Chenta Creative Hijab

Followers

Tuesday, May 3, 2011

KOLEKSI BARANG ANTIK

Akibat terpengaruh dengan rancangan televisyen di siaran Astro History iaitu rancangan Pawn Star dan American Picker, aku telah mencuba-cuba mengumpul barangan antik / lama. Barang-barang antik / lama ini aku dapat dari rumah mak aku, rumah mak sedara dan ada yang aku beli sendiri. Buat masa ni aku mahu mengumpul sahaja. Ada pengumpul barangan antik / lama ini menjadikannya sebagai pekerjaan iaitu dengan menjual barangan ini. Tapi bagi aku, aku hanya untuk mengumpul dulu, kalau nak jualpun mungkin pada masa-masa yang akan datang.

Nak tengok apa barang yang aku ada : -



Ini dipanggil pahar. Pahar ini diperbuat daripada tembaga, dan aku mempunyai 2 buah yang aku minta dari mak aku. Aku ambil 2 sahaja, tapi di rumah mak aku ada beberapa buah lagi. Pahar ni kebiasaanya berperanan sebagai dulang. Ia biasa dijadikan objek untuk menempatkan barang hantaran perkahwinan. Tapi masa sekarang masih menggunakan lagi, tapi sudah agak moden, pahar dibuat daripada perak, aluminium mahupun plastik bagi memudahkan orang mengangkatnya.

Orang-orang dahulu juga menggunakan pahar ini untuk menempatkan tepak sirih di atasnya. Pendek kata, pahar ni fungsi dia macam dulang.


Yang ni pasti ramai yang tahu. Inilah bekas merenjis air mawar. Diperbuat dari tembaga. Kalau orang kahwin tu biasanya benda inilah yang digunakan untuk merenjis air mawar di tangan pengantin. Benda ni aku dapat kat rumah mak aku juga. Ada 4 buah, dulunya banyak, tapi puas aku mengeledah setor rumah mak aku tapi hanya 4 buah ni saja yang dapat aku temui.

Barang ini bapa aku beli di India, mungkin pada lewat tahun 60 - 80 an (tak pasti). Bapa aku dulu belayar kapal. Aku masih ingat, masa kecik-kecik dulu aku suka bermain dengan benda ni. mak aku simpan dalam almari je sebagai hiasan.

Yang ni pula datang satu set bekas renjis air mawar seperti di atas. Juga dibeli di India oleh bapa aku. Aku tak pasti barang ni untuk apa, tapi menurut bapa aku, bekas ini adalah tempat meletak lada sulah, lada hitam ataupun garam. Erm.. Mungkin juga ada benarnya kerana ke bahagian atas bekas ini ada lubang-lubang kecil, mungkin untuk mengeluarkan bahan-bahan tersebut.

Seingat aku, masa kecik dulu benda ni ada 4-5 buah, tapi puas jugak aku cari tak jumpa. Akhirnya yang 2 buah ini sajalah yang aku temui di dalam setor mak aku.


Pinggan tembaga. Datangnya juga dari India satu set dengan barangan di atas. Ni pun satu, dulunya banyak jugak, tapi sekarang hanya tingga 3 buah saja. Takpe, nanti senang-senang aku pergi double check kat setor mak aku. Cari lagi, mana tahu ada terjumpa barang yang lagi baik.

Yang ni pula ialah paip. Bukan paip air tapi paip tembakau. Kepunyaan bapa aku. Sekarang bapa aku tak hisap paip dan rokok lagi, oleh itu aku ambil dan simpan saja paip ini sebagai satu lagi sejarah dalam keluarga aku. Dahulu, orang yang berlayar kapal memang suka hisap paip, termasuklah bapa aku. Aku pernah bertanya kepada seseorang, kalau dahulu dalam kapal kapten kapal yang suka hisap paip (tapi bapa aku bukan kapten kapal)

Paip ni kalau baru aku tak heran, tetapi paip lama yang berusia kira-kira 20-30 tahun.

Ha, nak tahu ni apa? Inilah bekas kuih raya. Kenapa aku simpan bekas kuih ni? Sebabnya ia adalah barangan nostalgia bagi diri aku. Benda ni ada sejak aku kecil lagi. Dulu-dulu hari raya mesti guna bekas ni. Bukan rumah mak aku saja, rumah arwah nenek aku pun menggunakan bekas yang sama. Di belakang bekas ini ada dicetak "England". Ada satu set di setor rumah mak aku, tapi aku hanya ambil 2 buah ni saja untuk simpanan aku.

Ni acuan kuih baulu. Memang ada yang baru, tapi ini jenis yang lama punya. Diperbuat daripada tembaga. Aku jumpa bekas ni di belakang rumah mak aku (dekat dengan reban ayam). Memang dah tak gunakan lagi ini. Jadinya, untuk menghindari ia hilang begitu saja, aku simpan buat kenang-kenangan.

Ni pula acuan kuih bakar. Pernah makan tak kuih bakar? Memang sedap kuih ni. Masa aku kecik-kecik dulu mak aku meniaga kuih. Hari-hari mak aku buat kuih. Tugas aku balik sekolah kena cuci barang-barangan bekas-bekas kuih termasuklah bekas ni. Dan hari-hari jugaklah mak aku upah RM1.00 sehari. :)

Nak tahu berapa lama bekas kuih bakar ni, sampai berlubang-lubang dibuatnya. Yang ni pun aku jumpa kat reban ayam rumah mak aku.

Ni botol minuman. Sekarang tak guna lagi botol-botol kaca ni, sekarang guna plastik saja. Mungkin usianya tidak selama mana, tetapi ia akan jadi kenangan bagi aku. Kerana apa? Kerana aku dulu masa sekolah, aku buat part time buat air kat kedai datuk sedara aku. Dapatlah dalam RM 100.00 - RM 150.00 sebulan.

Baru-baru ni datuk sedara aku telah robohkan kedai lamanya dulu dan aku terlihat botol-botol ni diletakkan di sebelah rumah beliau, oleh itu aku dengan tanpa segan silu telah mintak botol-botol ini, kerana ianya merupakan kenangan aku yang pernah bekerja dengan beliau. Ada banyak botol-botol ni, tapi aku ambil satu-satu jenis sebagai kenangan.

Bekas tembaga ini pelbagai guna. Ada yang menggunakan untuk menadah air mawar, ada yang menggunakan sebagai mangkuk air basuh tangan dan ada juga menggunakan sebagai bekas bara. Terpulanglah kepada cara mana yang orang mahu menggunakannya. Bekas ni dalam keluarga aku digunakan sebagai bekas bara. Sesiapa yang terkena semut gota (merah-merah satu badan) secebis jala ikan akan dibakar bersama arang yang mengasapkan bahagian-bahagian yang terkena semut gota tersebut (maaf kalau silap eja)


Ini pula ialah sehelai dokumen lama iaitu dokumen tahun 1948 yang juga dilekatkan sehelai setem Malaya. Dokumen ini ialah dokumen pembaharuan insuran The South British Insurance Company Limited. Rasanya tiada lagi company ni di Malaysia, ataupun sudah tukar dengan nama baru. dokumen ini aku beli dengan seorang collector di Mudah.com dengan harga RM ........

Ni yang last sekali ialah antara koleksi setem aku. Ada setem yang lama-lama sejak sebelum merdek hinggalah yang terbaru. Tapi tak semua dapat aku kumpul. Baru berjinak-jinak nak kumpul setem. Setem yang lama-lama biasanya aku beli sendiri. Yang mana baru-baru tu, setem-setem yang aku dapat, aku simpan.

Sekarang ni aku still survey-survey mana-mana barang antik yang aku mampu beli. Kalau mampu aku beli, kalau tak, tak belilah jawabnya. Aku membeli barang yang ada berkaitan atau bersamaan dengan kehidupan mahupun sejarah aku dan keluarga aku. Manalah tahu akan datang nanti semasa sudah bersara, aku boleh buat private museum... :)

Korang yang duduk membaca ni, kalau ada barang-barang lama atau antik kat rumah tu, jaganlah buang saja. Kalau rasa minat, bolehlah simpan, kalau tak beri saja pada aku.. :)






6 comments:

  1. Bekas kuih raya tu menarik perhatian saya. mmg dh lama x jumpa. dulu masa kecik2 lagi selalu gak npk bekas kuih raya cam gini. mcm2 kaler ada. yg paling saya ingat kaler hijau..:)

    ReplyDelete
  2. best barang-barang lama ini, dah tahap antik, syabas! tentu menarik dijadikan hiasan.

    ReplyDelete
  3. iayylr : SAYA AMBIL DARI SETOR RUMAH MAK SAYA.. KALAU TAK AMBIL MAHU ROSAK ATAU HILANG BEGITU SAJA..

    ReplyDelete
  4. http://www.mudah.my/Al+Quran+kecil-16837187.htm

    cube tengok koleksi ini...

    ReplyDelete

Komen saja... Jangan segan-segan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...