Thursday, October 14, 2010

PENYOKONG BOLA SEPAK YANG TERLAMPAU

Bola Sepak merupakan sukan utama yang diminati oleh segenap warga dunia dan juga tidak ketinggalan masyarakat negara kita, Malaysia. Walaupun sukan ini tidak berapa maju dari segi prestasinya di Malaysia, namun sukan ini tetap menjadi pilihan bagi kebanyakan rakyat.

Tragedi yang menimpa seorang penyokong pasukan Kelantan yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika rusuhan penonton semasa perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam baru-baru ini melihatkan betapa fanatiknya penyokong bola sepak di negara kita.

Kenapa perkara ini boleh berlaku? Apa perlu kita saling merusuh semata-mata kerana satu perlawanan atau sukan yang dipanggil Bola Sepak? Adakah mereka puas melakukan rusuhan dengan mencederakan orang lain malahan sehingga ada nyawa yang melayang? Perkara seperti ini boleh dielakkan sekiranya setiap pihak memainkan peranan masing-masing dan penonton menjadi seorang yang berdisiplin.

Dalam hal seperti ini pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlulah membuat post mortem selepas perlawanan tersebut. Buat kajian yang terperinci bagi mengelakan perkara ini dari berlaku sekali lagi.

Antara perkara yang mungkin boleh dilaksanakan ialah dengan menambah pasukan keselamatan di kawasan penonton, menjarakkan jurang antara kedua-dua penyokong, mengetatkan kawalan di pintu-pintu masuk stadium, menguatkuasakan peraturan larangan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium dengan cekap, mengharamkan kehadiran penyokong pada pasukan yang mempunyai rekod penyokong yang amat fanatik dan sebagainya.

Mungkin syor-syor di atas amat berat atau sukar untuk diperaktikkan, namun adakah kita mahu melihat ada lagi penyokong yang kehilangan nyawa baru kita terkial-kial mahu mengambil tindakan. Bangkitlah, bangunlah wahai FAM, lihatlah bagaimana pengurusan Bola Sepak di luar negara yang mempunyai prosedur keselamatan yang begitu ketat. Contohilah prosedur mereka yang sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia, bukan sekadar ke luar negara untuk memakan angin.

Bagi penyokong-penyokong pula, jadilah peminat Bola Sepak sejati. Sentiasalah menerima hakikat bahawa bola itu bulat. Kalah atau menang adalah adat bertanding. Biar bersemangat di jiwa dan raga, jangan ditunjukkan secara kekerasan fizikal.

Akhir kalam, majulah sukan untuk negara.




No comments:

Post a Comment

Komen saja... Jangan segan-segan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...