Wednesday, May 27, 2020

EVOLUSI BANGUNAN STADTHUYS


1650-an 
Bangunan Stadthuys yang bermaksud dewan bandaran telah dibina oleh pemerintah Belanda bagi menempatkan pusat pentadbiran pemerintah dan kediaman gabenor Belanda di Melaka. 

1820-an 
Apabila British menjajah Tanah Melayu, bangunan Stadthuys terus digunakan oleh pihak British sebagai pusat pemerintahan. Semasa zaman ini, bangunan Stadthuys telah ditokok tambah bangunannya selari kehendak dan keperluan semasa. 

1933 
Persatuan Sejarah Melaka yang diketuai presiden pertamanya B.W.Elles yang juga seorang Residen Kaunselor bagi negeri Melaka telah menubuhkan Muzium Sejarah Melaka (Melaka Historical Museum) di dalam salah sebuah bilik yang terdapat di dalam bangunan Stadthuys. 

1957 
Setelah negara mencapai kemerdekaan, bangunan Stadthuys terus digunakan sebagai pusat pentadbiran menempatkan pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan. Antara pejabat kerajaan yang terdapat di bangunan ini ialah pejabat Ketua Menteri Melaka, Jabatan Pentadbiran Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Buruh, Jabatan Pendaftaran dan lain-lain. 


1980 
Apabila pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan berpindah ke Jalan Hang Tuah. Bangunan ini tidak dibiarkan kosong, ia kemudian menempatkan pejabat-pejabat badan berkanun negeri Melaka. Selain itu, pejabat Antikuiti Wilayah Selatan juga telah ditempatkan di dalam bangunan ini. 

1982 
Pada akhir tahun 1982, ruang utama bangunan Stadthuys telah dijadikan sebagai muzium sejarah sementara bagi mengantikan Muzium Melaka yang terletak di Jalan Kota. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri merancang untuk memulihara keseluruhan bangunan Stadthuys untuk dijadikan sebuah muzium yang besar bagi negeri Melaka. Pada 17 Disember 1982, YAB. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan batu asas Muzium Sejarah Melaka. Perletakkan batu asas ini kemudiannya menjadi titik permulaan bermulanya peranan bangunan Stadthuys sebagai Muzium Sejarah Negeri Melaka. 

1986 
Kerajaan negeri Melaka melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan kerja-kerja restorasi keseluruhan bangunan Stadthuys. Kerja-kerja restorasi dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan bahagian atas dan luar bangunan. Manakala fasa dua pula merangkumi bahagian dalam dan kekuat bangunan. Kerja-kerja ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1990. 

1991 
Bermulanya kerja-kerja susun atur pameran di dalam bangunan ini. Pada awalnya dicadangkan muzium ini dinamakan Muzium Sejarah Melaka, namun disebabkan ruangnya yang luas yang boleh menempatkan pelbagai pameran lain berkaitan negeri Melaka, ia dinamakan Muzium Sejarah dan Etnografi. 

1992 
Muzium Sejarah dan Etnografi telah dirasmikan oleh YAB. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. 

2009 
Bangunan Stadthuys telah didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara.

2 comments:

  1. SELAMAT HARI RAYA!! Bagus entry ini.. done follow u, follow me back.. tq
    http://acuyuhan.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. π•Ύπ–Šπ–‘π–†π–’π–†π–™ π•³π–†π–—π–Ž π•½π–†π–žπ–† π•¬π–Žπ–‰π–Žπ–‘π–‹π–Žπ–™π–—π–Ž 𝕸𝖆𝖆𝖋 π–…π–†π–π–Žπ–— π•­π–†π–™π–Žπ–“.

    ReplyDelete

Komen saja... Jangan segan-segan.