Showing posts with label bangunan merah. Show all posts
Showing posts with label bangunan merah. Show all posts

Tuesday, August 22, 2023

Bakal ke Kaca Televisyen Sekali Lagi?

Pada hari ini, aku berpeluang membantu menjayakan pengambaran rancangan televisyen bertajuk "Mercu". Rancangan ini dijadualkan untuk ditayangkan di saluran RTM menjelang penghujung tahun 2023 atau awal tahun 2024. 

Mercu merupakan sebuah rancangan santai 13 episod yang memaparkan bangunan-bangunan yang menjadi mercu tanda bagi negeri-negeri di Malaysia. Di Melaka, bangunan Stadthuys yang menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi menjadi salah satu episod bagi rancangan ini. Justeru, bos telah mengarahkan aku untuk membantu menjayakan pengambaran ini.

Dalam pengambaran ini, aku telah ditemubual oleh Anas Ridzuan yang memainkan peranannya sebagai pengacara rancangan. Banyak jugalah soalan-soalan yang ditanyakan, namun aku rasa macam tak puas bercakap. Banyak lagi yang aku boleh terang dan jelaskan tapi mungkin kerana masa tayangannya tak lama, jadi hanya babak-babak yang pendek sahaja temubual dijalankan.

Pengalaman membantu menjayakan pengambaran rancangan Mercu adalah satu perjalanan yang berharga bagi diri aku walaupun pengambarannya hanya seketika iaitu kira-kira 2 jam. Kepentingan ilmu pengetahuan merupakan tunjang utama dalam menjayakan satu-satu hal dalam memastikan masyarakat dapat turut mendapat maklumat yang betul lagi tepat.



Bersama Anas Ridzuan, pengacara Mercu

Bersama kru pengambaran

Sunday, September 6, 2020

MENARA JAM BERDEKATAN STADTHUYS


 

Wednesday, May 27, 2020

EVOLUSI BANGUNAN STADTHUYS


1650-an 
Bangunan Stadthuys yang bermaksud dewan bandaran telah dibina oleh pemerintah Belanda bagi menempatkan pusat pentadbiran pemerintah dan kediaman gabenor Belanda di Melaka. 

1820-an 
Apabila British menjajah Tanah Melayu, bangunan Stadthuys terus digunakan oleh pihak British sebagai pusat pemerintahan. Semasa zaman ini, bangunan Stadthuys telah ditokok tambah bangunannya selari kehendak dan keperluan semasa. 

1933 
Persatuan Sejarah Melaka yang diketuai presiden pertamanya B.W.Elles yang juga seorang Residen Kaunselor bagi negeri Melaka telah menubuhkan Muzium Sejarah Melaka (Melaka Historical Museum) di dalam salah sebuah bilik yang terdapat di dalam bangunan Stadthuys. 

1957 
Setelah negara mencapai kemerdekaan, bangunan Stadthuys terus digunakan sebagai pusat pentadbiran menempatkan pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan. Antara pejabat kerajaan yang terdapat di bangunan ini ialah pejabat Ketua Menteri Melaka, Jabatan Pentadbiran Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Buruh, Jabatan Pendaftaran dan lain-lain. 


1980 
Apabila pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan berpindah ke Jalan Hang Tuah. Bangunan ini tidak dibiarkan kosong, ia kemudian menempatkan pejabat-pejabat badan berkanun negeri Melaka. Selain itu, pejabat Antikuiti Wilayah Selatan juga telah ditempatkan di dalam bangunan ini. 

1982 
Pada akhir tahun 1982, ruang utama bangunan Stadthuys telah dijadikan sebagai muzium sejarah sementara bagi mengantikan Muzium Melaka yang terletak di Jalan Kota. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri merancang untuk memulihara keseluruhan bangunan Stadthuys untuk dijadikan sebuah muzium yang besar bagi negeri Melaka. Pada 17 Disember 1982, YAB. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan batu asas Muzium Sejarah Melaka. Perletakkan batu asas ini kemudiannya menjadi titik permulaan bermulanya peranan bangunan Stadthuys sebagai Muzium Sejarah Negeri Melaka. 

1986 
Kerajaan negeri Melaka melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan kerja-kerja restorasi keseluruhan bangunan Stadthuys. Kerja-kerja restorasi dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan bahagian atas dan luar bangunan. Manakala fasa dua pula merangkumi bahagian dalam dan kekuat bangunan. Kerja-kerja ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1990. 

1991 
Bermulanya kerja-kerja susun atur pameran di dalam bangunan ini. Pada awalnya dicadangkan muzium ini dinamakan Muzium Sejarah Melaka, namun disebabkan ruangnya yang luas yang boleh menempatkan pelbagai pameran lain berkaitan negeri Melaka, ia dinamakan Muzium Sejarah dan Etnografi. 

1992 
Muzium Sejarah dan Etnografi telah dirasmikan oleh YAB. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. 

2009 
Bangunan Stadthuys telah didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara.

Saturday, September 15, 2012

BANGUNAN STADTHUYS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin menyatakan bahawa, entri ini ditulis sebagai sedikit rujukan dan panduan kepada para pengkaji dan pelajar-pelajar yang memerlukan maklumat berkaitan Stadthuys. Saya juga mendapat maklumat ini melalui rujukan dan pembacaan. Jadinya, sama-samalah kita saling berkongsi ilmu.

------------------------------------------

Apabila ke negeri Melaka, pastinya ada teringatkan Bangunan Merah di Bandar Hilir, Melaka. Bangunan Merah ini sebenarnya ialah sebuah bangunan muzium di mana ia dikenali sebagai Muzium Sejarah dan Ethnografi.

Pada awalnya, ia merupakan sebuah Dewan Bandaran semasa pemerintahan Belanda di Melaka. Nama asal bangunan ini ialah Stadthuys. Bangunan ini telah dibina sekitar tahun 1650-an setelah Belanda mengambil alih Melaka daripada tangan Portugis pada tahun 1641.

Dengan mengikut teres Bukit St. Paul, bangunan Stadthuys ini mempunyai 4 tingkat. Keluasan bangunan ini pula adalah 49,200 kaki persegi.



Bangunan Stadthuys ini pernah menjadi tempat kediaman Gabenor Belanda sehingga awal kurun ke-18. Selain itu, ia juga merupakan pusat pentadbiran Belanda sehingga tahun 1824.

Pada zaman pemerintahan Inggeris, bangunan Stadthuys ini terus digunakan oleh pihak British sebagai pusat pentadbirannya. Terdapat juga penambahan struktur bangunan yang dilakukan oleh pentadbiran British, namun ia tetap mengekalkan seni bina Belanda seperti dinding batu yang tebal serta pintu-pintu dan tingkap-tingkap yang besar. Fungsi pintu-pintu dan tingkap-tingkap yang besar ini adalah untuk memberikan pengudaraan yang lebih kepada bangunan yang besar ini.

Selepas zaman kolonial, bangunan Stadthuys terus dijadikan pusat pentadbiran oleh kerajaan negeri Melaka sehinggalah ke tahun 1979. Warna asal bangunan ini ialah warna putih namun ia telah dicat warna merah sehinggalah kini bangunan ini dikenali sebagai Bangunan Merah. Adalah dipercayai bahawa bangunan ini mula dicat dengan warna merah pada tahun 1920-an.

Antara ruang yang terdapat di dalam bangunan Stadthuys ini ialah pejabat Gabenor Belanda di mana di bahagian siling bilik ini terdapat hiasan ukiran kayu keras berbentuk bunga yang tidak terdapat di ruang-ruang lain di dalam bangunan ini. 

Selain itu, terdapat juga kilang Roti Belanda yang berfungsi untuk menghasilkan bekalan makanan berupa roti kepada Gabenor Belanda dan juga kepada para pegawai-pegawai. Dikatakan bahawa roti yang disajikan kepada Gabenor merupakan roti putih. Manakala roti coklat (terlebih masak) barulah diberikan kepada yang lainnya dan dijual.

Semasa kerja-kerja konservasi dijalankan di bangunan Stadthuys pada tahun 1985 yang mengambil masa 4 tahun, terdapat beberapa komponen dan jumpaan baru telah ditemui. Antaranya ialah sistem perparitan zaman Belanda di mana ia terletak di dalam bawah bangunan ini. Sekiranya dahulu, hanya dapat dilihat sistem perparitan zaman British di luar bangunan ini, setelah kerja-kerja konservasi dijalankan, barulah dijumpai sistem perparitan Belanda. Ia dipercayai berlingkaran di bawah bangunan ini hingga ke penghujung bangunan dan air terus disalurkan ke Sungai Melaka.

Terdapat juga jumpaan 2 buah perigi Portugis dan Perigi Belanda yang terletak di bahagian halaman bahagian dalam. Ia mungkin telah dikambus oleh pihak Belanda/British semasa kerja-kerja membina bangunan Stadthuys dan proses pengubahsuaian bangunan.Perigi ini dibina dengan menggunakan batu laterit yang sememangnya sinonim dengan binaan Portugis sepertimana mereka mendirikan Fortaleza De Malaca (Kota Melaka). Kini perigi ini dapat dilihat setelah kerja-kerja konservasi tersebut dijalankan. Namun, perigi ini telah kering dan tidak digunakan lagi.

Untuk memasuki kompleks Stadthuys ini para pelawat dikenakan bayaran sebanyak RM 10.00 untuk dewasa manakala RM 4.00 untuk kanak-kanak. Pelawat yang mempunyai Mykad (pelawat Malaysia) diberikan diskaun 50% menjadikan bayaran tiket hanya RM 5.00 untuk dewasa dan RM 2.00 untuk kanak-kanak. Bayaran tiket ke kompleks ini bersekali dengan kemasukan ke Muzium Sastera, Muzium Pendidikan, Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Tuan Yang Terutama dan juga Galeri Laksamana Cheng Ho.

Like Facebook ini untuk maklumat lanjut >> KLIK <<

Friday, November 11, 2011

# 06 LENSA KAMERA CABUK - 90 DARJAH DARI JENDELA





Asal Buah Mendapat Nama,
Buah Bertuah Buah Melaka,
Apa Ada Di Balik Jendela,
Bangunan Merah Tinggalan Belanda.