Tuesday, September 7, 2010

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA




Muzium Istana Kesultanan Melaka merupakan replika Istana Kesultanan Melayu di Zaman Sultan Mansur Syah (1456-1477). Rekabentuk bangunan istana ini adalah berpandukan kepada penelitian Buku Sejarah Melayu dan juga berdasarkan pandangan Persatuan Pelukis Melaka serta Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka. 

Bangunan ini telah dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM). Pembinaan bangunan ini mengambil masa dua tahun iaitu bermula 27 Oktober 1984 dan siap sepenuhnya pada 15 April 1986. Pada 17 Julai 1986. 

Muzium Istana Kesultanan Melaka telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Bangunan ini mempunyai keluasan 240 kaki panjang dan 40 kaki lebar. 

Bangunan ini mempunyai keunikkan tersendiri dari segi senibinanya kerana menggunakan sistem pasak dan tanggam sebagai paku. Manakala struktur bangunan menggunakan kayu-kayu tempatan seperti atap yang diperbuat daripada Kayu Berlian yang dibawa dari Sarawak, tiang seri menggunakan Kayu Cengal serta lantai menggunakan Kayu Resak. Di permukaan dindingnya pula dihiasi dengan ukiran yang disebut sebagai Ketam Buri. 

Bangunan ini dibina dengan enam anjung yang dijadikan galeri pameran dan sebuah anjung utama sebagai laluan naik ke istana. Pada zaman Sultan Mansur Syah, anjung-anjung ini digunakan sebagai tempat tetamu yang datang bertemu dengan Sultan. 

Institusi Kesultanan Melayu yang telah wujud di negara ini sejak lebih lima kurun yang lalu merupakan teras sistem berkerajaan dan masih kukuh dipertahankan sebagai lambang kepada tunggak kedaulatan dan keunggulan nusa dan bangsa.  

Perkembangan dan pergolakan sejarah yang dirakamkan di negara ini boleh dikatakan sentiasa bergerak seiring atau dikaitkan dengan istana dan institusi kesultanan. Kesultanan Melayu juga boleh boleh disifatkan sebagai nadi dalam pembentukan tamadun, kebudayaan, sikap, norma dan sistem nilai bangsa Melayu. 

Sesungguhnya terdapat perubahan yang ketara dalam sistem pemerintahan demokrasi yang dipraktikkan oleh kerajaan sekarang tetapi kedudukan dan fungsi Raja-Raja Melayu masih terus dikekalkan sebagai payung negara, sumber inspirasi kesetiaan dan perpaduan rakyat dan lambang kedaulatan negara.

Kesultanan Melayu mempunyai ciri-ciri keunikan dan dan keistimewaan tersendiri yang jauh berbeza dengan sistem pemerintahan beraja di negara-negara lain. Berdasarkan kepada hakikat inilah, kedaulatannya diletakkan di puncak pemerintahan demokrasi dan pentadbiran negara apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Muzium ini memaparkan beberapa aspek penting yang perlu diketahui mengenai Kesultanan Melayu dan kaitannya dengan kesinambungan perkembangan sejarah negara. Bahan yang dipamer merupakan hakikat sejarah yang diharap dapat memberi gambaran terhadap kegemilangan takhta pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. 

Semoga pameran ini dapat memberi kesedaran kepada generasi kini dan akan datang berhubung akar umbi sejarah dan ketamadunan bangsa Melayu serta menyedari betapa pentingnya mereka memelihara kedaulatan Kesultananan Melayu yang telah sekian lama bertakhta memayungi negara ini.

Maklumat tambahan >> KLIK <<

5 comments:

  1. Salam,

    Dalam buku Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) ada diceritakan Sultan Melaka merobohkan istana yang menjadi lokasi pembunuhan Hang Jebat oleh Hang Tuah.

    Selepas merobohkan istana tersebut, Sultan membina istana baru yang cantik dinamakan Mahligai. Istana Mahligai ada 17 ruang. Setiap ruang ada bangunan kapa-kapa. Di antara kapa-kapa ada bangunan Gajah Menyusu.
    Istana ini ada puncak.
    Puncak istana diperbuat dari kaca merah.
    Ada 40 pintu istana yang dihiasi ukiran dan dicat emas.
    Dinding istana dihiasi cermin China bersaiz besar.
    Setiap tiang istana sebesar sepemeluk.
    Bumbung istana dibuat daripada timah sirip.
    Bumbung istana dihiasi ukiran kayu bercat emas.
    Istana ini cantik berkilau-kilau apabila disinari cahaya matahari.
    Istana mahligai itu terbakar tidak lama selepas disiapkan.

    Setelah itu sultan membina istana ketiga. istana ketiga seperti sebuah kompleks istana kerana ada istana utama, ada 2 istana apit, ada balairong, ada masjid, ada tempat mandi, ad rumah dapur, ada tempat untuk gajah dan sebagainya.

    Replika yang dibuat sekarang adalah berdasarkan istana yang mana?

    ReplyDelete
    Replies
    1. PAK LONG : SETELAH SAYA TELITI DAN TELITI PADA SOALAN YANG DIBERIKAN, SAYA JUGA MEMBUAT PEMBACAAN, TETAPI TIDAK PASTI YANG MANA SATU..

      Delete
    2. YANG BENARNYA INI MERUPAKAN ISTANA ZAMAN SULTAN MANSUR SYAH..

      Delete
  2. hmm...confius jugak yer...aku tak rasa ianyanya replika mana2..cuma imaginasi berdasar data yang diberi..yang sama cuma teknik pertukangan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. WESCHAIRS : SEJARAH ITU DINAMIK.. PERLU DIKAJI DAN TERUS DIKAJI..

      Delete

Komen saja... Jangan segan-segan.