Showing posts with label bahasa kebangsaan. Show all posts
Showing posts with label bahasa kebangsaan. Show all posts

Tuesday, November 15, 2011

TELAH MARTABATKAH BAHASA MELAYU?





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada hari ini saya membuat tajuk ini kerana terpanggil setelah membaca kandungan cerita di dalam blog KomenSen. Pokoknya sekarang benarkah Bahasa Melayu kita telah dimartabatkan? Apakah buktinya? Rasanya kerajaan sendiri yang tidak memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kita.


Pihak kerajaan mencanangkan cintailah Bahasa Melayu, martabatkan Bahasa Melayu sehingga setiap tahun ada disambut Bulan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Kebangsaan itu apa? Tentulah Bahasa Melayu. Tapi mengapa tidak pula kerajaan mempertahankan Bahasa Melayu ini? Saya petik lagi contoh yang diberikan dari blog KomenSen yang memberikan contoh kerajaan membangunkan Greater KL dan Kuala Terengganu City Centre. Persoalannya mengapa perlu Bahasa Inggeris? Bahasa Melayu sudah kehabisan perkataan ke? Bukankah elok sekiranya Greater KL tu ditukarkan kepada KL Terbaik atau KL Terhebat. Salahkah? Bukahkah sedap juga bunyinya. Begitu juga dengan Kuala Terengganu City Centre bukahkah lebih elok diberikan nama Bandar Utama Kuala Terengganu ataupun seperti diberikan contoh dari KomenSen iaitu Anjung Kuala Terengganu atau Serambi Kuala Terengganu. Ini tidak, bahasa Inggeris juga yang diagungkan.

Di sini kita perlu kaji peranan Dewan Bahasa dan Pustaka. Adakah pihak ini harus berdiam diri sekiranya penggunaan Bahasa Inggeris lebih diutamakan? Bahasa Melayu juga merupakan bahasa Ilmu. Bahasa Melayu perlu diketengahkan lebih berbanding bahasa-bahasa lain. Lupakah kita yang Bahasa Melayu satu ketika dahulu telah menjadi Lingua Franca di rantau Nusantara?

Begitu juga penggunaan Bahasa di papan-papan iklan di kedai-kedai. Bermacam-macam bagai. Dari Bahasa Inggerisnya sehinggalah ke Bahasa Mandarin dan Tamil. Pada pendapat peribadi saya, semua itu perlu ditukar kepada Bahasa Melayu. Di manakah identiti kita kalau bukan dari bahasa. Saya yakin bahawa pelancong sekalipun mahu lihat tulisan bahasa Melayu kita sendiri terpampang di mana-mana dan bukannya tulisan bahasa yang berbagai-bagai.

Di sini bukanlah saya mengatakan bahawa berbahasa Inggeris itu tidak boleh. Boleh, tetapi dengan orang asing yang tidak mengetahui Bahasa Melayu. Di kalangan kita ini yang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum adalah lebih baik menggunakan Bahasa Melayu semasa bertutur dan dalam apa-apa acara rasmi ataupun tidak rasmi. Bukannya apa, kita di Malaysia, Bahasa Kebangsaan kita adalah Bahasa Melayu. Hormatlah sedikit Bahasa Melayu ini. Tidaklah nanti ada kaum-kaum di Malaysia ini tidak mengetahui ataupun tidak lancar berbahasa Melayu.

(Ps : Terdapat sedikit perubahan dalam gaya penulisan. Siapa yang biasa membaca blog ini, harap dapat menerimanya. Kadangkala kita harus membuat perubahan ;)