Thursday, September 13, 2012

MARI MELAWAT MUZIUM TUAN YANG TERUTAMA (MUZIUM TYT)


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Negeri Melaka telah dikenali sejak sekian lama sebagai negeri bersejarah. Banyak tinggalan sejarah dan monumen yang masih berdiri teguh di negeri ini tinggalan kuasa-kuasa besar seperti Portugis, Belanda dan British.

Melaka juga merupakan sebuah negeri yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandaraya Warisan Dunia sejak 7 Julai 2008. Sejak dari pengiktirafan itu, negeri Melaka terus mencatatkan peningkatan jumlah kedatangan pelancong dari tahun ke tahun.

Antara aspek yang ditekankan dalam pengiktirafan oleh UNESCO ini ialah terdapatnya bangunan dan monumen kolonial yang masih dikekalkan sehingga kini. Kesedaran untuk mengekalkan bangunan dan monumen kolonial ini melalui proses pemuliharaan dan pemugaran membawa erti besar pada negeri Melaka. Sekiranya dahulu Melaka dijajah oleh kuasa-kuasa besar, namun sekarang tinggalan mereka menjadi tarikan pelancong seantero dunia untuk melihat sejarah yang ditinggalkan ini. 

Salah satu monumen yang masih tersergam indah di atas Bukit St. Paul, Bandar Hilir ialah Muzium Yang Di-Pertua Negeri Melaka atau lebih dikenali sebagai Muzium Tuan Yang Terutama (Muzium TYT). Bangunan muzium ini pada mulanya merupakan kediaman rasmi dan pejabat Gabenor Belanda di Melaka pada kurun ke 17.

Pada zaman pemerintahan Inggeris hinggalah selepas kemerdekaan, bangunan ini masih digunakan lagi sehinggalah pada September 1996, kediaman rasmi dan pejabat TYT berpindah dari Bukit St. Paul ke Istana Melaka di Bukit Beruang, Melaka.

Muzium ini memaparkan fungsi Institusi TYT sebagai Pemerintah Tertinggi Negeri, Sejarah Ringkas Institusi Kesultanan, Penubuhan Gabenor Negeri-Negeri hinggalah kepada Peranan dan Institusi TYT. Ia dipamerkan bagi mengimbas kembali kewujudan TYT sebagai pemerintah. Secara umumnya, turut dipamerkan ialah peranan Ketua Menteri Melaka yang mentadbir negeri ini sepanjang melaksanakan tugas bersama TYT. 

Tumpuan utama diberikan kepada Gabenor / Tuan Yang Terutama telah berkhidmat di Melaka iaitu bermula dari Tun Leong Yew Koh (Gabenor Pertama), Tun Haji Abdul Malek bin Haji Yusuf (Gabenor Kedua), Tun Haji Abdul Aziz bin Abdul Majid (Gabenor Ketiga), Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan (Gabenor Keempat), Tun Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin (TYT Kelima) dan Tun Mohd Khalil bin Yaakob (TYT Keenam hingga kini) dengan menampilkan pelbagai koleksi peribadi milik mereka. 

Pameran di muzium ini juga mengekalkan sebahagian daripada kegunaan ruang asal bangunan. Antara ruang-ruang dipamerkan ialah ruang makan, ruang pejabat, ruang keluarga, sudut ilham dan banyak lagi.

Muzium ini juga mengetengahkan sumbangan TYT terhadap pembangunan negeri seperti perindustrian, pertanian, pelancongan, pentadbiran, keagamaan dan sebagainya yang berkembang dari masa ke semasa sambil dibantu oleh setiap Ketua Menteri di bawah pimpinannya dalam membangunkan Negeri Melaka.

Pelajar-pelajar yang membuat kajian tentang institusi pentadbiran negeri Melaka adalah digalakkan untuk membuat kajian di sini kerana terdapat banyak sumber yang boleh membantu mereka menyediakan kajian. Selain pelajar, masyarakat setempat dan warga Malaysia juga boleh melawat muzium ini kerana ia mempunyai banyak ilmu pengetahuan yang boleh diperolehi selain ianya menarik.

Tiket masuk ke Muzium ini ialah RM 10.00 bagi dewasa dan RM 4.00 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun. Namun bagi pemegang MyKad potongan diskaun 50 peratus akan diberikan menjadikannya RM 5.00 bagi dewasa dan RM 2.00 bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun. Dengan tiket ini pelawat turut boleh melawati Muzium Sejarah dan Ethnografi, Muzium Sastera, Muzium Pendidikan, Muzium Pemerintahan Demokrasi dan Galeri Laksamana Cheng Ho.

 Mari layan gambar-gambar Muzium Tuan Yang Terutama :

Muzium Tuan Yang Terutama

Jemput masuk.....

Ruang Keluarga

Ruang Makan

Sudut Ilham

Ruang pameran

Antara bahan yang dipamerkan

10 comments:

  1. Dah lama tak ke Melaka. Melaka pon makin maju. Tak mcm N9..huhuhu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ALHAMDULILLAH.. MELAKA NAMPAKNYA PESAT MEMBANGUN..

      Delete
  2. ermmmm muzium TYT kat sebelah mana erkk.. moon xpenah ke sini.. huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. owhhhh..... insyaallah.. kalau datang bercuti ke melaka lagi.. mmg nak singgah ke sini plak la...

      Delete
  3. IARRLR : JEMPUT-JEMPUTLAH DATANG YE..

    ReplyDelete
  4. xpnh nmpk lak muzium TYT ni..hehe..ats bkt st paul erk...

    ReplyDelete
    Replies
    1. APE LE AWAK NI.. A'AH.. DI ATAS BUKIT ST. PAUL. BERDEKATAN DENGAN GEREJA ST. PAUL.. :)

      Delete

Komen saja... Jangan segan-segan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...