Wednesday, September 14, 2011

JADIKAN MUZIUM SEBAGAI PUSAT PENDIDIKAN TIDAK FORMAL

Siapa yang tak pernah pergi muzium, sila angkat tangan... Erm, rasanya ramai yang sudah pernah pergi ke muzium. Tak kiralah bersama kawan, keluarga mahupun sendirian. Mengikut kefahaman, muzium bolehlah ditakrifkan sebagai sebuah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan yang berfungsi untuk mengumpul, memulihara, mengkaji, mendokumentasi dan mempamerkan sejarah manusia serta flora dan fauna bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan seterusnya dibuka kepada orang ramai.

Muzium sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan? Ya benar, kerana di muzium kita dapat perolehi maklumat yang mungkin kita tidak dapat peroleh di tempat-tempat lain. Oleh itu, sebagai warga Malaysia, kita haruslah menjadikan muzium ini salah satu tempat yang harus dikunjungi bagi memperoleh sesuatu maklumat, selain mencari maklumat di perpustakaan ataupun arkib.

Apa yang sedikit menyedihkan, di kalangan warga Malaysia (tidak semua), biasanya muzium ini hanya sesuatu yang sampingan sahaja. Tempat untuk melawat kerananya ianya muzium. Hanya untuk melihat-lihat dan mungkin kerana terpaksa ekoran tiada tempat lain yang lebih menarik untuk dilawati.

Dalam pemerhatian dibuat, khasnya bagi rombongan pelajar-pelajar sekolah. Pelajar-pelajar hanya masuk ke muzium, berjalan-jalan dan melihat sahaja artifak dan bahan pameran yang dipamerkan. Mereka jarang membaca keterangan yang diberikan. Tak pastilah sama ada mereka faham tentang fungsi sesuatu artifak atau tidak kerana hanya melihat sahaja, mereka mungkin tidak faham tentang fungsi sesuatu artifak.

Berbeza pula dengan pelancong dari negara luar terutama dari Barat. Mereka menghabiskan banyak masa di dalam muzium dan membaca setiap keterangan dan artifak yang dipamerkan. Tidak hairanlah kalau dikatakan orang Barat ini pandai dan berilmu pengetahuan kerana mereka banyak dan suka membaca.

Bagi pelajar-pelajar sekolah antarabangsa dan juga pelajar-pelajar sekolah dari negara jiran seperti Singapura misalnya, guru-guru mereka lebih prihatin terhadap rombongan pelajar mereka dengan menjadikan muzium sebagai pusat pembelajaran. Setiap kali sekolah sedemikian rupa mengadakan rombongan ke muzium pastinya mereka dibekalkan dengan soalan-soalan yang perlu dijawab berkisarkan bahan pameran di sesuatu muzium. Bukan itu sahaja, bagi sekolah antarabangsa, mereka menjadikan pembelajaran di muzium sebagai satu kokurikulum wajib bagi sekolah mereka.

Jadinya, kepada semua warga Malaysia, jadikanlah muzium itu sesuatu tempat yang harus dikunjungi dan tempat untuk menimba ilmu pengetahuan. Jadilah masyarakat yang suka membaca dan berilmu kerana dengan ilmu kita dapat mengetahui sesuatu yang mungkin orang lain tidak tahu.

(Ps : Anak aku cakap, aku kerja di muzium jaga patung. Erm... Anak aku yang baru 3 tahun sudah cakap macam tu, apakan lagi orang lain. Tapi aku sering beritahu, ayah bukan jaga patung, ayah jaga warisan...)

Aku : Fahim, mama kerja ape?

Muhammad Fahim : Kerja kesihatan.

Aku : Mama buat ape?

Muhammad Fahim : Tak tahu...

Aku : Ayah kerja ape?

Muhammad Fahim : Kerja muzium.

Aku : Ayah buat apa?

Muhammad Fahim : Jaga patung...

Aku : ???..... Ayah bukan jaga patung, ayah jaga warisan... :)



No comments:

Post a Comment

Komen saja... Jangan segan-segan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...