Monday, June 20, 2016

MEMBANTU PELAJAR PT3 MENDAPATKAN MAKLUMAT DI MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Hari Sabtu lepas baru-baru ini, banyak muzium-muzium di Malaysia "diserang" oleh pelajar-pelajar tingkatan 3 (PT3) bagi membuat kajian berkaitan Bangunan Bersejarah di Malaysia. Tidak terlepas juga muzium tempat aku bertugas. Begitu ramai pelajar-pelajar datang untuk mendapatkan maklumat. Meriah sungguh muzium pada hari itu.

Aku yang sememangnya bercuti pada hujung minggu mengambil keputusan untuk datang ke muzium bagi membantu para pelajar mendapatkan maklumat dengan lebih baik. Bukan apa, masa tu duduk rumah pun tiada apa benda nak buat, jadi baiklah aku membantu para pelajar tu. Lagi pun, aku memang suka nak berkongsi ilmu dengan orang ramai, lebih-lebih lagi pasal muzium tempat aku bertugas.

Harap-harap dapat membantu mereka mendapatkan maklumat

Ramai pelajarnya.. Penat berdiri, aku duduk pula

Pada catatan-catatan yang lepas, aku ada juga menulis berkaitan Muzium Istana Kesultanan Melaka yang boleh dijadikan rujukan seperti :


Dan hari ini aku ingin menambah sedikit maklumat berkaitan Muzium Istana Kesultanan Melaka untuk rujukan kepada para pelajar yang memerlukan maklumat ini.

*****

Muzium Istana Kesultanan Melaka merupakan replika istana di zaman Sultan Mansur Syah (1456 – 1477). Senibinanya adalah berdasarkan catatan-catatan di buku sejarah Melayu dan juga pandangan daripada Persatuan Sejarah negeri Melaka dan Persatuan Pelukis Melaka ketika itu.



Penubuhan muzium ini adalah idea yang lahir daripada Kerajaan Negeri Melaka yang pada ketika itu di ketuai oleh mantan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Rahim bin Tamby Chik. Ia telah dibina oleh Perbadanan Kemajuan negeri Melaka (PKNM) dan kemudiannya diserahkan kepada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) untuk diuruskan.

Pembinaan muzium ini mengambil masa selama 2 tahun bermula 27 Oktober 1984 dan siap sepenuhnya pada 15 April 1986, dan pada 17 Julai 1986 muzium ini telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Kos keseluruhan pembinaan muzium ini adalah sebanyak RM 1.4 juta.

Terdapat kerja-kerja penambahbaikan yang telah dilakukan pada tahun 2000 melibatkan kerja-kerja mengantikan keseluruhan kepingan atap, disamping menambah lapisan aluminium foil di bahagian bawah atap.

Selain itu beberapa bahan mula dipamerkan di bahagian 6 anjung dengan diorama-diorama pedagang dan nobat. Juga penambahbaikan dilakukan ke atas diorama balairong seri melibatkan singgahsana sultan dan tempat duduk para pembesar dan bilik beradu sultan.

Pada tahun tersebut juga nama muzium ini ditukar dari Muzium Budaya kepada Muzium Istana Kesultanan Melaka.

Antara keunikan bangunan muzium ini ialah ia diperbuat daripada kayu-kayan tempatan seperti resak, cengal, nyatoh dan berlian yang mempunyai ketahanan dan lasak. Ia juga dibina dengan menggunakan sistem pasak dan tanggam.

Walaupun bangunan ini merupakan sebuah replika namun ia tetap tertakluk di dalam Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka 1988. Bangunan ini juga diwartakan sebagai bangunan warisan negeri Melaka.

Konsep pembinaan bangunan ini ialah diadaptasi dari gambaran istana Sultan Mansur Syah yang tercatat di dalam buku Sejarah Melayu dengan bantuan pakar rujuk dari Persatuan Sejarah negeri Melaka dan Persatuan pelukis Melaka. Dengan adanya gambaran istana tersebut maka terbinanya muzium ini. Lantas, kebanyakkan bangunan-bangunan kerajaan negeri Melaka seterusnya turut menggunakan senibina menyerupainya. Tidak hanya kepada bangunan kerajaan, malah terdapat juga bangunan-bangunan lain milik swasta seperti hotel yang mencontohi seni bina ini dan ianya seperti ikon bangunan negeri Melaka.

Keluasan kawasan tapak muzium ini adalah 0.7 hektar. Keluasan sebenar muzium ini adalah 67.2 meter panjang 18.5 meter tinggi dan lebarnya 12 meter. Jumlah pelawat yang boleh memasuki muzium ini dalam satu-satu masa adalah seramai 100 hingga 150 orang.

2 comments:

  1. Salam Nuzul Quran..
    memang sesuai sgt ke Muzium bila nak buat kajian sejarah ni..pastinnya byk ilmu yg diperolehi oleh adik2 tu..:)

    ReplyDelete

Komen saja... Jangan segan-segan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...