, tapi kali ini untuk memancing. Huh, sudah lama sangat tak memancing.